Penunggu Rotan Semambu

1K 32 0
                                    


"Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong menolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia."

Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada datuk. Rupa-rupanya datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur. Saya tahu benar-benar, bila datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya. Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang. Saya tidak tahu bagaimana datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.

"Tamar."

"Ya Tuk."

"Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi"

"Kasihan nenek tuk, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung."

"Sabarlah", kata datuk dengan tenang.

Rupanya percakapan saya dengan datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu. Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.

"Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?", tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah datuk. Saya renung muka datuk.

"Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin. Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi ... ", datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar. Dua tiga kali datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.

"Cuba jelaskan biar saya faham?", desak lelaki itu. "Kalau dibuat juga dengan tidak mengenali Allah, orang yang melakukannya akan dikuasai syaitan."

"Hum ", begitu suara lelaki itu pendek dan membayangkan dia faham dengan apa yang dikatakan oleh datuk itu.

Akhirnya kami pun sampai di pekan Sungkai. Dari situ, datuk dan saya menyewa sebuah teksi terus ke Ipoh. Lebih kurang pukul empat petang saya dan datuk sampai ke kampung. Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sampai ke rumah ialah menuju ke bilik nenek. Saya lihat nenek terbaring dengan tubuhnya berselimut dengan kain batik Jawa.

"Tamar."

"Ya nek."

"Tolong picit kan kaki nenek."

"Baik nek."

Saya pun terus memicit kedua belah kaki nenek yang sejuk itu. Menurut nenek, sebelum dia menumbuk padi tadi, demamnya tidaklah berapa terus. Tetapi, setelah lima gantang padi selesai ditumbuk seluruh sendinya terasa sakit.

"Kenapa nek tak hantar padi ke kilang?", tanya saya.

"Memang turun temurun kita tumbuk pagi, belum pernah kita menghantar ke kilang. Padi yang sudah di kilang rasanya tak sedap. Khasiatnya banyak yang kurang", jelas nenek.

Saya pun tidak mengemukakan sebarang pertanyaan padanya. Dan terus memicit seluruh tubuh nenek. Kira-kira setengah ham kemudian, datuk datang membawa sebiji kelapa muda dan beberapa helai daun sirih. Datuk menyuruh nenek bangun. Datuk masukkan tiga helai daun sirih ke dalam perut kelapa muda yang sudah ditebuk. Dibiarkan daun sirih terendam dalam air kelapa kira-kira sepuluh minit. Datuk keluarkan daun sirih itu kembali. Terus dilipat menjadi tiga segi. Akhirnya datuk hancurkan daun sirih itu di telapak tangannya.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now