Bulan ini sekali lagi Nain pulang ke rumah yang selama ini lebih senang dibiarkan sepi tidak bertuan. Entah kenapa, kebelakangan ini jika ada masa terluang, ingatan Nain pasti akan terbang ke daerah ini. Daerah yang menjadi tempat tinggal tetap keluarganya. Daerah yang selama ini akan dinyah menjauh apabila memori datang mengetuk pintu ingatan.
Tapi kepulangannya ke situ sentiasa terasa kosong. Siangnya banyak dibuang dengan bertemu teman dan keluar menghiburkan diri. Datang malam, dia akan kembali terbaring merenung lelangit bilik.
Kosong.
Sepi.
Ada satu lohong besar di dada yang tidak terisi.
Jiwa seperti tahu apa yang diperlukan untuk mengisi kekosongan itu, tapi kedegilan dan sikap bongkak masih beraja. Menghalau semua rasa mahu berpatah kembali terbang pergi begitu saja.
Membelok masuk simpang yang menghala masuk ke rumahnya, dari jauh mata Nain menangkap kewujudan sebuah kereta di hadapan rumahnya. Pedal minyak yang ditekan kuat, perlahan-lahan terangkat. Menurunkan kelajuan kereta.
Dia kenal kereta tersebut.
Saila.
Untuk apa isteri Qairie datang ke rumahnya? Mustahil Saila seberani itu mahu bertemu dengannya tanpa izin si suami. Melainkan ....
Nain menajamkan mata. Cuba mencari kelibat manusia yang sedang berdiri di bawah teduhan hujung porch rumahnya.
Damn!
Tidak berfikir dua kali, Nain terus membelok masuk ke satu lorong kecil yang berada di sebelah kiri jalan. Nasibnya baik kerana jalan lengang. Kalau tidak, pasti akan ada sahutan bunyi hon menyerang dengan tindakan mengejutnya itu.
Keluar semula dari kawasan perumahannya, Nain memberhentikan kereta di tepi jalan. Beberapa kali dia menghentak belakang kepala ke headrest sebelum menarik nafas dalam.
Pengecut!
Sikapnya sekarang tidak ubah seperti lelaki pengecut! Melarikan diri bermakna dia adalah pesalah. Bukankah selama ini dia sering mendabik dada mengatakan diri sendiri berada di pihak yang benar? Jadi mengapa dia mengelak daripada pulang ke rumah sendiri semata-mata kerana ada ibunya menunggu di situ?
Lama berdiam di bahu jalan, tiba-tiba datang rasa geram. Apa hak Saila datang menyibuk begitu? Ini caranya Qairie menyuntik diri masuk ke dalam kehidupannya kembali? Isteri sendiri pun tidak mampu dikawal, masih ada hati mahu mengambil tahu tentang adik yang selama ini dibiarkan tidak berabang!
Nain mencapai telefon. Terburu-buru mencari nombor Saila. Baru saja hendak menekan butang 'panggil', jarinya kaku. Saila tadi dilihat sedang berdiri di sebelah ibunya tadi. Bagaimana dia mahu bercakap kalau Mama sedang menelinga di sebelah?
Seperti tahu namanya sedang melintas di fikiran Nain, nama Saila tiba-tiba naik seiring dengan bunyi nada dering telefon. Dua kali mata Nain berkelip sebelum dia tanpa belas menolak talian itu dari bersambung. Tidak sampai seminit kemudian, masuk satu mesej ke telefonnya.
- Nain, awak ada dekat mana? Mama nak jumpa awak.
Kaku beku. Tiada tanda Nain akan membalas mesej tersebut. Dia malah tanpa hati melihat senarai nama teman yang ada di dalam memori telefon. Mencari sesiapa yang dirasakan boleh menjadi teman untuk sejam dua. Cukup rasanya tempoh masa itu untuk dia menunggu Saila dan ibunya beredar pergi.
Pencariannya terhenti di satu nama. Nama yang rasanya sudah sebulan lebih tidak terlintas di fikiran selepas pertemuan di air terjun Seri Hijau dulu.
Key
Rasanya di dalam memori telefon, nama itu saja yang cuma memerlukan tiga abjad untuk disimpan. Mudah,cepat dan ringkas. Hendak disebut juga ringan saja lidah. Sama seperti ringan ibu jarinya menekan butang 'panggil' di tepi nama itu.
YOU ARE READING
Nain's Key (✔)
RomanceSalah satu cabang cerita yang berakarkan Mr.Rie punya Ms.Stress. Kena baca MRpMS dulu sebelum baca yang ini. Tak berkait sangat, tapi perlu baca juga untuk lebih jelas. Excerpt dari cerita : "Kau nak cakap aku ni lelaki jahat?" Nain tuding ke dada s...