Teaser 6

2.8K 33 3
                                    

KECOH hari ini di sekolah apabila berita mengenai kemalangan yang menimpa diri Zatul tersebar. Malah kes ini turut disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak sekolah. Kemalangan yang menimpa  Zatul dianggap sangat serius.

Zatul kini tidak dibenarkan ke sekolah sehingga dia benar-benar sihat. Ramai rakan sekelasnya sangat bersimpati dengan nasib Zatul. Kayla hanya duduk di kerusinya sambil berpeluk tubuh.  Dhiya yang duduk di sebelah Kayla hanya menikus sahaja.

“Err... Kayla...” Panggil Dhiya dengan suara yang agak perlahan.

“Ehmm...”

“Kau tak risau ke pasal kes Kak Zatul tu?” Bisik Dhiya.

Tajam mata Kayla memandang Dhiya. Laju Dhiya mengalihkan anak mata ke arah lain. Kecut perut juga dia melihat wajah Kayla yang menyinga itu.

Tanpa menghiraukan rakan-rakan sekelasnya yang lain, Kayla terus melangkah keluar dari kelas itu. Belum sempat dia ingin keluar, tubuhnya ditahan oleh seseorang.

“Kau nak pergi mana ni? Kejap lagi Puan Julia kan nak masuk,” soal Murni dengan nada yang tegas.

“Ada aku kisah…” Kayla tayang wajah selamba.

“Kau ni memang sengaja nak cari pasal kan…” Bengang Murni kerana Kayla langsung tidak menghormati dirinya sebagai penolong ketua kelas.

Malas bertekak dengan Murni, selamba sahaja bahu gadis itu dilanggar ketika dia keluar dari kelas. Kayla sebenarnya tidak suka mendengar pelajar yang lain bercakap tentang Zatul.

Di tandas, Kayla membuka paip air dan sengaja membiarkan air mengalir laju. Wajahnya dibasahkan untuk menghilangkan rasa marah. Dia merenung wajahnya di hadapan cermin tandas. Saat ini dia teringatkan kejadian yang berlaku pada petang semalam.

Hatinya sakit ketika ternampak kelibat Zatul bersama Aryan. Disebabkan terlalu marah, dia sanggup mengekori Zatul sehingga ke tangga. Walaupun sudah dihalang oleh Dhiya, dia tidak peduli dengan rancangannya itu.

Tanpa rasa bersalah, tubuh Zatul ditolak sehingga jatuh ke bawah tangga. Hatinya cukup puas kerana dapat mengajar Zatul. Hanya Dhiya sahaja yang tahu tentang kejadian semalam.

Kayla telah memberi amaran kepada Dhiya supaya tidak menghebohkan perkara ini kepada sesiapa. Akhirnya, Dhiya terpaksa akur dengan arahan Kayla. Dhiya takut jika dirinya ditangkap kerana terlibat dalam kemalangan yang menimpa diri Zatul.

“Sesiapa yang cuba sakitkan hati abang, Kayla tak akan lepaskan dia."

😨

Kayla ni terlalu obses dgn Aryan😅

Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now