Part 24

2.5K 375 28
                                    

Nain berbaring di sofa sambil melambung stress ball. Sekejap-sekejap diramas geram bola itu.

"Nain." Saila yang asyik menyicah pelam epal menegur si adik ipar yang sejak ditemui semalam lebih banyak mendiamkan diri. Sekali-sekala bila ditegur saja Nain akan membuka mulut.

"Hmm ..." Malas-malas Nain menyahut. Dikerling sekilas Saila yang duduk bersila di atas lantai. Semangat benar mengunyah. Masuk yang di tangan, rasanya sudah lima biji buah pelam dibaham Saila.

"Awak ni kenapa nampak macam di awangan je. Rindu nak terbang ke?" Padahal baru semalam saja Nain balik. Gayanya seperti dah seminggu tak terbang mencecah awan.

Diam.

Suasana kembali sunyi bila Nain tidak membalas.

Saila renung Nain dengan tangan yagn tak berhenti menyuap makanan masuk ke mulut. Rangup bunyi pelam dikunyah membuatkan dia jadi makin teruja hendak makan. Di usia kandungannya tujuh bulan itu, perut seperti tidak pernah kenyang. Walaupun terasa senak dengan perut memboyot begitu, lapar tidak pernah berjaya dihalau pergi.

"Awak tahu tak mak Kinah sakit?" Tiba-tiba saja soalan itu meluncur keluar dari mulut Saila. Ringan tanpa perlu dipaksa.

"Sakit?" Terus terhenti lambungan bola di tangan. Nain palingkan tubuh menghadap Saila yang nampak selamba walaupun isi ceritanya menggemparkan.

"Jatuh bilik air. Strok." Saila sendiri pun ada pergi melawat sehari selepas kejadian. Emak Kinah masih tak sedarkan diri ketika tu.

"Bila?" 

"Dah empat hari rasanya."

"Kenapa saya tak tahu?"

Krik ... krik ...

Mata Saila terkebil memandang Nain. Tidak tahu jawapan bagaimana yang Nain harapkan. 

"Saya ingat ... awak dengan Kinah tak ada apa-apa. Kenal macam tu-macam tu je." Selepas kejadian di hospital semasa Mariam warded dulu, rasanya sudah cukup jelas hubungan Nain dan Kinah. 

Qairie siap berpesan pada Saila untuk tidak masuk campur. Bergenang matanya bila diberitahu tentang kemungkinan Nain bertepuk sebelah tangan. Mengenangkan Nain yang lambat faham dengan perasaan sendiri membuatkan Saila ikut terasa kesedihan yang bakal adik iparnya itu lalui kelak. 

"Hospital mana?" Otak Nain ligat menyelak jadual kerjanya. Kalau pergi sekarang, sempat ke? 

"Awak nak pergi ke? Saya boleh temankan." Dengan rela hati Saila menawarkan diri menjadi peneman. 

"No." Qairie yang entah sejak bila menelinga, tiba-tiba mencelah. 

Automatik tercebir bibir Saila. Dijeling suaminya tak puas hati. Qairie malaslah tu! Tak mahu dipaksa mengekor. Takkanlah nak dibiarkan isteri dan adik lelakinya berdua saja.

"It's okay. Saya pergi sendiri." Nain tak kisah pun. Dia bukannya tak biasa memandu sendiri.

"Nanti bagi saya nombor katil mak dia." 

Berbekalkan semangat baru, Nain hampir berlari anak naik ke atas. Tapi terhenti bila ditegur si abang.

"Nain." 

Nain cuma memandang sipi. Tidak berminat mahu berbual mesra. Memang hubungannya dengan Mariam sudah semakin elok. Tapi tak bermakna perkara yang sama juga berlaku di antara dia dan si abang.

"Sakinah jenis orang yang suka berterus terang."

"So? "

"Approach dia dengan cara yang sama. Jangan bertangguh."

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now