Part 8

3.2K 367 24
                                    

Kali ini Kinah tinggal di kampung lebih lama daripada selalu. Menghabiskan saki baki cuti tahunan yang bakal menjadi zero jika tidak diambil sebelum hujung tahun tiba.

Namum baru saja masuk hari ketiga, dia sudah menerima mesej bertalu-talu dari Kak Mun dan Indah. Masing-masing sibuk  bertanya bila Kinah mahu pulang bekerja, ke mana Kinah pergi bercuti dan ole-ole apa yang dibelikan untuk teman di pejabat sana.

Tergeleng Kinah membaca mesej dari dua teman sekerjanya itu. Walaupun cuma huruf-huruf tersusun, semua gelagat dan gaya mereka dapat dibayangkan dengan jelas satu persatu.

Cuma Saila saja yang menghantar pesanan ringkas memberitahu tentang harinya yang terasa tidak lengkap bila terlihat meja Kinah kosong tidak bertuan. Cuti puas-puas, pesan Saila. Ikhlas dan enak didengar, sama seperti tuan empunya yang tidak pernah agresif dalam perlakuan. Sentiasa slow dan terkawal, tapi kalut dan pengecut!

"Akak!" 

Tersentak Kinah disergah begitu. Parang di tangan hampir terlepas jatuh.

"Dik Na!" Sama tinggi paras suaranya, Kinah ikut sama menyergah. Kali ini kerana marah. Kalau terjatuh parang, mahu hilang ibu jari kaki!

"Na tengok akak ralit sangat termenung. Takut parang tu terjatuh." Zarina mempertahankan diri. Kakaknya nampak sudah bersedia dengan parang yang sudah diterbalikkan. Cukup gaya hendak membelah kelapa, tapi terhenti lakunya sewaktu sedang menyasarkan arah parang. Risau juga kalau tiba-tiba Kinah terlepas parang di tangan.

Kinah menjegilkan mata sesaat sebelum kembali fokus pada kerja di tangan. Santan tak akan terhasil sendiri kalau kelapa tidak dibelah dan diparut isinya. Sejam lagi, mulalah beratur budak-budak datang menjerit meminta santan. Emak suruh beli! Ayat favorite yang selalu dinyanyikan mereka yang diarah emak untuk datang ke kedai runcit kecil milik arwah bapa Kinah itu.

"Nanti akak tolong hantarkan gula untuk semua kedai makan dekat Seri Hijau tau." 

Kali ini Kinah benar-benar beri jelingan tajam. Selalunya siapa yang menjadi tukang hantar? Kenapa tiba-tiba dia yang disuruh pula?

"Ala ... sekali ni je kak .... Na nak ikut kawan-kawan pergi tengok wayang. Mak cakap, kalau kerja Na dah siap, baru Na boleh pergi." Zarina mencuit-cuit bahu Kinah yang sedang duduk sedikit membongkok. Matahari yang naik dari sebelah kiri kedai membuatkan kawasan menyimpan dan memproses kelapa itu lebih cepat panas dari bahagian lain dalam kedai. Kakaknya sendiri pun sudah mula menyinsing lengan baju kurung lusuh yang sering diulang pakai setiap kali balik ke kampung. Malas hendak berulang alik membawa baju dari rumah sewa, Kinah lebih senang memakai apa yang sedia ada saja.

"Cerita apa?" 

"Hantu." Sebal Zarina menjawab. Tidak menipu, tapi ada rasa jengkel bila si kakak sibuk mahu mengambil tahu tentang pilihan filemnya. 

"Dengan kawan yang mana?"

"Akak kenallah. Tu, adik Abang Jul yang duduk dekat rumah lepas dari jambatan tu." Terjuih-juih mulut Zarina menunjuk arah. Jambatan itu letaknya hanya separuh kilometer saja dari situ. Nun di bawah bukit sana. Jenguk pun boleh nampak bumbung merah rumah si teman.

Bibir Kinah kiat ke tepi bila terdengar nama Tajul. Tajul yang dahulunya sering dipanggil dengan gelaran Tajul Muluk. Terkena pula dengan nama bapanya. Malik. Tapi Tajul tak pernah peduli. Tersenyum saja setiap kali diusik. Sedikit pun tidak marah. 

"Akak teringat Abang Tajul kan?" Melihat si kakak yang diam lama, Zarina kembali mengusik. Tempoh hari ada juga Tajul bertanyakan khabar Kinah. Dan Zarina yang bermulut lepas, laju saja mengusik. Cuba mengenenkan si bujang teruna dengan si kakak yang masih single tidak berteman. 

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now