BAB 3

313 7 0
                                    

SUASANA sunyi tiba-tiba menyelubungi pasangan kekasih yang tenggelam dalam rasa rindu untuk bertemu. Lima tahun bukanlah suatu tempoh yang pendek untuk menahan gelora asmara cinta. Lima tahun itu cukup mendera jiwa. Seorang di bumi anbiya' menuntut ilmu dan seorang lagi setia menanti di tanah air bertuah. Hanya panggilan telefon dan video mengubat lara setiap kalinya.

"Tihah... Happy Anniversary!" Arif Rizqi akhirnya kembali membuka bicara setelah beberapa ketika diam.

Mahu memujuk kekasih hati yang terdera kerana merinduinya. Dia tahu kebisuan itu. Setiap kalinya memang begitu. Kebisuan itu sedang menggantikan titisan jernih di kelopak mata bundar yang dirindui. Andai sahaja Nurul Fatihah dapat merasai derita yang sama di dadanya.

"Tiba-tiba saja Arif ucap anniversary... tak pernah-pernah pun sebelum ni?" Nurul Fatihah mengesat air matanya. Dia pula berasa canggung apabila tiba-tiba kekasih hati mengucapkan Happy Anniversary. Bagai tidak percaya!

"Hari ni kan 15 Mei. Bermaksud sudah 15 tahun secara rasmi hati Tihah jadi milik Arif. Ingat tak? Arif ingat tau petang tu Arif bagitahu Tihah Arif suka Tihah, lepas tu Tihah angguk malu-malu! So sweet! Tihah pun suka Arif masa tu, kan?" Arif Rizqi mengusik.

"Ah! Ada-ada saja Arif ni... ke situ pula! Masa tu kita budak-budak lagi Arif! Tihah pun dah tak ingat." Dia cuba menipu.

Pipinya terus berona merah. Mujurlah tiada yang nampak. Skrin telefon dialihkan jauh. Bimbang Arif Rizqinya perasan wajahnya yang sedang menahan malu.

Tentulah malu bila diusik begitu. Siapa pun tak mungkin lupa akan tarikh keramat itu. Saat Arif Rizqi pertama kali berterus terang tentang rasa hatinya buat Nurul Fatihah. Kata Arif 'Nurul Fatihah hanya untuk Arif Rizqi'.

Biar pun masih kanak-kanak, tapi hatinya cukup matang untuk mengenal rasa cinta yang sedang memekar. Ya, dia sememangnya sudah bulat menyerahkan hatinya buat lelaki bernama Arif Rizqi sejak petang itu. Dan kini 15 tahun sudah berlalu.... siapa sangka, kisah cinta monyet mereka mampu bertahan selama itu?

"Tihah... Arif ada benda nak bagitahu ni." Arif bersuara lagi. Siap dengan hajat di hati. Sudah tidak sanggup ditangguh lagi. Cukuplah sekali apa yang dihajatkan tidak menjadi.

"Arif nak bagitahu apa? Macam serius je..." Fatihah pula jadi berdebar-debar.

"Arif seriuslah ni.... Arif nak bagitahu yang Arif nak balik tiga bulan lagi..."

"Hah? Betul ke? Biar betul Arif! Tihah tak percayalah! Jangan main-main tau!" Hilang malunya tadi saat mendengarkan berita yang sekian lama dinanti dari mulut Arif Rizqi. Jiwanya jadi teruja. Mahu saja dia melompat-lompat girang saat itu! Wajah tampan Arif Rizqi sudah bermain-main di depan mata.

'Allah! Syukur.... Tak lama lagi rinduku pasti terubat...' Bisik hatinya perlahan.

"Masyaallah! Arif tak tipu. Tengok ni! Arif dah beli tiket ni!"

Arif menayangkan tiket kapal terbang yang telah dibeli untuk pulang ke Malaysia di hadapan skrin telefon bimbitnya. Biar kamera telefon itu membuktikan kata-katanya pada Nurul Fatihah.

"Alhamdulillah... mesti ibu dengan ayah Arif yang paling seronok. Terubat sudah rindu, lama tak jumpa anak harapan..."

Nurul Fatihah cuba sedaya upaya menahan keterujaannya. Lagaknya bersahaja. Namun dalam hati, hanya Tuhan yang tahu! Sungguh dia mahu terbang tinggi saat itu!

"Bukan ke orang tu yang paling rindu? Arif nak ubatkanlah ni... tiga bulan lagi Arif balik tau! Nak peluk cium Fatihah!"

"Astaghfirullah! Eiii Arif! Apa cakap macam tu? Gatal!"

Tangan Fatihah menerawang cuba menutup senyum lebarnya. Terkejut dengan kata-kata bakal 'doktor ustaz' itu. Biar betul seorang Arif Rizqi akan berkata-kata begitu? Tak malu! Namun entah mengapa bagai ada rasa bahagia menyisip masuk ke dalam hatinya...

"Haha! Apa pula gatal! Peluk cium isteri sendiri takkan tak boleh?" Arif pula pecah dengan ketawa.

Dia tahu pasti saat itu Nurul Fatihah sudah dapat membaca niatnya. Juga sepertinya saat itu, Nurul Fatihah juga pasti terbuai-buai dengan impian mereka suatu masa dahulu.

"Hah?! Tak fahamlah..." Masih tidak percaya!

"Mestilah Arif balik ni sebab nak sunting Nurul Fatihah kesayangan sebagai isteri. Nak jadikan Tihah bidadari syurga Arif... itupun kalau orang tu sudilah..."

"Errr... tak sudilah!" Nurul Fatihah kembali mengusik. Padahal dalam hati, dia mahu melompat terbang lebih tinggi dari tadi.

"Tak sudi? Ok... kalau macam tu Arif tak jadi baliklah!"

"Eh! kenapa tak jadi? Janganlah macam tu..." Spontan, Fatihah diterpa bimbang. Janganlah tak jadi! Hati dah lebat berbunga ni!

"Sudi tak jadi isteri dan bidadari syurga Arif Rizqi ni?" Arif Rizqi bertanya sekali lagi walaupun sudah pasti akan jawapan dari gadis itu...

Fatihah diam seketika sebelum menganggukkan kepalanya. Gila tak sudi? Jiwa dah setengah mati sakit merindu. Dah ada yang datang dengan ubat, apa lagi mahu ditunggu?

"Terima kasih Tihah! Arif sayang dan cintakan Tihah sangat-sangat. Hanya Allah yang tahu..." Arif Rizqi kembali mengalunkan ayat-ayat cinta buat Nurul Fatihah. Membuatkan hati gadis itu mekar dengan impian dan cinta untuk dimiliki teruna bernama Arif Rizqi.

Perbualan santai petang itu berlangsung dengan lebih serius. Merpati dua sejoli itu sedang menganyam sarang rumahtangga yang bakal dibina...

"Insyaallah... 'Nurul Fatihah untuk Arif Rizqi' bakal menjadi realiti tiga bulan lagi..." Arif Rizqi menutup kata-katanya petang itu.

Sungguh dia memaksudkan kata-katanya. Kali ini dia sudah tekad. Sungguh-sungguh tekad. Biar apa jua yang menghalang, dia tak mungkin memungkiri janjinya lagi.

Dia akan memperisterikan Nurul Fatihah sebelum kembali ke Mesir untuk menamatkan tahun terakhirnya sebagai pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar juga seorang tahfiz Al-Quran.

Dan tanpa disedari Arif Rizqi, impian yang sedang membungakan bahagia di hati Nurul Fatihah petang itu sedang menghancur lumatkan hati milik sosok wanita yang sembunyi-sembunyi mencuri dengar setiap butir bicara pasangan kekasih itu di balik dinding yang sepi...

***

Ini pula tentang ARif Rizqi dan Fatihah! Couple sejak zaman kanak-kanak!

Kirim senyuman anda kalau dah mula sukakan cerita ini... tq

Salam sayang,

Michiko Ohara

DIA FATIHAHKUWhere stories live. Discover now