Part 20

2.9K 403 29
                                    

Pagi itu Kinah bangun dengan satu semangat baru. Minggu ini dirasakan lebih damai dari selalu. Mungkin kerana hal Nain sudah selesai.

Awal lagi Kinah sudah membayangkan hari-hari kerjanya tanpa Saila mengulang cerita tentang Nain.

Amannya hidup.

Tak perlu lagi Kinah sibuk memikirkan tentang hidup orang lain. Kinah sukakan hidup sunyi begini. Dia hanya perlu berfikir tentang diri sendiri dan keluarganya sahaja. Untuk apa dia memerah otak berfikir tentang orang lain? Semua itu cuma menambah penat.

Tapi indah yang diimpi, datangnya sebentar saja.

Skrin telefon Kinah menyala. Naik barisan nombor yang tidak bernama, tapi cukup dikenali oleh Kinah. Kebelakangan ni, memang nombor itu kerap naik di skrin telefonnya.

Tapi kali ini berbeza.

Kinah tak lagi merasa bersalah jika talian itu tak disambung. Ditinggalkan saja telefon di atas katil sementara dia ke dapur menyiapkan sarapan ala kadar untuk diri sendiri.

Hari yang ceria begini, tak perlu rasanya dimulakan dengan perbalahan mulut dengan Nain.

Elok keluar saja dari bilik, telefon berdering lagi. Kinah tidak sibuk mahu melihat siapa yang memanggil. Yakin si pemanggil adalah orang yang sama.

Setengah jam kemudian, Kinah masuk semula ke bilik. Telefon dicapai sambil melabuhkan punggung di birai katil.

Seketika dia termangu melihat senarai panggilan tak berjawab.

Rupanya deringan yang didengari kali kedua dan ketiga itu datangnya bukan dari Nain.

2 missed call

Tajul Malik


NAIN mendecit keras.

Tahu.

Dia tahu Kinah sengaja tidak mahu menyambung talian.

Call it an instinct.

Kali terakhir melihat kelibat Kinah meninggalkan bilik rawatan ibunya minggu  lepas lagi Nain sudah tahu wanita itu akan mengelak dari bertemu lagi dengannya.

Ya, pastilah.

Atas alasan apa lagi dia hendak mengganggu hidup Kinah? Lain dari kebetulan, selama ini mereka selalu bertemu pun kerana Saila.

Nain sudah balik bertemu Mariam. Jadi tak ada sebab lagi untuk Saila menyibuk tentang hal Nain. Sekaligus bermakna, Kinah tak akan dengar lagi tentang masalah Nain. Juga bermakna, suku kata nama Nain pun tidak akan meluncur masuk lagi ke telinga Kinah.

Nain tak senang duduk.

Memikirkan dia bakal menjadi satu titik pudar saja dalam sejarah hidup Kinah membuatkan hempedunya rasa pedih terbakar. Rasa tercekik seperti ada makanan yang tersangkut dalam perjalanan mahu masuk ke perut.

Kau suka Kinah ya Nain?

Uhuk!

Nain betul-betul tercekik. Tergagau tangan mencari air. Sambal peneman nasi lemak yang dimasak penuh kasih sayang oleh ibunya tiba-tiba terasa seperti mampu membunuh.

"Itulah ... makan gelojoh sangat." Mariam yang baru masuk ke dapur menegur dalam ketawa.

Sudah seminggu lebih dia keluar dari hospital. Malam tadi Nain sampai dalam jam sepuluh. Tidur dengan rasa gembira si anak kembali menjejak kaki ke rumahnya, pagi ini Mariam bangun dengan semangat baru. Walaupun Nain beria menegah, dia degil juga mahu memasak. Selagi masih ada daya, dia mahu mengganti semula apa yang kurang diberikan pada Nain selama ini. Biar berlebih-lebih sayang yang diberikan pada anak keduanya itu.

Nain menyambut usikan Mariam dengan senyum hambar. Tak dapat hendak membalas dalam keadaan otak masih beku diserang kata hati tadi.

Sukakan Kinah?

Tak mungkinlah! Kinah bukan taste Nain. Tak putih gebu, jauh sekali cantik jelita. Taste Nain semuanya yang berukuran persis model atau pramugari. Tinggi lampai dengan ukuran 36 - 24 - 36. Perfect body proportion untuk wanita!

Dah tu, kenapa hati sakit bila fikir Kinah tak ingatkan kau?

Ini bukan sakit hati. Ini sakit ulu hati. Tak sama!

"Kawan yang datang hari tu, kenal dari mana?"

Baru saja Nain ambil keputusan mahu menolak Kinah ke tepi, Mariam pula melontar soalan yang membuatkan Nain terpaksa kembali berfikir tentang Kinah.

"Dekat U dulu. Kebetulan dia kerja dengan Saila."

"Oo ... mama ingatkan memang kawan Nain."

"Nain kenal kawan dia, bukan dia." Laju Nain menafi bila dapat dikesan nada semacam dari Mariam. Janganlah si mama sangka Kinah itu teman wanita Nain!

Padanlah dengan muka Nain. Gatal sangat mahu perkenalkan Kinah sebagai teman. Sekarang dia dah mula nampak kesan dari kebodohannya sendiri.

"Budaknya nampak baik. Dah kahwin ke belum?"

"Belum. Single lagi." Sepantas kilat Nain menjawab. Kunyahan nasinya terhenti tiba-tiba.

Apa jenis jawapan tu? Bunyinya seperti hendak meyakinkan diri sendiri, bukannya menjawab soalan.

"Tak mahu masuk jarum? Sedang elok dah tu berkawan dengan Saila. Nain pun dah kenal dia."

Nain pandang tajam wajah Mariam. Konon tak suka diasak dengan hal begitu. Sedang dalam hati sudah bertingkah. Kinah dan isteri. Boleh bersatukah dua perkataan itu?

"Nain tak puas lagi enjoy hidup sendiri."

"Yelah." Mariam akhirnya ikut setuju. Iyakan sajalah kata si anak yang cara fikirannya nampak benar ke arah 'tak -mahu-ada-tanggungjawab.'

"Kerja Nain pun bukannya office hour macam orang lain. Nanti kesian pula ke isteri tu. Tak ada masa nak manja melekat dengan suami. Lainlah kalau isteri tu memang jenis boleh berdikari sendiri bila ada masalah. Tayar pancat boleh tukar sendiri. Tak payah panggil suami tolong." Mariam tambah lagi point-point untuk menyokong. Bukannya dia tak nampak, duduk Nain di depannya sudah tak selesa. Gaya seperti sedang berperang dengan sesuatu dalam diri sendiri.

"Sekarang Nain fly domestic je. Nanti dah lama, mesti fly keluar negara pula. Lagilah kesian isteri kena tinggal lama." Mariam masih tak berhenti. Tekad mahu mengorek keluar apa yang sedang meresahkan si anak.

Sudu di tangan Nain cuma bergerak menguis nasi. Dah berhenti mencedok makanan ke mulut.

Manja?

Kinah tak manja.

Boleh tukar tayar sendiri?

Kinah tak minta tolong pun dulu. Boleh buat sendiri. Nain saja yang rajin mahu membantu.

Berdikari?

Bawa van pun Kinah tahu. Van buruk pula tu. Yang tiba-tiba saja boleh meragam, tapi Kinah tak menggelabah. Tenang relaks menunggu pomen datang. Pomen yang namanya Tajul. Hangat pula hati Nain bila teringat lelaki yang dipanggil Jul tu.

Eh?

Nain kejip mata beberapa kali. Dahi berkerut.

Kenapa kepala automatik membandingkan Kinah dengan semua point yang Mariam utarakan?

Ah, sudah ... ada urat putus dalam kepala Nain. Dia terus bangun beredar.

Nasi lemak masih berbaki.

Air nescafe panas masih tak diteguk.

Mariam diam memerhati. Senyum faham dan menggeleng kecil.

Anaknya sedang sakit.

Akal berperang dengan hati, memang sakit kesannya. Tambah pula kalau perkara yang diperangkan itu melibatkan perasaan.

Spesifiknya, perasaan suka.

Nama lainnya, CINTA. 

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now