"Kinah?"
Seiring dengan suara itu, satu tepukan singgah ke bahu Kinah. Laju Kinah menoleh ke kiri. Memandang Saila dengan pandangan tertanya.
"Awak dengar tak saya cakap apa tadi?"
"Awak cakap dengan saya?" Kinah tuding dada sendiri. Saila bercakap dengan dia? Kenapa dia tak dengar pun?
"Kinah ni kenapa? Dah banyak hari Kak Mun tengok macam berjalan atas angin." Dari mejanya Kak Mun mencelah. Bukan tak perasan. Kinah sekarang seperti ada masalah bersarang di dalam kepala. Memang pun selalunya Kinah tidak seaktif mereka membawang. Tapi diamnya kali ini nampak lebih serius dari selalu.
"Period kan?" Indah meneka laju. Tersengih yakin.
"Hmm ..." Malas-malas Kinah mengia. Tapi bukan itu yang membuatkan dia malas mahu buka mulut. Ada hal lain yang sedang ditimbang tara dalam kepalanya sehinggakan dia tak mampu nak menghadam apa saja perbualan kosong yang dituju padanya.
"Tengahari nanti kita keluar makan sekali, eh?" Saila mengulang soalan tadi.
Kinah menoleh. Memandang pelik. Selalu pun mereka makan bersama. Kenapa kali ni perlu disoal terlebih dulu?
"Adik ipar Saila ajak makan. Nak belanja." Tahu apa yang bermain dalam fikiran Kinah, Kak Mun menjelaskan sebelum sempat Saila buka mulut.
Kinah diam lama. Berfikir.
"Lain kalilah Saila. Saya ada hal hari ni. Kirimkan salam saya untuk adik ipar awak."
"Hal apa?"
"Ada lah ..." Ringkas jawapan Kinah. Memberi maksud yang dia tidak sudi berkongsi.
Saila tertunduk kecewa. Bukan untuk diri sendiri, tapi bagi pihak adik iparnya. Memang Nain tidak menyebut nama Kinah semasa diajak Saila dan kawan-kawan. Tapi Saila bukannya bodoh. Dia tahu siapa gerangan yang sebenarnya mahu Nain cari dalam kalangan teman sekerjanya.
"Next time je Saila." Perasan dengan perubahan wajah Saila, Kinah memujuk sedikit. Barulah berubah sedikit ceria wajah si teman.
Kinah sebenarnya sedang serabut. Serabut memikirkan hal lain. Membayangkan dia perlu bertemu muka dengan Nain saja pun dah membuatkan kepala rasa makin berat. Inikan pula kalau betul-betul jadi.
Dia malas mahu bertikam lidah dengan Nain. Lelaki yang terkenal dengan sikap perasan bagus itu sentiasa mahukan perhatian. Hari ni Kinah tak ada tenaga mahu melayan perangai tidak semenggah Nain. Kalaupun dia membuat gaya tidak mahu diganggu, dia yakin Nain akan redah tanpa peduli apa yang Kinah mahu.
Sebelum Kinah mengamuk tanpa sebab, ada baiknya kalau dia terus menarik diri.
Senang.
SEBELUM masuk waktu rehat lagi, Nain dah siap menunggu di depan pintu pagar. Bersandar di sisi kereta yang diletakkan di bawah teduhan pokok.
Rasanya hampir dua bulan juga dia tak berjumpa Kinah. Dia sendiri pun sudah berhenti mencari. Telefon tidak. Mesej pun tidak.
Sengaja Nain mahu check hati sendiri. Kalau menggelupur teringat, itu maknanya ada rindu. Ada rindu, maknanya ada juga perasaan suka.
Setakat ini, hati Nain tak sampai lagi tahap menggelupur. Cuma ada sedikit saja rasa mendesak mahu melihat wajah Kinah. Nak tengok, ada apa yang berubah. Makin cantik ke, atau masih sama saja.
Bunyi loceng kuat dari dalam kawasan kilang menandakan waktu rehat tempat kerja abangnya itu sudah masuk waktu rehat. Pintu pagar automatik terbuka. Perlahan bergerak memberi laluan untuk pekerja keluar.
Nain baru nak bergerak masuk ke tempat pemandu bilamana dia tiba-tiba ternampak kelibat Kinah. Serentak bibir senget tersenyum sinis. Yang dinanti sudah tiba. Laju pula tu berjalannya. Tak sabar nak jumpa Nain lah tu!
Tapi senyum itu semerta mati bila langkah kaki Kinah melencong jauh dari kedudukan kereta merah Nain ketika itu.
Automatik tangan Nain terangkat. Cuba menarik perhatian. Mungkin Kinah salah tengok kereta. Sekilas melihat tempat letak kereta, tak ada pun kereta berwarna merah di kawasan yang sedang Kinah tuju.
Mungkin perasan ada mata sedang memandang, Kinah menoleh. Beberapa saat saja memandang sebelum ikut sama mengangkat tangan dan terus berjalan tanpa menoleh lagi.
Nain pandang tangan yang baru hendak melambai. Sangkanya Kinah akan ketawa malu sebab tersalah jalan. Mana tahu, rupa-rupanya Kinah cuma sekadar membalas sapa. Cepat-cepat Nain turunkan tangan. Gila! Bikin malu betul tangan ni!
"Nain." Saila yang baru sampai, terus menyapa.
Hadirnya seperti iklan yang mencelah semasa tayangan drama di televisyen. Membuatkan kepala Nain terus menukar channel. Memberi perhatian pada Saila pula walaupun mata gatal mahu melihat Kinah naik kereta sendiri ataupun ada orang lain menunggu.
"Kami bertiga je. Kinah ada hal."
Dapat Nain dengar nada bersalah di situ. Terus dia mendecit geram. Nampak sangat Saila tahu apa sebenarnya niat dia mengajak keluar hari ini.
"Kalau tak jadi pun tak apa. Kami boleh keluar sendiri."
"Kenapa pula tak jadi? Jom." Terus Nain meloloskan diri ke dalam kereta. Sambil menunggu Saila dan dua temannya masuk, sempat dia menghela nafas dalam. Ceriakan semula mood sebelum menyapa teman Saila.
Pedulikan Kinah. Dia bukan datang untuk jumpa Kinah. Perempuan sombong!
Marah begitu pun, mata Nain meliar juga. Cuba mencari kelibat kereta Kinah. Bila nampak kereta biru dengan nombor plat 4648 keluar ke jalan besar, tanpa sedar hati Nain sejuk sendiri.
Dia tahu Kinah takkan keluar berdua dengan lelaki. Mustahillah Kinah keluar dating kan?
Tapi macam mana kalau orang yang Nak berjumpa Kinah tu ada bawa peneman? Adik mungkin?
Mendung semula hati Nain. Sama mendung dengan awan gelap yang sedang berarak di langit ketika itu.
Susahlah macam ni!
Nain sedang berusaha nak kaji hati sendiri. Tapi kalau Kinah tak bagi kerjasama, sampai bila-bila pun Nain tak dapat jawapannya!
"Kinah kirim salam." Sudah selesa duduk, Saila menyampaikan kiriman si teman.
Fuh!!
Dalam sekelip mata, awan mendung di hati Nain hilang berganti dengan matahari yang bersinar garang.
Bibir Nain menyenget. Kali ni bukan senyum sinis, tapi senyum simpul.
See? Kan Nain dah cakap. Kinah sebenarnya memang ada simpan hati lah pada dia!
YOU ARE READING
Nain's Key (✔)
RomanceSalah satu cabang cerita yang berakarkan Mr.Rie punya Ms.Stress. Kena baca MRpMS dulu sebelum baca yang ini. Tak berkait sangat, tapi perlu baca juga untuk lebih jelas. Excerpt dari cerita : "Kau nak cakap aku ni lelaki jahat?" Nain tuding ke dada s...