Bab 4

9.2K 647 87
                                    

KAYLA mencari kelibat Aryan di kawasan kolam renang. Pasti Aryan sedang duduk bersantai di sana kerana tempat itu merupakan tempat kegemaran Aryan.

Sayup-sayup Kayla terdengar suara Aryan sedang menyanyi sambil bermain dengan gitar. Perlahan-lahan Kayla melangkah ke arah Aryan yang masih belum sedar akan kehadirannya di situ.

“Abang!” Jerit Kayla sambil memeluk erat leher Aryan.

Terkejut Aryan dengan sergahan Kayla.

“Kayla!”

Tangan Kayla yang masih berlingkar di lehernya cuba dileraikan. Bergetar naluri lelakinya apabila terbau wangian milik Kayla. Selamba sahaja Kayla duduk di sebelah Aryan sambil tergelak lucu.

“Bila Kayla nak balik ni? Nanti daddy risau pula,” soal Aryan sambil cuba menahan rasa debar di dada.

“Macam tak suka aje Kayla ada dekat rumah ni....” Masam wajah Kayla.

“Bukan macam tulah niat abang. Salah ke abang tanya?” Pelik pula dia melihat sikap Kayla yang mudah sensitif sejak akhir-akhir ini.

“Abang nyanyi lagu apa tadi? Nyanyilah untuk Kayla,” pinta Kayla.

Kayla sengaja menukar topik perbualan kerana tidak mahu bercakap tentang Encik Malik. Dia sebenarnya tidak mahu masalahnya terdedah.

“Malaslah...” Aryan tayang wajah selamba.

“Kedekutlah abang ni. Pinjam kejap gitar tu…”

Teragak-agak Aryan menyerahkan gitar itu kepada Kayla. Takut juga jika Kayla ingin merosakkan gitar kesayangannya itu.

“Nak buat apa?” soal Aryan dengan rasa curiga.

“Bagilah dulu…”

Gitar itu terus dirampas dari tangan Aryan. Tersenyum Kayla apabila gitar itu berada di tangannya. Aryan hanya memerhati telatah Kayla yang sedang cuba bermain dengan gitarnya.

“Kayla nak mainkan satu lagu untuk abang. Abang nak dengar?”

Terus Aryan ketawa lucu. Perutnya ditekan menahan rasa geli hati.

“Jangan buat lawaklah, Kayla. Kayla mana pandai main gitar,” sindir Aryan.

Makin tercabar pula Kayla dengan sindiran Aryan. Bibirnya diketap menahan geram.

“Kalau Kayla dapat main gitar ni, macam mana?”

“Abang akan tunaikan permintaan Kayla…” Laju Aryan memberikan tawaran.

“Baik, jangan menyesal…”

Kayla tersenyum senget. Dia mula menyelesakan kedudukan gitar di atas ribanya. Tanpa pengetahuan Aryan, sudah dua bulan dia belajar sendiri bermain gitar semata-mata untuk memberi persembahan kecil buat Aryan.

“Selamat hari jadi... Selamat hari jadi... Selamat hari jadi, abang... Selamat hari jadi...”

Senyap. Terkedu Aryan kerana tidak menyangka Kayla dapat memetik gitar itu sambil menyanyikan lagu hari jadi. Walaupun hanya sekadar lagu ucapan hari jadi, ia sudah mampu membuatkan Aryan berasa kagum dengan kebolehan Kayla.

“Selamat hari jadi abang.” Ucap Kayla dengan nada yang manja.

“Err... terima kasih. Macam mana Kayla boleh main gitar ni?” soal Aryan ingin tahu.

Perlahan-lahan Kayla mendekatkan bibirnya ke telinga Aryan. Berdebar dada Aryan saat kedudukan mereka semakin rapat.

“Rahsia…”  Bisik Kayla sambil mengekek ketawa.

Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)Where stories live. Discover now