Bab 8

8.1K 691 114
                                    

ENCIK Malik bergegas ke rumah Dato Syed Arman sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon daripada Aryan. Risau memikirkan keadaan Kayla yang mengalami demam panas. Perasaan bersalahnya semakin menebal kerana terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan Kayla.

Dia tiba di rumah Dato Syed Arman hampir waktu Maghrib. Semasa dia tiba sana, Dato Syed Arman sudah pun menunggu kedatangannya di luar rumah.

“Assalamualaikum, Man. Kayla macam mana?” Tanya Encik Malik dengan perasaan gusar.

“Waalaikumussalam. Dia dah okey sikit lepas makan ubat. Masuklah dulu.”

Kasian juga Dato Syed Arman melihat raut wajah Encik Malik yang agak kepenatan itu. Encik Malik hanya menurut sahaja dan masuk ke dalam rumah. Mereka duduk berbual di ruang tamu.

“Aku minta maaf sebab susahkan kau sekeluarga. Pagi tadi aku langsung tak sempat jumpa Kayla sebab nak cepat ke Kedah. Dahlah telefon aku habis bateri. Terkejut juga aku bila dapat tahu Kayla demam panas,” jelas Encik Malik panjang lebar.

“Tak ada susahnya, Malik. Kau ni macam tak biasa pula dengan aku. Kayla tu aku dah anggap macam anak aku sendiri. Aku pun tahu dia sakit masa dah sampai di rumah.”

Dato Syed Arman tidak mahu Encik Malik merasakan Kayla satu beban buat mereka sekeluarga. Dia tahu Encik Malik sekarang sedang sibuk menguruskan projek besar di Johor dan di Kedah. Kadang-kala Encik Malik terpaksa berulang alik ke dua buah negeri ini untuk memastikan perjalanan kerja-kerja pembinaan rumah berjalan dengan lancar.

“Kayla dah makan ke tadi? Setahu aku, Kayla kalau kena demam panas, payah betul nak makan.” Tahu benar Encik Malik dengan sikap Kayla yang degil ketika jatuh sakit.

“Dia jamahlah juga. Adel kata mula-mula liat juga dia nak makan tapi lepas Aryan yang pujuk, baru Kayla tu nak makan.” Dato Syed Arman tergelak lucu.

Tersenyum nipis Encik Malik. Jika perkara yang berkaitan dengan Aryan, pasti anaknya akan menurut sahaja. Sayang sangat Kayla dengan Aryan.

“Kayla tu kalau dengan Aryan laju aje mendengar kata, dengan aku bukan main payah lagi nak mendengar...” Encik Malik mengeluh lemah.

“Kayla tu memang manja budaknya. Nak-nak lagi kalau dengan Aryan. Jomlah kita solat dulu. Lepas ni, baru kau pergi jenguk Kayla. Kalau boleh, biarlah Kayla tu tinggal dekat sini dulu sampai dia sihat,” cadang Dato Syed Arman pula.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi Malik. Sekurang-kurangnya bila kau pergi bekerja, Yasmin boleh tolong jagakan,” celah Dato Syed Arman tanpa sempat Encik Malik menghabiskan ayatnya.

“Kalau macam tu, terima kasih ya, Man.”

“Sama-sama.”

Mereka berdua beriringan berjalan menuju ke bilik solat.

💕💕💕💕

LAMA mata Aryan merenung wajah Kayla yang masih pucat itu. Terkilan juga Aryan kerana terlupa tentang tarikh yang sangat penting buat Kayla. Sejak dari dulu lagi Kayla tidak suka meraikan hari jadi kerana ia akan mengingatkan Kayla tentang arwah ibunya.

“Makan juga Kayla ni. Jampi apalah yang Abang Yan guna baru boleh buat si Kayla ni makan...” Perli Adel sambil menukar kain tuala basah di dahi Kayla.

Aryan hanya berdiam diri sahaja. Kayla sudah tertidur selepas menelan ubat yang diberi oleh Aryan. Jika demam Kayla masih belum kebah sehingga pagi esok, Aryan akan membawa Kayla ke klinik untuk menerima rawatan.

“Adel nak ke dapur. Nanti Abang Yan jangan pula duduk dekat bilik Adel ni lama-lama. Takut umi dengan walid nampak, tak manis pula,” pesan Adel.

Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now