Rahsia Sebuah Kolam

1.2K 35 0
                                    


Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil bibirnya bergerak-gerak.

Perlahan-lahan datuk membuka tapak tangan kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak tangan. Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus, dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.

"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang yang kau santau ibu santau ini akan bcrtambah, bila tidak ada orang yang kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya lihat Dumba anggukkan kepala.

"Kau mahu melupa dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini Dumba?"

"Ya."

"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?"

"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."

Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya. Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin, apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil Dumba.

"Kau ikhlas Dumba?"

"Ya, saya mahu bertaubat", ujar Dumba sambil menangis.

Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik, tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak mendengar bunyi ledakan petir.

Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali. Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota-anggota pengakap saja. Mereka bangun perlahan-Iahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka. Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang mata.

Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba. Dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh. Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan kiri datuk. Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya. Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan berpeluh.

"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"

"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."

"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapal merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"

"Dari sebelah kanan."

"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari sebelah kanan badan kau Dumba."

"Ya."

Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk terus duduk bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now