ANGIN malam itu terasa lebih dingin dari biasa. Sesekali angin dingin itu menampar tubuh langsing Nurul Fatihah yang dibaluti kurung kapas putih berias manik-manik jingga. Tangan kanannya kemas memegang hijab satin putih bersih yang melitupi dada. Bimbang terselak dek angin yang bertiup dengan halaju tinggi lantas menampakkan lekuk yang seharusnya disembunyi dari pandangan mata asing.
Bas yang dinanti masih belum kunjung tiba. Sesekali jam tangan berantai silver jenama Citizen yang dibeli dengan gaji pertamanya dikerling. 11.30 malam. Sudah terlalu lewat. Belum pernah dia pulang sendirian selewat itu dari pejabat. Bimbang juga menanti sendirian di stesen bas sebegitu.
Nurul Fatihah melepaskan keluhan berat. Fikirannya menerawang menyoroti perbincangan pasukannya dengan pegawai dari Jabatan Alam Sekitar dan pakar oseanografi dari dari Universiti Kebangsaan Malaysia petang tadi. Berita yang terpampang di dada akhbar pagi tadi menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. Singapura mendakwa bahawa projek penambakan laut Bandarimba telah mengakibatkan pencerobohan ke sempadan perairannya. Perkara itu tidak boleh dipandang enteng.
"Dr Izarul, saya dah bagitahu dari awal lagi yang jarak tapak projek dengan garis sempadan antara Malaysia dan Singapura terlalu dekat. Tak masuk akal! Limpahan bahan tambak memang boleh berlaku. Kita dah jalankan modelling dari awal lagi. But they were the one who refused to listen! Sekarang bila jadi kecoh macam ni, kenapa kita pula yang dicari?" Bentak Nurul Fatihah sebaik sahaja tamat mesyuarat yang menyakitkan kepalanya.
"Ini boleh jadi kes pertikaian antara dua negara, Fatihah... kita kena bantu."
"Nak bantu apa lagi doc? They've made a lot of money from that project... they should take the blame and bare the the costs. Pay compensation to the other party! Habis cerita!"
"It is not as simple as that, Fatihah. Ini isu kedaulatan negara. Sekarang kita kena bantu Kerajaan untuk sediakan data-data teknikal untuk menjawab dakwaan tu. Ini tanggungjawab kita." Dr Izarul cuba memahamkan Nurul Fatihah yang masih mentah dalam bidang itu.
Sudahnya, dari petang membawa ke malam, dia yang terlibat dalam penyediaan Kajian EIA Bandarimba tahun lalu perlu menyediakan segala maklumat teknikal yang diperlukan oleh pihak Kerajaan. Biarpun hatinya sakit mengenangkan kerakusan kapitalis Bandarimba, namun diturutkan juga arahan Dr. Izarul yang diterima. Sehingga jam 11.00 malam tadi, hanya dia yang tinggal sendirian di pejabat. Pelawaan Dr. Izarul untuk menghantarnya pulang ditolak lembut. Dia masih perlu menyelesaikan sikit lagi tugasannya malam itu. Bertangguh kerja adalah kepantangannya.
Akhirnya, kini dia terpaksa menanti sendirian di stesen bas yang sunyi untuk mendapatkan bas untuk pulang ke rumah sewanya.
'Vroom! vroom! vroom!'
Lamunan Nurul Fatihah dikejutkan ngauman kuat sebuah kereta yang terletak di bahu jalan hampir seratus meter darinya.
Matanya dicerunkan untuk melihat dengan lebih jelas kereta tersebut. Masih terus mengaum. Setempat dan tidak menunjukkan ciri-ciri mahu berlalu dari situ. Sesekali matanya terpejam dek silau lampu LED kereta yang menusuk anak matanya.
'Ada masalah ke tu? kereta rosak ke? Kenapa tak gerak-gerak dari tadi?' Soalan yang sama berputar-putar di benak Nurul Fatihah.
'Apa aku nak buat ni? Nak telefon 911 ke? Nak pergi tengok ke? Kalau itu orang jahat macam mana?'
Nurul Fatihah kembali bersoal jawab sendirian apabila melihatkan tiada sesiapa pun yang menghampiri kereta tersebut, biarpun banyak kenderaan yang lalu lalang di situ. Deruman enjin masih berterusan membuatkan sunyi malam bertukar hingar.
Entah mengapa hatinya tak semena-mena diterpa resah. Dalam keadaan sendirian begitu, dikejutkan pula dengan ngauman enjin yang tidak mahu berhenti dari tadi, siapa sahaja di tempatnya pasti berasa serba salah. Hatinya berat mengatakan pemilik kereta itu dalam kesusahan.
Matanya dipejam rapat. Doanya dipanjat di dalam hati.
'Ya Allah... Kau lindungi aku! Aku hanya mahu memberikan pertolongan kepadanya.'
Sejurus tamat doanya dibisikkan, dengan lafaz bismillah, Nurul Fatihah melangkah yakin ke arah kereta tersebut. Setapak demi setapak.
TIN arak di tangan yang sudah sedia diminum airnya ditenung lama. Sudah beberapa tahun dia tidak menghampiri air itu. Namun malam ini, kesakitan jiwanya membuatkan air itu dicari. Mahu menghilangkan gundah di hati.
Hampir saja air itu diteguk, bau alkohol yang kuat menusuk hidung membuatkannya terasa loya. Lantas tin ditangan kanannya diremukkan sekuat hati. Geram! Melimpah air itu ke tubuhnya. Semerbak bau arak menyebar ke seluruh kereta. Tin yang sudah kemik itu kemudiannya dilempar jatuh ke ruang kaki tempat duduk di sebelahnya. Stereng kereta kembali digenggam.
"Mana Kau Tuhan? Kalau benar Kau wujud, tunjukkanlah wajah Kau Tuhan! Kalau Kau dengar apa aku kata, Kau mesti jawab pada aku! Tuhan! Mana Kau?!!!" Alvin Tan meratap sendirian.
Genggaman jari-jemarinya di stereng kereta terus dikejapkan. Dia benar-benar terasa kosong! Berita yang diterima petang tadi meranapkan seluruh harapannya. Esok ahli lembaga akan bersidang dan memutuskan kedudukannya di Teraju Holdings! Dia buntu! Apa lagi yang dia belum buat untuk Teraju Holdings?
Enjin kereta kesayangannya Mercedez Benz E350 kembali dihidupkan. Pedal minyak ditekan maksima. Namun dengan gear 'P', keretanya tidak bergerak. Hanya ngauman enjin memecah sunyi malam itu. Menggambarkan amarah yang melahar di hati.
Dia mahukan jawapan saat itu. Dia benar-benar mahukan Tuhan untuk menjawab soalan-soalannya.
"Tunjukkan wajah Kau Tuhan! Tunjukkan! Kau pekak ke Tuhan? Mana Kau? They said that you are so powerful! I want to see that power You hold with You! Atau Kau sebenarnya memang tak wujud, kan? Betullah kata mommy dan daddy, you're never exist. Haha! Aku ada apa yang aku ada sebab aku yang usaha. Right? Aku hilang semua yang aku ada juga bukan sebab Kau kan? Bukan sebab Kau, Tuhan!" Alvin terus memejamkan mata dan melaung sendirian, penuh kesal dan amarah.
Dia terus mencabar Tuhan. Namun tiada jawapan. Hanya air mata hangatnya yang terus gugur lemah. Dia sungguh-sungguh lemah saat itu!
Dan tanpa Alvin sedar, ngauman enjin kereta kesayangannya sedari tadi telah menarik perhatian sepasang mata bundar dari perhentian bas yang terletak 200 meter di hadapan.
Mata bundar milik gadis bernama Fatihah. Nurul Fatihah.
LIMA minit berlalu....
Dalam gelap pemandangan dek mata yang terpejam, ratapannya memanggil Tuhan dijawab dengan percikan cahaya yang kuat menyilau sehingga pedih matanya terasa. Dia tersentak.
Matanya dibuka perlahan-lahan... digosok-gosok bagi menghilangkan silau yang masih bersisa.
Kini, dengan mata terbuka, Alvin Tan dapat melihat bagai ada gelang cahaya beberapa meter di hadapannya. Dadanya diterpa debar sekali lagi... peluh sejuk memercik ke seluruh tubuh kekarnya.
Semakin gelang cahaya itu menghampiri, semakin tubuhnya itu menggigil. Apakah benar apa yang dilihatnya kini? Matanya digosok-gosok lebih kuat kali ini. Tidak percaya.
Ada sesosok tubuh wanita berpakaian serba putih sedang maju ke arahnya bersama lingkaran cahaya tersebut.
'Itukah Tuhan?'
YOU ARE READING
DIA FATIHAHKU
RomanceAda mamat Cina ni, nama dia Alvin Tan. Alvin ni suka kat budak perempuan bernama Nurul Fatihah, sebab ada satu insiden berlaku buatkan dia kata Tuhan yang hantar Fatihah kat dia, jadi Fatihah kena kahwin dan jadi milik dia sepenuhnya. Sejak dari per...