Selepas 15 tahun...
HANANIA melangkah masuk ke dalam rumah. Kedengaran ketawa terkekek-kekek si kecil yang diagah oleh ibunya. Mereka semua tidak menyangka akan kelahiran si kecil itu. Rumah mereka ceria dengan kehadiran si kecil.
"Eh! Nia dah balik." Hanani bertanya dalam terkejut. Dia tersenyum memandang Hanania. Hanania mencuit dagu si kecil. Si kecil itu segera menghulurkan tangan kecilnya ke arah mak usunya.
"Mya dah lama tunggu mak usu balik dari kerja." Tiba-tiba satu suara garau berbunyi.
Hanania menoleh. Mya sudah beralih tangan. Kini Mya di atas ribaan Hanania.
"Eh, anak mak usu sorang ni bila balik dari asrama?" tanya Hanania. Dia ukirkan senyuman kepada anak saudaranya, Syaqer.
"Tadi. Papa hantar lepas tu papa pergi ke tapak projek semula," beritahu anak lelaki sulung kakaknya yang berusia 15 tahun itu.
"Seronoklah cuti panjang ya, Qer." Hanania mengerling kepada Syaqer.
"Yalah, Qer dah rindu sangat dengan orang dalam rumah ni. Tambah-tambah dengan Mya," ujarnya sambil duduk di sisi mak usunya.
"Nia, kerja Nia okey ke hari ni?" tanya Hanani. Dia berjalan menuju ke dapur. Hanania membuntuti kakaknya sambil menyerahkan Mya kepada Syaqer.
"Macam tulah, kak. Kalau salah kena marah, kalau tak salah dipuji," balasnya sambil duduk di kerusi meja makan.
"Memanglah macam tu. Kak pun dah lali. Nasiblah lepas lahirkan Mya abang Rash suruh jaga anak aje," kata Hanani tersenyum.
"Untunglah kak, Nia ni bilalah boleh duduk saja. Letihlah kerja ni. Kalau nak duduk saja kena cari suami kaya ya tak, kak?" kata Hanania. Dia sengih.
"Entahlah, kak tak tahu. Agaknya kalau kerja macam jurutera macam abang Rash pun boleh kut. Tapi, rasanya kalau dapat suami kaya tu satu bonus. Nia minta doa banyak-banyak kat Allah bagi Nia jumpa dengan lelaki kaya. Masa tu bolehlah Nia berlagak dengan kawan Nia yang bertunang dengan anak VVIP tu." Hanani sengih.
Hanania ketawa dengan kata-kata kakaknya. Lelaki kaya manalah yang malang mahu menjadi suaminya. Lelaki kaya yang buta mungkin. Kawannya itu sudah bertunang dengan lelaki yang betul-betul kaya. Rasanya tiada lagi lelaki yang kaya sekaya tunangnya. Setiap kali bertemu ada sahaja cerita yang disampaikan olehnya. Sampaikan dia dua orang rakan yang lain sudah naik jemu, tapi demi menjaga hati seorang kawan mereka diamkan sahaja.
"Diam kenapa pula?" tanya kakaknya lagi.
"Tengah fikir, lelaki kaya yang malang kalau jadi suami Nia." Hanania tergelak.
"Kenapa pula fikir macam tu?" tanya Hanani.
"Nia tahu keluarga Abang Rash macam mana, kak. Tak mahulah terlibat dengan orang kaya ni. Makan hati berulam jantung nanti." Hanania jongketkan bahunya.
"Kisah kak dah lama berlalu. Itu salah satu saja orang kaya berlagak macam keluarga Abang Rash. Tapi, kak bersyukur sebab kak bahagia walaupun, keluarga Abang Rash dah buang dia. Tak adalah kak kena ikut telunjuk mereka. Tapi, jangan pula Nia prejudis dengan sikap orang kaya. Mereka pun manusia juga. Semuanya pernah ada salah. Kesalahan tak mengira orang itu miskin atau kaya. Cumanya, kak nak Nia bahagia tak kira siapa pun pilihan Nia." Hanani berbicara dengan panjang lebar.
Hanania menjongketkan bahunya. Mana mungkin tak malang selalunya lelaki kaya cuma mahukan perempuan yang up to date dia pula yang out of date. Setiap hari hanya baju kurung sahaja yang menutupi tubuhnya.
"Nia jangan bagi alasan tentang pakaian Nia. Pakaian Nia menetapi syarak. Tutup aurat," kata Hanani, apabila dia perasan Hanania memandang tubuhnya. Dia terus dapat tangkap fikiran Hanania. Dia menjadi ibu dan kakak kepada Hanania sejak Hanania kecil lagi.
"Menutup aurat, tapi ada niat yang tak baik nak kahwin dengan orang kaya," kata Hanania terus ketawa berdekah-dekah. Hanani juga ikut ketawa.
"Hah! Dua beradik ni sembang apa sampaikan dengar hingga ke luar!"sergah Arash.
"Abang," panggil Hanani sambil mendekati suaminya. Jemari suaminya dicapai dan terus menciumnya. Arash membalas dengan ciuman di dahi Hanani. Pinggang Hanani dipeluk erat.
"Tengah sembang pasal lelaki kaya malang yang akan jadi suami Nia,"sambung Hanania. Dia sengih.
"Siapa?"tanya Arash mula berminat.
"Entah!"balas Hanania.
"Kalau dengar dek Afi nanti merana pula budak tu,"kata Hanania merujuk kepada kekasih hatinya, Afi. Sudah terlalu lama dia dan Afi saling kenal.
"Tahu pun," kata Hanani.
"Sembang main-main aje tak apa," balas Arash.
"Betul tu. Kami tersembang pasal ni sebab Nia tak mahu kerja lepas kahwin. Sebab tu tak nampak Afi," ujar Hanania.
"Awal pula abang balik hari ni?" tanya Hanani.
"Hm.....abang pergi semula ke tapak projek tu sebab lupa barang. Malas nak bawa Qer pergi sana. Lagipun abang kan tak suka anak bujang abang tu tengok tempat kerja abang. Adik abang yang seorang ni balik awal pula hari ni. Kalau tak, maghrib baru nak sampai rumah lagi."Arash pandang Hanania.
"Abang Rash perli Nia ke ni?" tanya Hanania. Dia mengerling sekilas ke arah abang iparnya.
"Tak, abang cakap yang betul. Hari ni tak ada date dengan Afi?" tanya Arash lagi tentang kekasih hati Hanania. Agak kerap juga Afi datang ke rumah mereka. Afi dah jadi sebahagian daripada keluarga mereka.
"Tak, Afi bawa ibu dia pergi majlis kat hotel," beritahu Hanania.
"Jaga diri baik-baik kalau dengan siapa pun Nia berkawan. Abang sayangkan Nia macam adik sendiri. Abang jaga sejak kecil lagi," pesan Arash lagi.
"Nia akan ingat nasihat abang Rash sampai Nia mati. Itu janji Nia. Lagipun Afi lelaki yang baik. Macam Abang Rash juga," puji Hanania kepada Afi sambil mengukirkan senyuman. Tanpa lelaki yang bernama Arash, dia dan kakaknya entah di mana sekarang. Hidup mereka terumbang-ambing selepas kehilangan ibu.
"Tengoklah tu, macam mana pun mesti dia puji juga si Afi tu," sampuk Hanani.
"Biarlah dia," ujar Arash pula.
"Mama, adik Mya ni lapar susulah. Dari tadi asyik menangis aje." Tiba-tiba Syaqer muncul di depan mereka. Hanania pandang Syaqer yang banyak mewarisi kekacakkan abang iparnya. Struktur tubuhnya tak serupa budak lelaki berusia 15 tahun. Nampak lebih berusia.
"Alah, cakap aje dah tak larat nak jaga dia," ejek Hanania.
"Mak usu!" jerit Syaqer sambil mengejar Hanania yang sudah melarikan diri. Mereka berdua rapat. Malah terlalu rapat. Sampaikan ada kawan perempuan Syaqer cemburukan Hanania kerana layanan Syaqer kepada Hanania melebihi layanan seorang anak saudara kepada ibu saudaranya. Mungkin fizikal Syaqer yang tinggi lampai itu membuatkan Hanania dan Syaqer jika berjalan bersama bagaikan sepasang kekasih. Biarpun hanya baru berusia 15 tahun. Tambahan pula, tubuh Hanania agak kecil berbanding Syaqer.
"Mak su tunggu Qer!" Syaqer menjerit memanggil mak usunya. Hanania menjelirkan lidahnya dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Menguncinya. Syaqer menjerit di luar menyuruhnya membuka pintu.
"Ada ubi ada batas, mak usu." Syaqer memberi amaran.
Hanania ketawa. Jemarinya bermain-main dengan telefon pintar itu. Dia teragak-agak mahu menelefon Afi atau tidak. Mesti Afi masih lagi ada di majlis itu. Lagipun, jika hari-hari biasa begini Afi banyak menghabiskan masa dengan keluarganya.
Dan sudah semestinya dengan ibunya yang memang menentang keras hubungan mereka berdua. Puncanya hanya satu. Kerana mereka tidak setaraf. Dia juga senasib dengan kakaknya. Kalau bab wajah yang cantik, dia tak boleh dibandingkan. Hanania membelek wajahnya di cermin. Taklah buruk sangat pun. Cuma dia bukannya cantik bagaikan ratu-ratu seperti Miss Universe dan Miss World itu. Sedap mata memandang. Itu pendapat Hanania tentang dirinya sendiri.
Atau kerana pangkal namanya itu tidak membawa gelaran? Afi yang memberitahunya tentang tentangan ibunya dengan hubungan mereka berdua. Rasanya hubungan cinta mereka berdua lebih indah ketika mereka berdua masih lagi di alam universiti. Tidak perlu memikirkan siapa-siapa. Akhirnya dia hanya memandang sepi sahaja telefonnya. Lebih baik dia melayan tidur.
YOU ARE READING
CINTA YANG TERTANGGUH
RomanceAdrish dan Hanania.. Pertemuan mereka bukan kerana cinta.