Bab 6

8.3K 630 121
                                    

MESYUARAT bersama semua pengawas sekolah akhirnya selesai setelah hampir satu jam mereka berbincang. Ketika Aryan ingin keluar dari bilik pengawas, dia terkejut kerana Zatul masih berdiri di luar bilik itu.

“Awak buat apa dekat sini?” Tanya Aryan sambil mengunci pintu bilik pengawas.

“Saya tunggu awak. Err… sebenarnya saya nak ajak awak temankan saya hujung minggu ni. Cari bahan-bahan hiasan dewan.” Zatul menunduk malu.

Tempoh hari, Zatul dan Aryan telah keluar bersama kerana mencari beberapa pihak penganjur untuk menaja hadiah sempena Majlis Graduasi Pengawas.

“Barang apa?” Berkerut dahi Aryan mendengar permintaan itu.

Serba salah juga Aryan. Hujung minggu ini dia sudah berjanji untuk mengajar Kayla. Sudah hampir sebulan juga dia mengajar Kayla di rumah.

“Cat dan kain. Kalau pasal cat ni, saya bukan tahu sangat…”

Sebenarnya Zatul cuba mengambil peluang ini untuk mendekati Aryan. Sudah lama dia menaruh perasaan dengan rakan sekelasnya itu.

“Kalau macam tu, biar saya pergi sendiri. Awak tak payah pergi. Lagipun, saya ada hal hujung minggu ini.”

Zatul tersenyum kelat. Kecewa kerana tidak dapat keluar bersama Aryan.

“Ermm… kalau macam tu, esok saya akan serahkan duit tu kepada awak.”

“Boleh juga. Saya pergi dulu ye. Assalamualaikum.” Ucap Aryan sebelum berlalu pergi meninggalkan Zatul.

“Waalaikumussalam.” Belakang tubuh Aryan dilihat dengan rasa kecewa. Zatul berjalan lemah menuju ke tangga yang bertentangan arah dengan Aryan.

Tanpa disedari oleh Zatul, ada seseorang sedang mengekorinya dari arah belakang. Baru beberapa anak tangga Zatul menapak turun, tubuhnya tiba-tiba ditolak kuat sehingga dia terjatuh ke hujung tangga. Kepalanya terhentak kuat di lantai simen sehingga dia tidak sedarkan diri.

Dari atas tangga, tubuh Zatul dipandang tanpa rasa bersalah.

“Padan muka kau. Baru puas hati aku...”

😊😊😊😊😊😊😊😊😊😊😊😊😊😊

KECOH hari ini di sekolah apabila berita mengenai kemalangan yang menimpa diri Zatul tersebar. Malah kes ini turut disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak sekolah. Kemalangan yang menimpa diri Zatul dianggap sangat serius.

Zatul kini tidak dibenarkan ke sekolah sehingga dia benar-benar sihat. Ramai rakan sekelasnya sangat bersimpati dengan nasib Zatul. Kayla hanya duduk di kerusinya sambil berpeluk tubuh.  Dhiya yang duduk di sebelah Kayla hanya menikus sahaja.

“Err... Kayla...” Panggil Dhiya dengan suara yang agak perlahan.

“Ehmm...”

“Kau tak risau ke pasal kes Kak Zatul tu?” Bisik Dhiya.

Tajam mata Kayla memandang Dhiya. Laju Dhiya mengalihkan anak mata ke arah lain. Kecut perut juga dia melihat wajah Kayla yang menyinga itu.

Tanpa menghiraukan rakan-rakan sekelasnya yang lain, Kayla terus melangkah keluar dari kelas itu. Belum sempat dia ingin keluar, tubuhnya ditahan oleh seseorang.

“Kau nak pergi mana ni? Kejap lagi Puan Julia kan nak masuk,” soal Murni dengan nada yang tegas.

“Ada aku kisah…” Kayla tayang wajah selamba.

“Kau ni memang sengaja nak cari pasal kan…” Bengang Murni kerana Kayla langsung tidak menghormati dirinya sebagai penolong ketua kelas.

Malas bertekak dengan Murni, selamba sahaja bahu gadis itu dilanggar ketika dia keluar dari kelas. Kayla sebenarnya tidak suka mendengar pelajar yang lain bercakap tentang Zatul.
Di tandas, Kayla membuka paip air di singki dan sengaja membiarkan air mengalir laju. Wajahnya dibasahkan untuk menghilangkan rasa marah. Dia merenung wajahnya di hadapan cermin tandas. Saat ini dia teringatkan kejadian yang berlaku pada petang semalam.

Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now