HANANIA pandang tulisan di dalam bukunya, betullah ini alamatnya. Dia pandang ke atas. Takkanlah ini bangunan tempat kerja yang bakal dia ditemuduga. Boleh tahan juga bangunannya. Masa di tempat lama, tak pernah pula dia dapat masuk temuduga di tempat gah begini. Rezeki apabila berpindah ke sini mungkin. Hanania melangkah ke tempat pertanyaan. Saat ini kenapalah Hanania merasakan dia bagaikan seekor rusa yang baru masuk ke dalam sebuah kampung. Padahal dia datang dari bandar besar, malah lebih besar dari sini.
"Nak tumpang tanya, saya cari tempat temuduga?" tanya Hanania kepada seorang perempuan yang duduk sambil tangannya berada di kekunci laptop. Perempuan itu mendongak.
"Oh! Kat Global Empire, awak naik ke tingkat 17," beritahunya sambil mengukirkan senyuman. Berbeza dengan pekerja tempat pertanyaan yang lain. Nampak ikhlas.
"Terima kasih."
"Sama-sama. Bukan orang sini?" tanyanya. Hanania tidak jadi melangkah. Dia kembali memandang perempuan penyambut tetamu.
"Tak." Hanania senyum.
"Semoga berjaya ya," ucapnya. Perempuan itu tersenyum.
"Terima kasih." Sekali lagi Hanania mengucapkan terima kasih.
Hanania berjalan menuju ke lif. Dalam hati ada debaran yang maha hebat. Macam-macam yang dia fikirkan. Fikir tak dapat kerja dan bagaimana dengan suasana kerja nanti. Akan adakah lagi, tangan-tangan gatal yang suka meraba.
Hanania masuk ke dalam tempat yang bertulis ' temuduga'. Di dalam hati dia tidak putus-putus berdoa agar dia akan mendapat kerja tersebut. Biarpun hanya kerani. Dia tidak meminta lebih. Cukuplah nanti dengan gajinya itu dia dapat membayar sewa rumah, sekolah Mya, universiti Qer dan juga makanan mereka bertiga.
HANANIA duduk di kerusi yang disediakan sambil melihat orang yang datang memohon pekerjaan. Tangannya sudah sejuk. Tidak lama selepas itu namanya dipanggil. Dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Ada tiga orang penemuduga. Dua lelaki dan seorang perempuan. Hanania duduk di kerusi yang disediakan.
"Awak dari mana?" tanya salah seorangnya sambil membelek fail Hanania.
"Kuala Lumpur."
"Baru pindah ke sini?" tanyanya lagi.
"Ya."
Hanania tidak senang duduk. Kenapalah asyik bertanya tentang dirinya. Tanyalah pasal kerja ke apa.
"Okeylah, esok datang kerja," kata lelaki tersebut.
Hanania ternganga. Mudahnya, cuma bertanya tentang dirinya.
"Tapi Encik Fizi..." Wanita itu bersuara. Tidak senang dengan cara Encik Fizi.
"Tak ada tapi-tapi lagi. Calon lain kurang pengalaman," katanya sambil tersenyum ke arah Hanania.
Wanita itu menarik muka empat belas. Dasar gatal, desis hatinya. Matilah kau budak perempuan kalau duduk sekali dengan jabatan dia, desis hatinya lagi.
"Terima kasih." kata Hanania.
Alhamdulillah, dapat juga kerja. Allah permudahkan jalannya. Hanania menekan pintu lif untuk turun ke bawah. Ketika itu juga seorang perempuan yang penuh gaya melangkah ke tepinya. Hanania mengerling sekilas ke arah perempuan yang memakai skinny jean dan juga dipadankan dengan kemeja berbunga kecil dan ada reben besar dileher daripada kain chiffon. Cantik dan bergaya. Dia membawa beg genggam berwarna koko gelap. Hanania kerling pula pada sepasang kasut yang tersarung di kakinya.
Semuanya barang mahal. Hai! Untungnya badan, desis hatinya. Satu badannya itu mungkin harganya lebih lima atau enam ribu barangkali. Hanania melangkah ke meja penyambut tetamu tadi. Ketika keluar pun matanya tidak lepas memandang figura perempuan itu. Sempurna sebagai seorang perempuan. Cukup lengkap pada luarannya. Hingga perempuan itu hilang dengan sebuah kereta pun, dia masih memandang.
"Dapat?" tanya penyambut tetamu yang masih belum lagi diketahui namanya.
"Dapat. Esok dah mula," beritahu Hanania dengan gembira.
"Rezekilah tu," balasnya.
"Saya Hanania, panggil Nia aje," beritahunya.
"Nivi. Lepas ni bolehlah kita lepak selalu," ujarnya sambil senyum lagi.
"Nivi?" Hanania pelik dengan nama tersebut.
"Ya, NIvi Anushka." Nivi tergelak-gelak. Hairan dengan gadis manis di depannya ini yang nampak hairan dengan namanya.
"Oh, sedapnya nama awak." Hanania memuji. Nivi sengih.
Hanania mengeluarkan telefonnya dari dalam beg tangannya. Nombor telefon Syaqer didailnya. Mahu memberitahu tentang kerjanya.
"Nivi, esok kita jumpa lagi ya. Saya balik dulu." Hanania senyum dan terus berlalu. Nivi melambaikan tangan kepada Hanania.
YOU ARE READING
CINTA YANG TERTANGGUH
RomanceAdrish dan Hanania.. Pertemuan mereka bukan kerana cinta.