Bab 2

12.2K 763 124
                                    

RAMBUT panjangnya disisir dengan rapi sebelum diikat kemas. Setelah berpuas hati, Kayla memilih cekak rambut yang berkenan di hati. Hampir separuh cekak rambut yang dimilikinya adalah hadiah daripada Aryan. Setelah memilih cekak rambut, beberapa aksi comel digayakan di hadapan cermin.

“Barulah nampak lagi cantik.” Kayla tersenyum lebar sambil memandang wajahnya dengan perasaan bangga.

Kayla mahu kelihatan cantik dan menarik di hadapan Aryan. Walaupun dia menjadi perhatian ramai pelajar lelaki di sekolah, hanya Syed Aryan Harraz sahaja yang berjaya mencuri hatinya.

Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, Kayla lekas mengambil beg sekolah dan keluar dari bilik. Hari ini, dia mahu tiba awal di sekolah. Di meja makan, Encik Malik sedang membaca suratkhabar sambil menjamah kuih.

“Daddy,” tegur Kayla dengan nada yang ceria.

“Dah turun pun anak daddy ni. Ingatkan tak bangun lagi. Mimpi apa semalam sampai hari ni bangun awal?” sindir Encik Malik.

Kebiasaannya Kayla akan dipaksa bangun orang gaji mereka. Perangai Kayla yang terlalu manja dan keras kepala itu membuatkan Encik Malik menjadi risau. Di sekolah, prestasi pelajaran Kayla tidak cemerlang seperti Adel dan Aryan. Puas dia menasihati Kayla supaya rajin belajar tetapi ada sahaja alasan yang diberi.

“Sampai hati daddy ni…” Mencuka wajah Kayla.

Hari ini merupakan hari jadi Aryan. Oleh sebab itu, Kayla sanggup bangun lebih awal untuk bertemu dengan Aryan di sekolah . Sedar air minumannya masih belum disediakan di atas meja membuatkan Kayla menjadi marah.

“Mak Jah!”

Terkejut Encik Malik dengan perbuatan Kayla.

“Ye, Kayla. Ada apa?” Mak Jah terus berlari keluar dari dapur sebaik sahaja mendengar suara Kayla.

“Air Kayla mana?” soal Kayla dengan nada yang tegang.

“Err... Kayla nak air lain ke? Mak Jah ingat, pagi ni Kayla tak kisah kalau Mak Jah buatkan milo panas.”

“Sejak bila Kayla suka air milo ni? Kan Kayla suka air horlick untuk sarapan. Buatkan Kayla air lain,” gesa Kayla.

“Kayla...” Keras suara Malik menegur.

“Err... baik Kayla. Mak Jah...”

“Tak perlu Kak Jah. Biar Kayla minum air apa yang ada dekat atas meja ni. Kak Jah boleh sambung buat kerja di dapur,” arah Malik.

“Daddy...” Meleret nada suara Kayla.
Mak Jah masih berdiri kaku di situ. Silapnya juga kerana dia tidak menyediakan air kegemaran Kayla.

“Masuk Kak Jah…”

Akhirnya Mak Jah akur dengan arahan majikannya. Setelah Mak Jah berlalu pergi, suratkhabar yang berada di tangannya dilipat kemas. Tajam anak matanya memandang ke arah Kayla.

“Tak boleh ke Kayla cakap elok-elok dengan Mak Jah? Dah tujuh tahun Mak Jah jaga Kayla. Kayla patut hormat Mak Jah. Bukannya bagi arahan sesuka hati…”

Kayla tayang wajah tak bersalah. Kata-kata nasihat Encik Malik langsung tidak masuk ke telinganya.

“Dah namanya orang gaji. Bukannya daddy tak bayar gaji pun pada Mak Jah...”

Encik Malik menggeleng perlahan. Ternyata Kayla tidak terkesan dengan nasihatnya tadi.

“Daddy tak suka Kayla layan Mak Jah macam tu. Umur Kayla dah 15 tahun, bukan budak-budak lagi. Setakat nak minum air segelas tu, Kayla boleh buat sendiri...”

Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now