Tiba-tiba saya tersedak. Mata dan hidung terus berair. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke wajah saya. Renungannya begitu tajam. Tangan kanan saya yang memegang cawan teh terus menggeletar. Perlahan-lahan cawan itu saya letakkan kembali ke tempat asalnya (dalam talam kecil). Mahyuddin terus menepuk belakang saya perlahan-lahan, kemudian dia mengurut-ngurut dua tiga kali di bahagian tengah tulang belakang. Perjalanan nafas terasa normal kembali."Tak apa, tersedak tengah minum, menurut kata orang tua-tua, ada orang yang menyebut nama kamu Tamar", ujar Mahyuddin.
"Itu tandanya, minum tak menyebut kalimah Allah, cuba baca Bismillah tadi, tentu tidak begitu jadinya", sahut datuk.
Saya segera berpaling ke arahnya. Saya menggigit bibir, renungan datuk tidak lagi setajam tadi. Tetapi, saya tahu datuk begitu kesal dengan sikap yang telah saya lakukan itu."Dia tak sengaja, usahlah dikesalkan", Mahyuddin bersuara.
"Saya tahu, kalau dari sekarang tidak ditegur nanti perbuatan itu diulang lagi. Malu kita bila disebut orang membela cucu yang tak tahu adat dan tak senonoh", jawab datuk.
"Sudahlah, masih boleh dibetulkan", balas Mahyuddin sambil tersenyum pada datuk.
Dari tingkap yang terdedah, saya dapat melihat awan petang yang berarak perlahan-lahan arah ke selatan, sesekali ternampak burung gagak terbang rendah mencari ulat di daun pisang nangka dan embun. Kerana datuk tidak menjamah pisang goreng dan air teh, Mahyuddin terpaksa membawa barang-barang itu ke dapur. Datuk sandarkan badan pada dinding rumah. Dahinya kelihatan berkedut macam memikirkan sesuatu, saya masih lagi melihat gumpalan awan serta burung gagak yang terbang bebas di luar.
"Kalau mengantuk bawa baring dulu", kata Mahyuddin pada datuk.
Saya bagaikan terkejut dan merasa hairan, bila masanya Mahyuddin melintas di hadapan saya dari ruang dapur menuju ke ruang tengah.
Berdasarkan pada tempat yang saya duduk itu, sesiapa saja yang mahu pergi ke dapur atau dari dapur mahu ke ruang tengah mesti melintas di hadapan saya. Ah, ini memang perkara pelik, macam mana saya tak boleh sedar langsung Mahyuddin melintas. Agaknya, dia mahu menguji kepandaian datuk lagi.
Memanglah manusia Mahyuddin ini tidak boleh dipercayai. Semua persoalan itu bermain-main dalam kepala saya. Rasa curiga berbunga kembali dalam hati. Datuk harus diberitahu tentang hal ini, biar datuk bertindak segera, kalau lambat bertindak nanti celaka menimpa diri.
"Apa yang kau fikir Tamar?", tanya datuk dengan mendadak.
"Mahyuddin tuk", kata saya semacam berbisik.
Datuk tersenyum sambil menepuk bahu kiri saya berkali-kali. Datuk kembali duduk di tempat asalnya. Sesungguhnya saya tidak sedar masa bila datuk merapati saya. Mahyuddin yang duduk berhadapan dengan datuk, tersenyum ke arah saya. Dia bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya.
"Cucu awak memang pemerhati orangnya", kata Mahyuddin pada datuk.
"Betul kah cakap awak ni?"
"Saya bercakap setelah melihat, tadi sengaja saya menghilangkan diri di hadapannya ketika dia termenung panjang, rupa-rupanya dia sedar, malah langkah saya ke dapur dikiranya", tambah Mahyuddin lagi.
Datuk tarik nafas panjang. Begitulah perangai datuk, dia semacam tidak senang bila ada orang memuji saya secara . berhadapan. Saya garu pangkal dagu beberapa kali, kembang juga rasa hati bila menerima pujian begitu.
Mahyuddin memperkemaskan silanya. Datuk pula sandarkan badan ke dinding. Mereka sekarang berada dalam keadaan yang cukup selesa. Angin petang yang masuk ikut jendela memberikan rasa segar pada mereka. Barangkali, datuk dan Mahyuddin senang berada dalam keadaan demikian. Bagi diri saya tidak pula begitu, saya rasa jemu duduk dalam rumah tanpa melakukan sesuatu.