Teaser 2

2.9K 41 1
                                    

Seikhlas Cinta Kayla

Teaser 2

“Pak Daud, balik nanti tak payah ambil Kayla. Kayla nak balik rumah umi,” pesan Kayla.

“Tuan Malik dah tahu Kayla nak ke sana?” Soal Pak Daud yang juga merupakan suami Mak Jah. Sudah hampir tujuh tahun juga mereka suami isteri bekerja dengan Encik Malik.

“Anggap aje daddy dah tahu,” jawab Kayla dengan selamba. Terpinga-pinga Pak Daud ditinggalkan oleh Kayla.

Sebaik sahaja dia masuk ke kawasan sekolah, Kayla segera mencari Aryan. Dari jauh, dia ternampak kelibat Aryan yang segak memakai uniform pengawas sekolah. Ketika itu Aryan masih ralit dengan buku nota di tangan.

“Abang!” jerit Kayla sambil berlari anak ke arah Aryan.

Aryan mendongak memandang hadapan.

“Abang...” Termengah-mengah Kayla dibuatnya. Aryan sekadar tersenyum nipis.

“Awalnya adik abang datang sekolah hari ni. Biasanya selagi pintu pagar sekolah tu tak tutup, bayang Kayla pun tak muncul lagi,” perli Aryan sambil melihat jam di tangan.

Masam wajah Kayla.

“Bukannya dia nak puji kita datang awal. Kena ejek lagi, adalah. Sampai hati,” kata Kayla dengan nada seolah-olah berjauh hati.

Tergelak Aryan apabila melihat wajah cemberut Kayla. Dia kenal sangat dengan sikap Kayla yang rajuknya tidak panjang itu. Dia sekadar bercakap benar. Sudah beberapa kali dia terpaksa membantu Kayla terlepas dari dikenakan denda. Ralat juga dia kerana terpaksa bersikap tidak adil dengan pelajar lain.

“Kan bagus kalau Kayla hari-hari macam ni. Esok datang awal lagi ye,” puji Aryan sambil menggosok kepala Kayla.

Kayla tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua pipinya.

“Petang ni, abang ada kelas tambahan lagi ke?” Manja Kayla bertanya. Harap-harap, Aryan tidak mempunyai aktiviti hari ini. Dia sudah merancang sesuatu yang istimewa untuk lelaki itu.

“Tak ada. Kenapa?”

Lengan Aryan terus dipeluk erat sebaik sahaja mendengar jawapan itu.

“Kayla nak ikut abang balik rumah. Dah lama Kayla tak jumpa dengan umi dan walid.”

Aryan segera melepaskan pautan tangan Kayla di lengannya. Risau jika ada mata-mata pelajar lain melihat aksi mereka. Walaupun sudah ramai pelajar di sekolah ini mengetahui hubungan rapat di antara mereka, dia masih perlu menjaga batas pergaulannya.

“Kayla, kita dekat sekolah. Jangan buat macam ni. Abang tak suka,” tegur Aryan dengan suara yang tegas.

Mencebik bibir Kayla.

“Pegang lengan pun nak marah. Boleh tak Kayla ikut abang?” Sekali lagi Kayla bertanya.

“Ya. Boleh.”

“Yesss! Petang ni tunggu Kayla, ya. Sayang abang.” Kayla menghadiahkan flying kiss kepada Aryan sebelum berlari anak menuju ke kelas.

Aryan menggeleng perlahan dengan aksi nakal Kayla. Jika hendak dibandingkan dengan Adel, rasanya Kayla lagi manja ketika bersama dengannya.

Kayla masuk ke dalam kelas dengan wajah yang ceria. Pada ketika itu, hanya beberapa pelajar sahaja yang ada di dalam kelas. Kebiasaannya jika Kayla sampai di sekolah, hampir semua pelajar sudah berada di dalam kelas.

“Kayla, awalnya kau datang pagi ni?”

Kayla merengus kasar. Sakit juga telinganya mendengar pertanyaan yang sama dalam sehari.

“Masuk ni, dah tiga orang tegur aku soalan yang sama. Salah ke aku datang awal?” Bengang juga Kayla kerana asyik disindir.

“Janganlah marah. Aku cuma pelik aje tiba-tiba kau dah terpacak dekat dalam kelas ni,” kata Dhiya yang merupakan sahabat baik Kayla di sekolah sejak di tingkatan satu lagi. Hanya Dhiya sahaja yang tahan dengan sikap sombong Kayla.

“Kerja sekolah aku, kau dah siapkan?” Tanya Kayla dengan suara yang perlahan.

“Dah siap. Kejap, aku cari buku tu...” Dhiya lekas mengeluarkan buku latihan Kayla dari beg sekolah. Buku itu diserahkan kepada Kayla.

“Tulisan ni, kau buat sama tak macam tulisan aku?” soal Kayla inginkan kepastian.

“Mestilah. Nanti tak pasal-pasal aku kantoi dengan Puan Julia.” Laju Dhiya menjawab.

“Bagus. Seminggu ni aku belanja kau makan sebagai ganjaran,” kata Kayla sambil kenyitkan mata.

Tersengih-sengih Dhiya. Dapatlah dia berjimat selama seminggu di sekolah.

💕

💕

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now