PROLOG

568 20 1
                                    

ALVIN Tan tersenyum riang memandang tiga buah bagasi besar yang tersandar di balik pintu biliknya. Lelahnya mengemas bilik dan barangan untuk dibawa pulang masih bersisa. Tiket penerbangannya untuk kembali ke tanah air terus dipandang berkali-kali. Masih tidak percaya dengan keputusan sendiri. Alvin tidak sabar menantikan hari esok! Pasti seluruh keluarganya tidak mempercayai kepulangannya nanti! It's a surprise! Haha!

Hampir saja matanya dilelapkan dek kepenatan, dirinya dikejutkan dengan bunyi telefon bimbit yang terletak di sebelah telinga kanannya. Panggilan dari ibu tercinta di tanah air membuatkan senyumannya kembali terukir...

Sebelum segala-galanya bertukar kelam.

"Come back Alvin! Please come back... Mommy need you! He is no longer with us. Daddy is no longer with us! Please... I need you Alvin!"

Alvin Tan tidak berkedip memandang skrin telefon bimbitnya. Tidak faham! Panggilan dan berita yang diterima daripada ibunya, Datin Sri Sierra Tan masih sukar dihadam. Raungan ibunya semakin kuat sampai ke telinga apabila Alvin masih membisu. Ibunya terus-terusan memujuk dengan nada tertekan. Esakan ibunya yang bersahut-sahutan begitu meruntun hati.

"Enough with your selfish attitude Alvin! Daddy and mommy have had enough with you! Seven years is too much already! Now daddy is gone! Stop that arrogance! Please come back! Don't let his soul suffers further..." Arianna Tan turut menyulam bicara si ibu. Sarat amarah.

Sungguh! Berita yang diterimanya amat sukar dipercayai. Ayahnya Tan Sri Raymond Tan, seorang ahli perniagaan terkemuka di Malaysia, pernah tersenarai dalam senarai sepuluh lelaki terkaya di Asia Tenggara dan yang pastinya lelaki itu juga adalah satu-satunya lelaki yang kebal di mata anak-anak termasuklah dirinya sendiri. Kini lelaki kebal itu telah terkorban bersama-sama tiga orang rakan kongsi termasuklah pengawal dan pembantu peribadinya dalam nahas helikopter di Kota Marudu, Sabah. Kata ibunya, nahas itu berlaku hampir satu jam yang lalu.

Alvin meraup wajahnya berkali-kali. Lehernya terasa berbahang. Mustahil malam terakhirnya di kota besar itu boleh diisi lena yang diharapkan.

Terngiang-ngiang pertengkaran terakhir dengan ayahnya tiga tahun lalu. Ketika itu semua ahli keluarganya hadir ke New York untuk sama-sama meraikan majlis konvokesyennya yang baru sahaja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan seni bina di The Graduate School of Architecture, Planning and Preservation, Columbia University. Ayahnya ketika itu marah sungguh apabila dia berkeras enggan mengikut mereka semua pulang ke Malaysia seperti yang diharapkan, sekaligus memungkiri janji untuk bekerja bersama-samanya di Teraju Holdings. Sebaliknya dia memilih untuk terus tinggal di kota metropolitan itu dan menyambung pengajiannya di peringkat sarjana, satu-satunya impian yang dia punya saat itu.

"If that is your decision, I will give you no more privilege as my son! I will give you nothing to survive here... take my offer or leave it." Kalimat terakhir ayahnya yang dilafazkan tenang dan kering di Lapangan Terbang John F. Kennedy pagi itu telah merubah nasibnya sama sekali.

Ayahnya tidak pernah memungkiri kata-katanya sendiri. Man of his words. Serta-merta dia kehilangan segala kemudahan dan sumber kewangan untuk menanggung perbelanjaannya di kota besar itu. Biarpun begitu, amarah dan ego mudanya membuatkan cabaran ayahnya disahut tanpa suara. Langsung membuatkan dirinya mahu bertahan dengan keputusan tersebut.

Keputusan itu jugalah yang mengajarnya erti sebenar 'hidup susah'. Jika sebelum itu dia bebas dan boros berbelanja sebagai anak hartawan Malaysia, namun sejak detik itu, dia terpaksa menebalkan muka mencari pekerjaan di sana sini untuk menyara kehidupan sehariannya termasuklah membiayai pengajiannya sendiri. Menjadi tukang cuci, pelayan bar, pemuzik jalanan mahupun gelandangan juga dia pernah. Dia tidak kisah semua itu. Baginya, berpaling untuk kembali ke pangkuan keluarga tanpa segulung Ijazah Sarjana Kejuruteraan Senibina tidak mungkin sama sekali.

DIA FATIHAHKUWhere stories live. Discover now