Lumpuh Di Kaki

966 31 0
                                    


Perlahan-lahan datuk meraba dahi saya. Dari dahi jejari datuk merayap ke pangkal tengkuk. Saya rasa jejari datuk sejuk macam ais.

"Keadaan badan kamu macam biasa, tidak panas dan tidak pula sejuk, berdasarkan denyut darah yang aku rasa dari kepala hingga ke pangkal tengkuk, kau masih ada harapan."

"Maksud datuk?"

"Lumpuh di kaki kamu boleh sembuh jika diizinkan oleh Allah, cuma aku mesti berusaha."

"Bawa saya ke hospital untuk diperiksa, saya tidak mahu berubat dengan dukun dan bomoh."

"Kalau itu yang kamu mahu, aku turutkan," balas datuk dengan senyum.
Pintu yang terdedah terus juga menghantar angin malam ke dalam rumah. Suara jampuk sudah tidak sehebat tadi, begitu juga dengan bunyi burung hantu. Sesekali terdengar bunyi suara burung cenderawasih yang terbang berkawan. Kokok ayam jantan pun meningkah dalam suasana malam yang memburu pagi.

"Mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usahaku," datuk melahirkan harapan, sambil meraba kedua belah kaki saya yang lumpuh dan saya memang mengharapkan apa yang datuk katakan itu akan menjadi kenyataan.

"Sabar Tamar, aku akan berusaha." Sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-katanya, satu pancaran kilat melemparkan sinarnya ke dalam ruang rumah. Datuk dan saya terkejut seketika.

"Barangkali hari nak hujan Tamar?"

"Agak-agaknya begitulah tuk."

Datuk terus bangun. Ia memulakan langkah menuju ke pintu. Langkah satu, langkah dua, dan tiga berjalan lancar. Langkah keempat segera terbantut. Diganggu oleh bunyi petir yang amat kuat. Datuk segera menoleh kearah saya. Bunyi angin kencang jelas kedengaran melanggar dedaun dan reranting pokok di luar. Angin itu seolah-olah berlegar-legar di kawasan rumah.

Datuk pun menghidupkan langkah yang mati. Ia berdiri di muka pintu sambil kedua belah tangannya merapatkan daun pintu. Datuk terus memasang selak pintu. Bunyi titik-titik hujan mula kedengaran bersama dengan tiupan angin. Rasa dingin mula menyerbu tubuh badan. Kokok ayam jantan terus kedengaran.

"Hujan tu rahmat Allah, menyegarkan pokok-pokok. Kata orang hujan menjelang Subuh membawa berkat pada orang yang jaga, membawa celaka pada orang yang tidur."

"Silap tu tuk, sebetulnya membawa nikmat pada orang yang tidur dan tidak membawa apa-apa pada orang yang jaga."

"Dari mana kau belajar semuanya ini Tamar?"

"Dari kawan-kawan tuk."

Saya lihat datuk tersenyum panjang mendengar kata-kata itu. Ia terus duduk di sisi saya. Kedua belah kaki saya yang lumpuh diurutnya perlahan-lahan.

"Celaka pada orang yang tidur maksudnya, orang itu tidak akan bangun menunaikan sembahyang Subuh kerana terlalu seronok tidur waktu hujan dan syaitan akan membekalkan dirinya dengan mimpi-mimpi yang indah. Berkat pada orang yang jaga kerana ia dapat menunaikan sembahyang Subuh dengan sempurna," datuk menjelaskan pada saya. Saya terus anggukkan kepala membenarkan kata-katanya itu.

Hujan lebat yang bermaharajalela di luar membuat saya menguap dan rasa mengantuk yang amat sangat. Dua tiga kali saya tersengguksengguk macam ayam mabuk tahi. Kalau datuk tidak ada di sini, sudah lama saya berdengkur.

"Aku nak sembahyang jemaah di masjid Tamar."

"Hujan, macam mana tuk nak pergi?"

"Walau macam mana susah pun, perintah Allah tidak boleh diketepikan. Aku ni sihat dan diberi akal, lagi pun masjid bukannya jauh dengan rumah, aku pakai payung, kalau tak ada payung cari daun pisang."

"Uzur macam saya ni tak payahlah sembahyang tuk."

"Kena, kalau kau tak boleh bangun, boleh sembahyang cara duduk, soal utama perintah Allah mesti ditunaikan."

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now