"Perlu ke Abang Raf buat Emi macam gitu?" Soal Elle tidak puas hati.
Dia yang baru duduk di sofa segera berdiri tegak semula apabila kata-kata abangnya itu masuk ke telinganya. Televisyen yang memaparkan siaran kegemarannya langsung sudah tidak diendahkan lagi.
Kesian Emily terpaksa berpindah ke rumah Pengetua Henri sedangkan kawannya itu baru sedar dari koma. Tidak kisahkah Abang Raf dengan perasaan Emily. Apa yang Emily akan fikir nanti. Mesti dia akan kecil hati kerana menganggap seolah-olah kami menghalaunya keluar dari Villa Roselia.
Raf yang duduk di atas sofa sambil kakinya dilunjurkan diatas meja segera menjatuhkan kakinya ke bawah dan memandang serius wajah adiknya itu. Dia tahu Elle pasti akan membentak geram jika dia memberitahu perkara itu awal-awal lagi, sebab itulah dia membiarkan Emily pergi ke sekolah dahulu baru perkara itu dibincangkan dengan adiknya.
"Abang Raf buat macam itu pun bersebab. Bukan Abang suka-suka saja nak suruh Emily keluar dari rumah ni." Jawab Raf tanpa perasaan sambil menukar siaran lain memandangkan Elle tidak menumpukan lagi perhatian pada drama kegemarannya di skrin televisyen itu.
Dia tahu angin kemarahan Elle sedang marak sekarang ini jadi dia perlu berbincang dengan tenang jika tidak mahu diri mereka berdua bertengkar.
"Tak! Masalahnya kenapa perkara penting macam ni baru sekarang abang nak beritahu pada Elle? Ni dengan Elle abang Raf baru beritahu, then dekat abang Ryan and Eriq, abang Raf dah bincang dengan mereka belum?" Hambur Elle dengan perasaan yang bercampur baur antara marah, geram dan sedih.
"Slow down sikit boleh tak Elle! Sebab inilah abang Raf tak nak beritahu pada Elle awal-awal. Yang Elle nak freak out sangat ni kenapa? Benda kecil macam ni Elle jangan nak perbesarkan!" Raf yang tadi memandang kearah skrin televisyen kini menumpukan sepenuh perhatian kepada adiknya.
Walaupun dia cuba memperlahankan suaranya tetapi nada suaranya tetap meninggi. Sikap Elle yang seperti inilah yang paling dia tidak suka iaitu dia terlalu over akan sesuatu. Kadang-kadang perkara yang remeh pun dia mahu memperbesarkan.
"Benda kecil abang kata. Abang Raf tahu tak Emily tu kawan baik Elle, Elle berhak tahu." Mata Elle yang berwarna hazel berubah menjadi warna merah menyala menandakan kuasanya sedang bergejolak dalam dirinya.
"Kenapa abang nak belakangkan adik abang sendiri?"
Pasu bunga ros yang berada di atas meja ruang itu pecah berderai secara tiba-tiba.
"Watch your mouth young girl. Kawal sikit perasaan tu, Abang Raf tak nak Elle pula yang cedera nanti. Elle ingat dengan perasaan Elle yang tak menentu tu boleh selesaikan masalah ni?"
Jelingan tajam dari Raf yang tepat menuju ke dirinya sedikit sebanyak membuatkan diri Elle merasa gelisah. Jika abangnya sudah memberi jelingan sebegitu bermakna dia juga sedang marah. Walaupun begitu, hati Elle masih tidak puas hati selagi Raf tidak memberi jawapan yang diminta.
"Elle sedar tak kalau semakin lama Emi tinggal dekat sini, diri dia tak akan selamat." Kata Raf perlahan.
Wajahnya Raf sedikit sebanyak sudah mulai muram seakan-akan apa yang ingin dikatakan akan mengecewakan semua pihak.
"Elle ada, abang Raf ada, kalau tak cukup pun abang Ryan dengan Eriq pun ada. Apa yang tak selamatnya?" Elle mendengus geram.
Jika dia tidak kuat melawan perasaan sendiri pasti air matanya akan melimpah keluar tetapi dalam hidupnya sudah banyak perkara pahit yang telah berlaku sehinggakan tiada lagi air mata yang ingin mengalir.
Banyak peristiwa sedih yang telah berlaku dalam hidup Elle. Dari kecil hingga sudah remaja perkara yang mendukacitakan tidak pernah lari dari kehidupannya. Jadi dia sudah bertekad, walau apa pun rintangan yang akan dilalui pada masa akan datang, dirinya tidak akan mudah berputus asa walaupun nyawanya dijadikan taruhan demi mempertahankan keluarga dan orang yang disayang.