"IBU dengan ayah akan ke rumah Fatihah esok... mungkin lepas makan tengahari. Kalau ikut rancangan kami, mungkin seminggu lepas majlis pertunangan tu, kita langsungkan terus akad nikahnya, boleh ya Arif?" Datin Khadijah sekali lagi cuba mendapatkan kepastian anak terunanya.
Dia sendiri sungguh teruja untuk bermenantukan Nurul Fatihah. Satu-satunya gadis yang berjaya menambat hatinya sedari dulu. Gadis itu sungguh istimewa di matanya. Cukup lengkap dengan paras rupa, budi bahasa dan didikan agama. Padan untuk anak terunanya!
"Boleh ibu... ikut yang Arif bagitahu haritu lah. Tak perlu kita buat majlis besar-besar bu. Cukup yang wajib-wajib saja. Itupun kalau keluarga Fatihah ok."
"Iyalah... ibu dah berbual dengan umi Fatihah tadi. Katanya Fatihah pun tak mahu buat majlis besar-besar. Jemputan pun tak ramai dari pihaknya. Yang meramaikan mungkin jiran tetangga dan keluarga saja."
"Ok... alhamdulillah kalau begitu. Ada apa-apa lagi yang tertinggal bu?"
"Tak ada... tinggal doa saja lagi minta semuanya dipermudahkan. Bimbang juga kalau tak jadi macam dua tahun lepas. Malu kita sekeluarga nanti..." Datin Khadijah kembali menyuarakan kebimbangannya. Fobia.
Masih teringat saat mereka sekeluarga sedang kalut membuat persiapan untuk merisik dan meminang Nurul Fatihah buat Arif Rizqi lebih dua tahun tahun lalu, tiba-tiba panggilan telefon diterima dari si anak yang jauh di Mesir memaklumkan yang dirinya tidak jadi berangkat pulang kerana keadaan keselamatan di Mesir yang tidak mengizinkan sehingga semua pelajar Malaysia terpaksa dikuarantin.
"Ok ibu... insyaallah kali ini jadi. Yang lepas tu di luar kawalan Arif, tapi pasti ada hikmahnya..."
"Iyalah..."
"Abi... abi! Nak ni! Nak ni!" Dari balik telefon Datin Khadijah dapat mendengar suara kanak-kanak kecil.
"Arif? Siapa tu nak?" Entah mengapa, ada rasa bimbang menerpa dadanya.
Lebih lima tahun anaknya itu di perantauan, apa-apa saja boleh berlaku tanpa pengetahuannya. Sangkaannya semakin menjadi-jadi apabila selepas pertemuan dengan salah seorang sahabatnya yang pernah bertugas di kedutaan Mesir. Kata sahabatnya itu, tiada sebarang kekecohan pernah berlaku dua tahun lalu seperti yang dikhabarkan Arif Rizqi. Juga tidak pernah mana-mana pelajar dikuarantin seperti yang dimaklumkan anaknya.
"Oh! Ni anak kawan Arif..." Arif Rizqi yang dikejutkan dengan kehadiran Alif Wajdi di ribanya mula hilang kata!
"Oh! Ingat anak Arif. Risau ibu. Memang budak tu rapat dengan Arif ya?" Datin Khadijah sedikit lega dengan jawapan si anak.
Namun tidak sampai mulutnya mahu bertanya.
"Eh! Ibu ni... sampai ke situ pula! Haha..." Cemas.
"Memang budak tu rapat dengan Arif ya?" Terus bertanya.
"Ibu selalu dengar suara. Duduk serumah ke?"
Bukan sekali dua suara kanak-kanak menjengah telinganya setiap kali mereka berbual di telefon. Entah-entah Arif sudah berkahwin di sana? Lagipun, ramai sahaja anak-anak sahabatnya yang belajar di Mesir memilih untuk berkahwin awal.
"Ha'ah bu... kami rapat. Ayahnya senior Arif..." Arif menjawab ringkas.
"Mana ibu dengan ayahnya?" Datin Khadijah bertanya lagi, ingin tahu... banyak persoalan mengganggunya. Hatinya juga bagai membisikkan bahawa memang ada sesuatu yang disembunyikan Arif daripadanya. Namun dia sendiri tidak pasti apa.
Bisu...
"Arif?"
"Ibu, nanti Arif telefon semula... ada orang datanglah bu..." Arif segera mencari helah untuk menamatkan perbualan dengan si ibu. Bimbang tidak terjawab setiap satu soalan si ibu.
YOU ARE READING
DIA FATIHAHKU
RomanceAda mamat Cina ni, nama dia Alvin Tan. Alvin ni suka kat budak perempuan bernama Nurul Fatihah, sebab ada satu insiden berlaku buatkan dia kata Tuhan yang hantar Fatihah kat dia, jadi Fatihah kena kahwin dan jadi milik dia sepenuhnya. Sejak dari per...