"Alvin! What happened to you?! You are not getting any better! What's wrong? What's going on Alvin?!"
Arianna Tan terus saja mendapatkan abangnya yang terbaring lemah tak bermaya di atas sofa di ruang tamu rumah lelaki itu.
Dia kalut ke rumah Alvin Tan sebaik sahaja menerima panggilan dan Susanti, pembantu rumah harian abangnya. Kata Susanti, semalam tuannya itu balik dalam keadaan mabuk. Tuannya tidak pernah sebegitu sebelum ini. Pagi ini, Susanti datang bekerja seperti biasa. Tuannya masih lagi mabuk-mabuk. Habis berbelas tin arak diteguk! Makanan yang disediakan dari pagi langsung tak dijamah. Sekali sekala tuannya meracau memanggil nama yang sama. Fatihah!
Bimbang, akhirnya Arianna Tan dihubungi. Dan pada Arianna, sememangnya sejak sebulan kebelakangan ini, abangnya itu kerap kali culas ke pejabat. Telefonnya jarang berangkat. Masanya banyak dihabiskan di kelab-kelab malam sendirian. Bebelan si ibu, tidak langsung dihirau.
"Alvin! Answer me... I think you need a doctor! We need to see a doctor!" Arianna terus mencapai telefon bimbitnya. Doktor peribadi keluarga mereka, Dr. Fatima segera dihubungi. Niatnya untuk memaklumkan perkara itu kepada ibunya dibatalkan. Dia tidak mahu memburukkan keadaan. Pasti Alvin Tan akan terus diamuk ibunya apabila melihat satu-satunya anak teruna tunggak keluarga mereka dalam keadaan begitu.
"Fatihah... Fatihah... I want Fatihah..." Arianna dapat mendengar abangnya yang masih lemah terbaring memanggil-manggil nama 'Fatihah'. Benarlah seperti apa yang diberitahu Susanti.
"Who is Fatihah, Susanti?" Arianna bertanya pada Susanti yang sedari tadi hanya tegak memandang Alvin Tan di sebelahnya.
"Enggak tahu bu..."
"Ada mana-mana perempuan yang tuan pernah bawa balik ke rumah ni?"
"Tidak pernah bu... waktu saya ada di sini, tak pernah saya jumpa bu. Dulu yang pernah datang itu hanya Miss Sophea sahaja. Tapi sudah lama tak pernah nampak dia..."
"Sophea tu Sophealah! Habis tu siapa pula Fatihah ni?!" Arianna mula panas hati apabila kedua-dua Alvin Tan dan Susanti tidak mampu menjawab soalannya.
Susanti hanya menggeleng laju. Tidak tahu.
"Argh! You are stupid Alvin! Enough with your childish act!"
"Susanti, get me some plain water. Now! Faster!" Arianna terus hilang sabar.
Jeritannya membuat Susanti yang sedari tadi tercegat memerhati kelam kabut berlari ke dapur mendapatkan air seperti yang diperintah.
"Aduh! Kok enggak bisa bicara baik-baik! Orang kaya gayanya sombong banget!" rungutnya perlahan di dalam hati.
Namun pada masa yang sama dia faham kebimbangan Arianna Tan. Nama Fatihah juga cukup misteri padanya. Dia juga ingin tahu siapakah pemilik nama itu. Pasti terlalu istimewa di hati tuannya. Cincin berlian yang sering ditilik tuannya sebagai bukti.
Padahal dua bulan lepas tuannya tampak jauh lebih ceria dan mesra dari biasa. Pernah suatu ketika, semasa mengemas bilik tuannya, dia dapat melihat ada sejadah dan tafsir Al-Quran Bahasa Inggeris di bilik lelaki itu. Pasti tuannya sedang mempelajari tentang agama Islam. Mungkin pemilik nama Fatihah yang menjadi punca perubahan lelaki itu. Pernah juga dia melihat tuannya menunaikan solat. Disangkanya tuannya itu telah memeluk Islam.
Namun, entah mengapa, keadaan itu tiba-tiba berubah. Tuannya tiba-tiba banyak mendiamkan diri. Termenung dan murung. Beberapa kali juga lelaki itu tidak ke pejabat seperti biasa. Keadaan semakin memburuk sejak kebelakangan ini apabila tuannya mula menangis, meracau, dan mabuk-mabuk.
YOU ARE READING
DIA FATIHAHKU
RomanceAda mamat Cina ni, nama dia Alvin Tan. Alvin ni suka kat budak perempuan bernama Nurul Fatihah, sebab ada satu insiden berlaku buatkan dia kata Tuhan yang hantar Fatihah kat dia, jadi Fatihah kena kahwin dan jadi milik dia sepenuhnya. Sejak dari per...