"Celestia..."
Emily memandang sekeliling mencari dimana datangnya suara serak itu. Apa yang dapat dilihat hanyalah kegelapan.
Aku kat mana? Kenapa semua tempat gelap? Apa yang dah berlaku ni?
Emily mulai panik. Dia berjalan tetapi dia tidak tahu ke mana arah tujunya. Semua tempat gelap gelita sehinggakan dia tidak nampak apa-apa. Apa yang dapat dia rasa hanyalah kedinginan malam. Emily menggosok-gosok lengannya yang terdedah.
Macam mana aku boleh ada dekat sini?
"Ash?" Panggil Emily kuat.
Mana Ash pergi? Aku ada dengan dia tapi kenapa aku boleh ada kat sini. Mana semua orang pergi? Kenapa aku ditinggalkan seorang diri dekat sini?
"Celestia Emi..." Bunyi seseorang memanggil namanya lagi bergema memenuhi suasana yang sunyi.
"Siapa tu?" Jerit Emily.
Suara itu semakin lama semakin dekat. Tubuh Emily sudah terketar-ketar ketakutan. Emily buntu. Suara wanita itu sangat asing dan tidak pernah dia dengar selama ni. Apa yang dia nak dari aku?
"Emily."
Dia berlari sepantasnya apabila bunyi itu menandakan ancaman. Emily sudah tidak tahu untuk berbuat apa. Mungkin itu orang jahat oleh kerana itu dia tidak mahu dirinya tertangkap.
Mana aku nak pergi? Aku tak nampak apa-apa.
Jauh dia berlari, tiada penghujung yang ditemui. Yang pasti tiada sebarang halangan dihadapannya sewaktu dia berlari. Emily yakin dia sekarang berada di tempat yang luas.
Dia berlari sepantas yang dia mampu kerana dia merasakan seperti ada sesuatu yang mengejarnya dari belakang. Tidak berani Emily untuk berpaling ke belakang walaupun keadaan gelap gelita.
Aku tak boleh berhenti. Aku takut.
Keadaan yang gelap gelita tiba-tiba bercahaya malap. Kabus menyelubungi sekitar kawasan menjadikan tempat itu sungguh menyeramkan.
Aku berada di tempat yang lapang tapi kat mana? Tempat apa ni? Tempat ni asing sangat. Aku pasti yang aku tak pernah menjejakkan kaki kat sini sebelum ni.
Sampai di satu tempat Emily memperlahankan larian. Nafasnya tercungap-cungap penat. Sangat penat sehinggakan kakinya sudah terasa seperti jelly dan mungkin tidak lama lagi kakinya tidak mampu untuk bergerak.
"Haahaa..." Gelak tawa halus kedengaran.
Suara itu lagi. Walaupun aku dah berlari jauh tapi dia dapat kejar larian aku. Dia mengerling ke belakang sekilas. Dari kabus yang tebal Emily dapat melihat satu susuk tubuh seseorang yang datang ke arahnya.
Baru dia ingin mula berlari semula terus dirinya tersungkur jatuh ke tanah.
Wajah Emily sudah pucat tiada darah. Kaki aku tak boleh bergerak. Sedaya upaya Emily cuba merangkang ke hadapan. Dalam pada masa yang sama dirinya sudah menggigil ketakutan.
Kaku tubuh Emily apabila terasa kakinya dipegang sesuatu yang sejuk. Tidak berani dia hendak melihat dia terus menutupkan mata. Seluruh badannya sudah menggigil apabila benda itu seakan merangkak di atas dirinya.
Aku dah tak boleh nak buat apa lagi. Benda yang kejar aku tu ada dekat dengan aku. Sangat dekat sehinggakan aku boleh rasa sentuhan dia.
Emily mengeraskan diri. Dia cuba membuka sedikit kelopak matanya dan apabila gambaran tersebut betul-betul dihadapan mukanya, mata Emily terkejam kembali. Matanya sudah hangat dan bila-bila saja air mata itu akan mengalir.
Dihadapan wajahnya itu adalah seorang perempuan yang wajahnya dipenuhi dengan darah. Keseluruhan wajahnya merah. Titisan darah mengalir pada mulut wanita itu dan yang lebih memeranjatkan dia mempunyai taring macam vampire.