12 tahun yang lalu...
6 Januari 2008"Ina tak sukakan gurauan abang. Abang, please jangan takutkan Ina macam tu," Edlina memaut tangan Khalid dengan kuat lalu menyandarkan kepala ke bahu Khalid.
Khalid masih dengan senyuman yang sukar untuk ditilik makna disebaliknya. Entah mengapa, taman itu terus sunyi tanpa sebarang manusia.
"Abang tak bergurau, Ina," Khalid menguntumkan senyuman yang janggal.
"Tapi kenapa abang senyum ?"
"Abang tak mahu perpisahan ini menyebabkan kita bermusuhan. Dan benar, abang sudah tak ada hati pada Ina. Abang sudah jumpa cinta sejati abang semasa di Manchester. Maafkan abang, Ina. Anggaplah ini suatu pengalaman percintaan buat Ina. Jelas sekali, ini suratan Tuhan, kita tiada jodoh bersama. Abang harap Ina bertemu seseorang yang mampu membelai Ina semahunya. Selamat tinggal," Khalid meleraikan pautan tangan Edlina di lengannya lalu berlalu pergi bersama seorang gadis yang sedang menunggu di dalam keretanya.
Khalid yang menjauh menjadi pemandangan yang tak pernah terlintas di akal fikiran Edlina. Perpisahan yang tak pernah terfikir akan berlaku padanya. Edlina masih cuba menyerap kata-kata Khalid. Masih cuba menolak realiti. Kata-kata Khalid seakan menyentap rohnya. Tak semena-mena dirinya terduduk kaku. Airmata terus jatuh. Sampai hatinya Khalid meninggalkan Edlina.
HARI sudah lewat malam. Puan Mariam masih melongok di depan pagar menunggu kepulangan anak daranya. Dia sudah menelefon Puan Habibah dan bilang Puan Habibah, Khalid sudahpun pulang. Hatinya sudah tak tentu arah. Ke mana pula perginya Edlina dengan hujan yang daripada tadi mencurah ke bumi. Tak lama kemudian, Puan Mariam terlihat kelibat wanita berjalan dalam hujan. Bahunya seakan-akan jatuh seperti membawa beban yang banyak dibahu.
"Ina !"
Edlina menggigil kebasahan. Puan Mariam menyelubungi anaknya dengan tuala dan memapah Edlina ke dalam.
"Kenapa Ina ? Apa dah jadi ? Kenapa Ina berjalan dalam hujan ?" Puan Mariam menahan sebak melihat keadaan anaknya.
"Ma....," Edlina memeluk emaknya lalu menangis semahunya.
"Khalid dah tinggalkan Ina,"
Puan Mariam memeluk anaknya dengan erat. Mengerti dengan perasaan anaknya. Khalid dan Edlina bagaikan merpati dua sejoli. Dari kecil mereka sentiasa bersama. Khalid orang pertama yang berjaya memukau Edlina.
"Sabarlah, Ina. Mungkin ini takdir kamu. Sabarlah, nak. Mama pasti ada lelaki yang boleh bahagiakan Ina sama seperti Khalid,"
"Tak. Khalid satu-satunya untuk Ina. Tanpa Khalid, hidup Ina takkan bermakna lagi," kata Edlina dalam esakan.
"Ina. Jangan cakap macam tu. Ingat Allah itu ada. Ada sebab mengapa Dia pisahkan Ina dan Khalid. Usah fikirkan lagi. Lupakan saja tentang Khalid,"
Hampir 10 minit mereka berpelukan. Sebaik Edlina kelihatan tenang, Puan Mariam menyuruhnya mandi dan solat. Meminta ketenangan daripada Tuhan.
Keesokannya, Edlina merayu kepada Khalid untuk berjumpa hari itu. Khalid tak menolak, walaupun hatinya ragu-ragu namun fikirnya, ini akan menjadi perjumpaan yang terakhir untuk mereka.
"Jangan tinggalkan Ina, abang. Abang dah lupa semua janji abang pada Ina ? Abang dah lupa kenangan kita bersama ? Abang, kita bercinta sudah lama. Takkan abang boleh lupakan perempuan yang menyintai abang 11 tahun lamanya demi perempuan yang baru setahun dua mengenali abang ?" Bilang Edlina. Masih mengharapkan Khalid kembali ke pangkuannya.
"Maafkan abang, Ina. Walaupun abang masih sayangkan Ina, tapi rasanya tak sedalam dulu. Sungguh, Ina. Ina dah tak ada tempatnya di hati abang. Abang tak nak terus menipu diri abang. Betul, abang baru saja menaruh hati padanya, namun jiwa abang cukup kuat mengatakan dialah jodoh abang yang sebenarnya,"
"Tapi abang, kita dah boleh bahagia, abang. Lupakan gadis tu. Teruskan hidup dengan Ina. Tolonglah, abang. Ina tak mampu,"
Khalid menyisir airmata di pipi Edlina. Dia tak bohong tentang perasaannya pada Edlina, namun kasih yang diberikan kekasih barunya lebih melimpah ruah daripada Edlina.
"Ina akan terus berada dalam doa abang dan abang doakan Ina terus bahagia bersama keluarga Ina," dan kali ini, Khalid memeluknya untuk kali terakhir.
SEBULAN berlalu sejak peristiwa hitam itu. Edlina sibuk menyapu ruang tamu. Emaknya pula keluar berjumpa Puan Habibah. Edlina tak membantah. Biarlah hanya dia dan Khalid yang terputus, namun bukan persahabatan Puan Mariam dan Puan Habibah. Mereka jugalah yang mengenalkan Edlina dan Khalid. Kenangan pahit itu terus menghantui Edlina, walaupun keadaannya sudah tenang namun tak menghalang Edlina daripada terus menagih simpati Khalid, walaupun hanya dengan doa.
"Assalamualaikum," Puan Mariam sudah pulang.
Puan Mariam duduk di sofa. Dia menatap surat di tangannya sambil memandang Edlina yang duduk di meja seperti menulis sesuatu.
"Edlina," panggil Puan Mariam.
"Ya, ma ?" jawab Edlina.
"Sinilah kejap,"
"Baik, ma,"
Edlina meletakkan pen yang dipegangnya lalu pergi ke Puan Mariam.
"Edlina dah lupakan Khalid ?"
"Kenapa mama tanya, Ina ?" Edlina menarik rambutnya ke sisi.
"Sebab mama ada benda nak bagitahu,"
"Hm, perlu ke Ina bagitahu mama ? Ina taknak mama rasa terbeban dengan Ina,"
"Ina, Ina satu-satunya darah daging mama. Tak ada orang lain lagi di dunia ni. Sakit Ina, sakit mama juga, gembira Ina, gembira mama juga, sedih Ina, sedih mama juga," balas Puan Mariam.
"Baru sebulan mama. Tak mungkin Ina boleh lupakan percintaan kami selama 11 tahun itu. Tapi, hidup kena teruskan juga,"
"Ina nak pergi ke ?"
"Pergi mana ?"
Puan Mariam menghulurkan sepucuk sampul. Edlina mengambilnya lalu dibuka.
"Kad jemputan kahwin. Umi berikan pada Mama tadi. Umi kata kalau kita tak datang pun tak mengapa, Umi faham. Umi pun tak nak berikan kad ini pada Ina tapi Mama kata tak mengapa, Ina tak marah mama, kan ?" Kata Puan Mariam.
"Buat apa nak marah ? Inikan cuma sekeping kad. Mama, Ina naik dulu ya. Nak rehat. Penat kemas rumah,"
"Ha, iyalah. Pergilah rehat. Apa-apa panggil je mama, ya,"
"Baik,"
Edlina menaiki tangga dan terus ke bilik. Pintu bilik dikunci lalu dia menghempas badan ke katil. Mukanya ditekup dengan bantal dan dengan perlahan, airmatanya mengalir lagi. Cintanya pada Khalid masih utuh seperti dahulu, namun mengapa cepat sekali Khalid berubah ? Kasih yang terputus di tengah jalan terus ditangisi sehingga tak sedar entah bila dia terlena.

YOU ARE READING
Detik Yang Hilang
RomanceSEBELAS tahun menyulam cinta, Khalid dan Edlina bakal disatukan sejurus selepas Khalid pulang ke Malaysia. Namun siapa sangka, dalam masa yang singkat Khalid berubah hati. Takdir menemukan mereka selepas hampir dua belas tahun Edlina membawa diri. C...