BAB 15

299 3 0
                                    

SUASANA di rumah Haji Rahmat dan Hajah Sakinah riuh. Saudara jauh dekat datang berkumpul. Majlis pertunangan puteri sulung mereka bakal disambut meriah. Jika orang tak tahu, pasti ada yang menyangka itu kenduri sambut menantu.

Rombongan meminang bakal tiba tidak lama lagi. Haji Rahmat dan Hajah Sakinah jadi tidak senang duduk. Gembira dan gementar bercampur baur. Sudah lama mereka menantikan hari bahagia ini. Impian mereka untuk berbesan dengan keluarga Dato' Dr. Murad dan Datin Khadijah bakal termakbul tidak lama lagi. Yang paling penting, Arif Rizqi, anak teruna yang akan menamatkan pengajian di Mesir dan pulang sebagai seorang doktor itu akan menjadi menantu mereka. Seterusnya menjaga puteri kesayangan selama-lamanya.

"Cantiknya kau Fatihah... makin cantik! Berseri-seri sangat!"

Nuris mengusik sahabatnya yang sedang duduk di birai katil meramas-ramas jari-jemari merahnya. Menahan gemuruh. Senyuman manis terasa begitu mahal harganya saat itu. Dadanya masih berdebar-debar. Pipinya yang berona merah hampir saja sama warnanya dengan selendang merah jambu yang tersarung di kepala.

"Mak oi! Sejuknya tangan kau! Rilekslah beb! Bukannya kahwin pun, baru bertunang je, kan?" Nuris kembali mengusik sahabatnya. Tangan sahabatnya memang sejuk betul.

"Cuaklah... awak doakan saya ya, Nuris..." Fatihah tidak mampu berbicara lanjut.

Mungkin dalam sepuluh atau lima belas minit lagi, rombongan Dato' Dr. Murad akan sampai. Dirinya akan disunting sebagai tunangan Arif Rizqi yang sah. Resahnya Tuhan saja yang tahu!

"Tenang je beb... ini kan impian kau! Insyaallah berkat kesabaran kau menanti 'doktor ustaz', dari tiga tahun, membawa ke lebih lima tahun ni, insyaallah kau akan dapat peluk cium hero kau tak lama lagi. Tunang seminggu je kan? Hihihi!" Nuris masih dengan usikannya.

"Awak ni! Janganlah usik saya..." Fatihah akhirnya tersenyum simpul dengan celoteh Nuris.

"Haaa! Bila sebut peluk-peluk, baru kau tau nak senyum kan... gatal!" Pinggang sahabatnya dicuit. Membuat Fatihah melatah kegelian.

Jauh di sudut hati Nuris, dia yang menjadi teman serumah Fatihah sejak lima tahun lalu sudah arif benar dengan kesetiaan sahabatnya pada kekasih hati yang jauh di perantauan. Dengan paras rupa sebegitu, bukan tidak ada jejaka yang cuba masuk jarum pada Fatihah, tapi kesetiaan gadis itu pada Arif Rizqi nyata sukar digugat.

"Lima tahun Nuris... lima tahun saya tunggu dia. Akhirnya, insyaallah..." Ada riak kepuasan dalam nada Fatihah.

Perancangan asal untuk mereka bernikah setelah pengajian Arif Rizqi masuk tahun ketiga tidak kesampaian. Kata Arif, keadaan di Mesir ketika itu kurang selamat untuk dia membawa Fatihah ke sana. Biarpun Arif mahu menghantar rombongan meminang ketika itu, Fatihah lebih awal menolak. Dia tidak mahu mengikat Arif Rizqi dan dirinya dengan sebuah ikatan sebegitu dalam tempoh yang panjang. Apatah lagi mereka tinggal berjauhan. Fatihah tahu, soal hati dan jodoh, bila-bila sahaja boleh berubah.

"Menangis air mata darahlah 'abang sepet' kau tu... kesian dia...haha!" Nuris masih lagi mahu mengusik. Kali ini topik Alvin Tan atau lebih mesra disebut 'abang sepet' pula dipetik.

"Isy... awak ni Nuris! Jangan macam-macamlah... saya dah tutup buku dah pasal tu. The end. Dua bulan dah kami tak contact..."

Entah mengapa, nama itu membuatkan debar kembali menerpa dada Fatihah. Apalah ceritanya lelaki itu sekarang. Sudah dua bulan drama pendeknya dengan Alvin Tan ditamatkan. Dia sempat memperkenalkan Alvin yang menunjukkan minat untuk mempelajari tentang Islam dengan Ali Hakim, rakan sukarelawannya, juga tenaga pengajar di Baitussalam.

DIA FATIHAHKUWhere stories live. Discover now