Part 9

3.4K 356 20
                                    

Bismillah ....

Terkumat-kamit mulut Kinah membaca doa menaiki kenderaan sebelum melepaskan pedal minyak perlahan-lahan. Van tua Vanette itu sudah bertahun-tahun menabur bakti pada mereka sekeluarga. Banyak kali juga meragam, tapi sentiasa elok kembali dalam masa sehari. Pekerja di bengkel Pak Mat pun agaknya sudah bosan melihat van yang sama asyik berulang datang.

Tingkap yang terbuka membawa masuk angin di sepanjang pemanduan. Manja menampar pipi dan menyejukkan hati yang dari pagi tadi sedikit kebas selepas bertemu Nain. Tak disangka, hampir 3 bulan selepas peristiwa tayar pancat dulu, dia akan kembali bertemu dengan wajah yang sama. Takdir?

Kalau benar ini adalah takdir, apa agaknya penyudahnya nanti? Terbang begitu saja di tengah jalan, atau akan ada satu penutup yang pasti? Agaknya ini yang selalu dikata orang. Jangan membenci, nanti makin kerap bertembung.

Setengah jam kemudian, Van yang dibawa Kinah merayap perlahan naik ke atas bukit Seri Hijau. Sudah singgah di kedai-kedai bahagian bawah. Masih ada dua lagi kedai makan di atas sana yang perlu dihantar barangannya. Maklumlah, van tua. Dipaksa memanjat, memang semput enjinnya.

"Careful! Ada lubang besar!" 

Zrekk!!!

Kaki Kinah mendadak menekan pedal brek sehingga menyentuh lantai. Kalut menjenguk melalui tingkap. Melihat jika ada lubang di hadapan. Walaupun diberi peruntukan untuk menurap tar, tak bermakna huluran itu akan dipanjangkan pada proses baik pulih jalan jika ada tebing sungai runtuh dan menarik bersama kepingan kecil pinggir jalan tersebut. Kejadian alam adalah perkara tak terjangka. Dan perkara tak terjangka yang kecil seperti itu selalunya mengambil masa untuk diberi perhatian. 

Cari punya cari, tak ada pula lubang yang dikatakan besar tadi. Siapa yang memandai mereka cerita?

Toleh pada suara yang sibuk memberi amaran tadi, Kinah tidak dapat menahan diri dari mengerutkan kening dan memasamkan muka.

Nain!

"Apa motif menipu orang macam tu?"

Nain angkat bahu dengan wajah tak bersalah. Baju yang tadi digunakan untuk sesekali menghalau agas disarung laju ke badan. Tak peduli dengan titisan air yang masih tidak kering di tubuh. Dia perasan dengan mata Kinah yang sekejap saja sudah lari ke arah lain bila melihat penampilannya ketika itu. Eh, aurat lelaki kan dari pusat ke lutut sahaja.  Tak perlulah Kinah bereaksi seperti Nain sedang berjalan hanya dengan seluar dalam.

"Bukan selalu boleh tengok otot-otot lengan aku ni. Intailah seminit dua. Untuk kau, aku halalkan." Angin mencari pasal Nain datang tiba-tiba.

Dari tadi lagi memang dia teringatkan Kinah. Sedikit pun tak pernah terlintas, dia akan bertemu dengan wanita itu di kawasan kampung begitu. Masuk semula ke dalam kereta selepas membeli arang tadi, tanpa berfikir lebih jauh, dia terus menghantar pesanan ringkas kepada Saila. Bertanya tentang Kinah.

+ Is Key still working there?

- Yes. Still is. Kenapa? Key tu, nickname Kinah masa belajar dulu ya?

Lama Nain merenung skrin telefon. Mengurut-ngurut dagu. Berfikir. Kembali membayangkan manusia yang tadinya dilihat sedang duduk membelah kelapa. Baju kurung lusuh dengan seluar tracksuit. Rupa budak-budak baru lepas SPM sangat! Nak dikatakan tersilap orang, cara membidas budak itu gayanya persis Kinah yang suka menyengat. Tak mungkin dia yang tersilap.

+ Dia ada dekat sana? I mean, right now.

Soalan tentang nickname Kinah dibiarkan tidak berjawab.

- Kinah on leave. Nak saya sampaikan pesan ke?

+ No, thanks

Confirm! Itu memang Kinah!

Elok sedang berjemur di atas batu sungai sambil melihat teman-teman berendam tadi, dia ternampak kelibat sebuah van sedang merayap di atas jalan. Dari jauh sudah ternampak tudung bercorak biru yang tadi dipakai Kinah. Terus dia bangun. Melompat dari satu batu ke satu batu sebelum menaiki tangga menuju ke tepi jalan. Dengan sabar menunggu kewujudannya dikesan. Tapi akhirnya dia sendiri yang perlu bersuara untuk menarik perhatian. Hmmpph!! Kinah memang wanita yang tak punya perasaan!

"Jangan merepek dalam hutan macam ni." Sengaja Kinah menukar nada suara. Lebih serius. Mendatar dan sedikit berbisik.

Nain melihat kawasan sekitar. Toleh ke mana pun, matanya cuma disapa pokok hijau. Kawasan itu masih banyak yang tidak diteroka. Hijaunya masih ada.  Masih boleh terasa segarnya udara yang dihirup mengembangkan dada.

 "Trying to scare me? " Nain bukannya anak kecil! Mudah ditakutkan hanya dengan sebaris ayat begitu.

"Demi Allah saya tak bohong. Sebelum ni pernah ada kes pengunjung yang datang sini, hilang kena culik bunian. Itulah. Dia tayang sangat body dia yang tak ada cacat cela tu. Bunian kan suka pada benda yang elok kejadiannya." Nak disebut cantik sempurna, lekat di tekak pula ayatnya. Kinah tak mahu menaikkan lagi ego Nain yang sudah sedia ada.

Kening Nain berkerut. Mula disapa ragu.  Cara Kinah bercerita, macam kisah benar. Tapi air wajah Kinah yang tidak beriak dan nampak sinis itu membawa makna berlawanan. 

"Aku ingat orang baik macam kau tak suka menipu." Nain tetap dengan pendiriannya. Kinah - Sedang - Menipu.

"Terpulang nak percaya atau tak. Saya minta diri dulu. Ada kerja." Sempat Kinah mengangkat tangan. Lambaian versi kaku. Kalau melambai bersungguh, nanti dianggap sedang menghulur tali persahabatan pula.

"Ada apa atas tu?" Tidak hirau dengan pengunduran Kinah, Nain selamba menjengukkan kepala masuk melalui tingkap belakang. Melihat apa yang ada.

 Sekali lagi Kinah terpaksa menekan brek secara mengejut. Tak mahu masuk penjara kalau kepala Nain terputus masuk ke dalam van yang sedang dipandunya!

"Kedai makan." Entah kenapa, walaupun tak suka, Kinah tidak dapat menahan diri dari menjawab. Rasa bersalah akan berbekas  jika soalan yang ditujukan kepadanya dibiarkan tidak berbalas. 

"Ada air kelapa tak dekat atas tu?" 

Kinah memandang Nain yang sedang berdiri di tepi pintu van. Pelik. Memang lelaki itu bersungguh mahukan air kepala ya?

"Air kelapa muda." Pun, mulut Kinah ringan menjawab. Manalah tahu boleh membantu menaikkan jualan peniaga di atas sana. Nain datang menaiki sebuah MPV dan sebuah kereta. Semua itu adalah prospek pelanggan. Laku bisnes mereka di atas sana, banyaklah juga pesanan barang runcit dari kedainya.

"Belikan? For me and my friends."

Diam.

Kinah memandang Nain dari atas ke bawah. Cara pandangannya, sampaikan Nain juga ikut melihat diri sendiri. Apa yang tidak kena? 

"Nanti aku bagi upah." Pertama kali Nain tersenyum manis. Khas untuk Nur Sakinah. 

"Naik, beli sendiri." Sekali saja Kinah memberi arahan. Terus masuk ke gear 1 dan sekuat hati menekan pedal minyak. Berbual dengan Nain sama seperti dia bercakap dengan batang pokok. Yang penatnya dia. Membazir liur dan tenaga. Si pokok pula? Tetap begitu. Masih tuli bergoyang menari bersama angin!

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now