Part 15

2.7K 349 15
                                    

Tidur Nain malam itu tak tenang. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri dia berpusing. 

"Balik jumpa mak awak!"

Entah apa yang Kinah hembus, peringatan berbaur arahan keras wanita itu sebelum berpisah tengahari tadi masih melekat dan terngiang-ngiang di kepala Nain. 

Mata baru nak terlelap pun, Nain akan kembali terjaga seperti baru disergah dengan ayat itu. Setiap kali itu juga dia akan melihat sekeliling bilik. Mencari kalau-kalau ada Kinah sedang menjegil tajam ke arahnya. 

Sudahnya Nain duduk bersandar di kepala katil sambil bermain game dalam telefon. And yes, Nain mengaku. Berkali-kali juga dia menghentikan permainannya untuk menjenguk kotak mesej whatsapp di bawah nama Key. 

Online.

Nain diserang musykil. Esok kan hari kerja? Apa yang Kinah buat sampaikan pukul 1 pagi pun masih tak tidur?

"Balik jumpa mak awak! "

Setiap kali ayat itu terngiang, spontan Nain akan teringat wajah Kinah semasa melepaskan geram siang tadi. Mata bulat kecil milik Kinah jadi makin mencerlung bila Nain sibuk mahu tahu siapa gerangan yang menelefon Kinah.

"Jaga hal sendiri dulu sebelum nak menyibuk hal orang lain." Laju Kinah membidas bila Nain bertanya. Tapi tak lagi segarang semasa menggila marah. Panggilan telefon itu berjaya membuat Kinah kembali normal. Tenang dan selamba tidak menunjukkan sebarang rasa.

"Yang kau menyibuk hal aku, tak apa pula?" The usual Nain pun kembali menunjukkan diri bila melihat Kinah dah sejuk. Langsung tak sedar diri. Seperti bukan dia yang menjadi punca mereka bertikam mulut sampaikan langit bergegar nak runtuh. 

"Ini kali pertama dan kali terakhir saya menyibuk tentang hal awak. Kesilapan ni takkan berulang."

Ouff!! 

Hampir saja Nain menyeringai sakit. Terkesan. Ada dua makna tersirat di situ. Satu, Kinah benar-benar serius tidak mahu peduli dengan hal Nain lagi selepas ini. Kedua, Kinah merasakan apa yang terjadi antara mereka berdua selama ini semuanya adalah satu kesilapan.

Ketika itu juga, Saila melambai dari seberang sana jalan. Serentak menarik perhatian Kinah dan Nain. Kinah membalas lambaian si teman dan membuat isyarat tunggu sebentar.

"Nain." Kali ini Kinah memandang tepat ke mata Nain yang dilindungi kaca mata gelap.

"Emak awak pun manusia. Sama macam kita semua. Manusia ni sifatnya semua sama. Tahu terasa, tahu sedih, tahu menyesal. Pernah tersalah laku, pernah salah pilih jalan, pernah salah menilai." Kinah diam sebentar untuk memberi ruang bicaranya dihadam Nain.

"Macam mana awak harap maaf awak boleh diterima setiap kali awak minta maaf lepas buat silap, macam itu juga mak awak sedang rasa sekarang. Dia harap awak boleh maafkan dia dan bagi dia peluang untuk baiki semula keadaan."

Jeda lagi.

"Awak kena tahu dan awak kena ingat Nain. Masa kita atas bumi ni, bukan milik kita. Tapi pinjaman dari Allah. Jangan habiskan masa awak untuk buat perkara yang akhirnya merugikan diri awak sendiri. Jangan jadi manusia yang hidupnya penuh dengan penyesalan."

Nain diam saja merenung jauh ke langit sana. Tiba-tiba tefikir. Kenapa dia memilih kerjaya yang membawa dia membelah awan saban hari itu? Kenapa dahulu dia beriya melawan cakap mama untuk memperjuangkan cita-cita hendak menjadi juruterbang? Kenapa sampai sekarang dia lebih gembira berada di ruang udara daripada berpijak di atas bumi?

"Balik jumpa mak awak!" Kinah menekan kuat sebelum berlalu pergi meninggalkan Nain seorang. Sampai kereta yang dinaiki Saila dan Kinah hilang pun, Nain masih di tempat yang sama. Merenung entah apa. Mencari entah apa. Mengharapkan entah apa.

Sama seperti perjalanan hidupnya selama ini yang tidak ketahuan entah apa mahu digapai, pada siapa mahu dibuktikan, dan bila mahu ketemu pengakhirannya.

MALAM itu Kinah tertidur awal dari selalu. Belum masuk pukul sepuluh lagi mata sudah tertutup. Terlalu asyik bergedang atas katil sampaikan tak sedar waktunya terlalu awal untuk tidur. 

Jam 1 pagi dia terjaga semula. Segar mata walaupun sebenarnya itu adalah waktu tidur. Lama dia membaca semula mesej yang Tajul hantar selepas maghrib tadi. Mesej yang membuatkan dia termenung lama dan akhirnya tertidur tadi.

Bila kepala serabut begitu, Kinah akhirnya memilih satu cara saja untuk menenangkan hati.  Mengadu di atas hamparan sejadah. Memohon meminta petunjuk. 

Dia tak mahu mengikut hati. Kerana hati juga yang sebelum ini membuat dia penasaran dalam rasa yang tidak pasti. Kali ini dia mahu menyerahkan sebulatnya pada DIA untuk membantu Kinah membuat pilihan.

Sebelum kembali melelapkan mata jam 2 pagi, sekali lagi Kinah membaca mesej dari Tajul tadi.

+ Jul yakin, jodoh kita masih ada. Dah 6 tahun rasa yakin ni ada bersama Jul. Tak pernah pudar, tak pernah berubah.

Kinah menekan mata dengan kedua tapak tangan. Cuba menghilangkan rasa hangat yang tiba-tiba muncul di situ. Kenapa kisah dia dan Tajul masih tak bertemu penamatnya? Sisa perasaan mana lagi yang masih tertinggal?

+ Cinta Sakinah masih tak ada pemilik baru kan? Cinta Sakinah masih milik Tajul kan?

Dah enam tahun! 

Enam tahun!

Apa lagi yang Tajul harap dari Kinah? 

Bila perasaan lama itu berlumba menyerbu datang, Kinah segera menukar arah fikiran. Fikir tentang apa saja, asalkan bukan tentang Tajul. Kinah tak mahu menangis untuk perkara yang tak ada kepastian begitu.

Apa ya yang berlaku hari ini sebelum Tajul tiba-tiba menelefon tengahari tadi?

Oh! 

Nain!

Ya, sepatutnya hari ini Kinah hanya perlu marah dan tertekan dengan sikap berlagak tak sedar diri Nain. Itu pun sudah cukup untuk mewarnai harinya. Entah masuk atau tidak nasihat yang Kinah beri tadi ke dalam kepala besi Nain. 

Lelaki keras kepala tu, memang susah nak dimakan ajar. Kalau boleh digerudi dan disumbat segala moral manusia ke dalam kepala Nain, pasti dah lama Kinah buat. 

Ting!

Bunyi mesej masuk spontan membuatkan Kinah mengeluh. Siapa pula yang bermesej tengah malam buta ni! Tak mungkinlah Tajul lagi. Rasanya mesej tadi sudah cukup mencurah habis segala isi hati. 

Tekaan Kinah mengena. Memang bukan Tajul yang pening tak tahu melihat waktu ketika itu. Mesej yang baru masuk itu tak ada nama penghantar. Yang ada cuma deretan nombor yang tidak dikenali. Bila dibuka mesejnya, Kinah mengeluh lebih keras dari tadi. Kuat dan kasar.

+ Kau buat apa tak tidur lagi? Tengah fikir cara nak minta maaf dari aku? It's okay, kali ni aku murah hati. You are forgiven

Lama Kinah terkejip-kejip melihat mesej dari adik ipar Saila itu sebelum mengambil keputusan untuk tidak peduli. Data internet ditutup. Biar aman hidupnya tanpa gangguan mesej-mesej dari manusia yang berjantina lelaki. 








Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now