Part 4

3.6K 374 17
                                    

"Hari ni jom kita keluar lunch dekat Restoran Mama. Dah lama tak makan situ."

"Eh, mak buyung mengidam ke?" Indah mengusik. Jarang Saila mahu meminta itu ini sejak disahkan mengandung. Makan bersama mereka pun sudah tidak sekerap dulu.

Sejak hubungan Saila dengan Qairie tidak lagi menjadi rahsia, atasan mereka itu langsung tidak teragak. Kalau tak ada urusan di luar, waktu makan tengahari Saila semua dijadikan hak miliknya sendiri. Sama ada makan di luar, atau dia membuat food delivery ke pejabat.

"Hari ni ada orang nak belanja." Saila mengulum senyum. Matanya sesekali melirik ke arah Kinah.

Kinah yang ralit dengan kerja, langsung tidak masuk campur dengan perbualan mereka. Apa pun keputusan mereka, dia ikut bersetuju. Tekaknya tidak banyak songeh. Makan saja apa yang disuap masuk ke mulut.

"Kinah drive tau." Awal lagi Kak Mun sudah memberi arahan. Lebih kepada mahu mengusik, kerana dia tahu Kinah tidak suka menjadi penumpang.

"Okay." Terus Kinah menjawab tanpa banyak soal.

Dia sendiri pun lebih senang menjadi pemandu daripada menjadi penumpang. Kalau Indah yang memandu, tangkai jantung terasa seperti hendak tercabut. Laju tanpa waspada. Dengan Kak Mun pula, rasa seperti mahu ditarik-tarik rambut. Slow seperti kura-kura! Pendek katanya, Kinah cuma berpuas hati jika dirinya sendiri yang memandu.

Jam 12.50, Kinah saja yang masih tekun. Indah dan Kak Mun sudah bersandar enak di kerusi. Saila baru saja mengemas serba sedikit mejanya.

"Sudahlah tu Kinah...nak tunjuk rajin dekat siapa?"

Kinah mengerling dari hujung mata. Tidak terusik. Mouse digerakkan untuk mengetik butang save. Selepas memastikan semua kerja selamat disimpan, baru dia meletakkan komputer ke dalam mode tidur.

"Okay, jom." Dia terus bangun berdiri. Disambar purse dan kunci kereta yang memang selalu diletakkan di hujung bucu meja.

Mereka berjalan keluar bersama-sama sebelum tenggelam di dalam arus pekerja lain yang ikut sama berjalan ke arah pintu keluar. Sempat juga bertegur sapa dengan staf wanita jabatan lain.

15 minit kemudian, Kinah sudah duduk di Restoran Mama. Dia cuma mengambil sejenis lauk sahaja. Disulamkan dengan timun dan sambal belacan. Malas mahu berebut menunggu giliran di bahagian ayam dan ikan bakar. Sementara menunggu yang lain untuk duduk dan makan bersama, dia membuka applikasi facebook. Melihat apa yang menarik untuk dibaca.

"Lama tunggu?"

Mata Kinah terkejip-kejip dalam tunduknya melihat skrin telefon. Tidak bersegera memanggung kepala.

Suara siapa? Rasanya seperti pernah didengari sebelum ini. Tapi mungkin itu adalah sapaan untuk orang lain. Mereka datang berempat. Semuanya berjantina sama. Perempuan. Suara yang menegur itu adalah milik manusia berjantina lelaki.

"Key."

Walaupun perkataan itu ada menjentik hati, Kinah tetap tidak hirau. Siapa saja pun boleh menyebut 'Ki'. Lagipun itu semua kisah lama. Cuma ada satu manusia saja yang suka memanggilnya begitu. Itupun dengan niat mahu mengejek.

"Kinah."

Terus tegak duduk Kinah yang sedikit menunduk. Angkat dan pusing saja kepala, pandangan terus bertembung dengan mata seseorang yang sedang tersenyum sinis menjongket kening ke arahnya.

"I still remember." Nain ketuk sisi dahinya dengan telunjuk beberapa kali. Terhibur melihat gelagat Kinah yang sedari tadi tidak mahu menerima hakikat dirinya sedang disapa.

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now