Duatahun berlalu...
JAF menggeleng kepalanya melihat Adrish yang sedang menari dengan seorang perempuan. Dua jam Adrish berada di lantai tarian itu. Sudahnya, dua orang perempuan bertukar tempat untuk menari dengannya. Selepas itu, Adrish melangkah ke arahnya. Kemeja yang dipakainya bertompok-tompok dibasahi peluh.
"Hai, Jaf," sapa Adrish. Dia duduk di sisi Jaf.
Muzik mula berubah.Beralun separa kuat. Pelanggan kelab yang masih tidak puas menari mula menukar rentak tarian.
"Kau ni tak jemu ke? Hari-hari lepas kerja datang sini," tanya Jaf.
Dia pun bosan kalau hari-hari datang sini. Dengan bingitnya. Umur semakin tua barangkali yang membuatkan dia rasa seperti ini.
"Nak lepaskan tension. Kau ni macam tak tahu pula."
Adrish ketawa. Dia menumbuk bahu Jaf perlahan. Nak lepaskan tension kena di tempat bising macam di kelab malam.
"Aku tahu tu. Tapi, kalau tension dengan mama kau pun,janganlah rosakkan diri kau macam ni. Bahaya Rish."
Jaf sebagai kawan tidak mahu Adrish terus hanyut dengan semua ini. Dulu, walaupun mereka kerap ke kelab malam, tapi mereka tak adalah terjebak dengan perempuan dan arak. Sekadar menari dan berseronok saja. Tapi sekarang, Adrish sudah berubah laku. Berubah laku selepas kemalangan itu. Entah apa yang merasuknya.
Adrish tidak dapat terima perangai mamanya. Sakit hati dengan mamanya, dia lepaskan di kelab malam. Selepas papanya diserang strok dan terlantar dua tahun yang lepas, mamanya terus buat perangai lama. Bermain cinta dengan anak ikan. Dia rasa jijik kerana dia adalah anak mamanya. Mamanya yang tidak tahu membezakan yang mana buruk dan baik.
"Jaf, kau datang sini buat apa?" tanya Adrish. Dia kerling kawan baiknya itu.
"Aku? Nak berseronok macam kaulah. Tapi, aku nak nasihatkan kau dulu." Jaf sengih.
"Eleh, kau pun dua kali lima dengan aku. Ada hati nak nasihat aku." Adrish tolak bahu Jaf.
Jaf ketawa.
"Jom kita keluar. Aku laparlah," ajak Jaf. Perutnya berkeroncong sejak tadi. Tapi, dia mahu menanti Adrish selesai menari dahulu.
"Kenapa tak makan kat kafe kau? Ada kafe, tapi ada hati nak makan kat luar." Adrish bangun.
"Sekali-sekala nak juga aku makan masakan orang lain." Jaf ketawa kecil.
"Kalau macam tu, cepatlah sikit. Aku dah lapar ni." Adrish bingkas. Air kuning itu ditolak ke tepi.
"Sayang, you dah nak pergi ke?" tanya gadis pertama yang menari dengan Adrish tadi.
Adrish berdiri tegak dan berpaling kepada gadis tersebut."Ya."
"Esok you datang lagi?" tanyanya.
Adrish ketawa, tidak menjawab pertanyaan gadis itu. Kalau ada rezeki, mereka akan bertemu lagi. Jika tidak, cukuplah setakat malam ini saja. Adrish terus mengajak Jaf keluar dari situ.
"Kesian aku tengok muka minah tu. Dah jatuh cinta agaknya dengan kau," kata Jaf.
"Perempuan kelab malam sama saja dengan mama aku. Bukannya boleh dibuat baik. Semuanya kena layan macam sampah. Hakikatnya, semua perempuan sama saja. Baik bertudung ataupun tak." Adrish terus berjalan ke keretanya.
"Elise?" tanya Jaf.
"Elise lain." Adrish menjawab penuh yakin.
Elise itu memang lain orangnya meskipun dia juga sosial.
Mereka menaiki kereta masing-masing dan terus pergi.
"RISH, pergi mana baru balik ni?" tanya Tengku Raziah.
Dia pandang anak lelakinya itu. Satu-satu zuriatnya dengan suaminya. Suaminya saja yang mempunyai anak lain dengan bekas isteri yang pertama. Tapi, dia lega sebab Arash tidak bersama mereka lagi.
"Eh, pelik betul. Mama ada kat rumah hari ini?" tanya Adrish. Malas melayan mamanya. Macamlah dia tak tahu mamanya itu baru pulang selepas berjumpa anak ikannya.
"Mama ada kat rumahlah. Mama nak pergi mana lagi?" tukas Tengku Raziah.
Adrish jongketkan bahunya. Segala perangai mamanya itu ada di dalam poketnya. Cuma mamanya saja tidak tahu bahawa dia tahu aktiviti mamanya.
"Rish, marilah kita makan sekali malam ni," ajak Tengku Raziah.
Dia pandang Adrish yang semakin lama semakin jauh daripadanya. Tengku Raziah hulurkan tangan kepada Adrish.
"Rish dah makan, mama."
Adrish terus melangkah naik ke atas. Adrish tahu dia tidak patut melayani mamanya begitu. Tapi, dia tidak mampu kerana sikap mamanya.
"Rish," panggil Tengku Raziah lagi.
Adrish tidak mempedulikan panggilan mamanya. Dia bukan anak yang baik untuk mamanya. Tapi, adakah mamanya itu baik untuknya? Adrish tidak tahu. Mungkin Allah tahu apa yang terbaik untuk mereka.
Allah? Adrish meraup wajahnya. Sudah lama dia lupakan Allah. Hidup berpaksikan keseronokan, dendam dan segala jenis kejahatan menyebabkan dia malu untuk berhadapan dengan Allah.
Adrish menanggalkan bajunya. Dia melemparkan bajunya ke dalam raga. Kemudian dihempaskan tubuh sasanya ke katil bersaiz kingitu.
Pintu biliknya diketuk. Adrish hanya menyuruh orang yang mengetuk itu membuka pintu. Terjengul wajah tua ibu saudaranya, Mak Lang Yah. Sejak papanya terlantar, Mak Lang Yah yang menguruskan papanya.
"Papa ada tanyakan Rish. Rish tak mahu jumpa dia?" tanya Mak Lang Yah.
Dia bergerak ke katil Adrishdan duduk di birai katil. Betis Adrishditepuk perlahan.
"Papa okey ke, mak lang?" tanya Adrish.
Adrish melarikan kakinya dan duduk di birai katil.
"Papa dah semakin baik. Dah boleh gerakkan kaki dia. Dah seminggu Rish tak jumpa dia. Sebab tu dia tanya Rish," beritahu Mak Lang Yah.
"Rish tak boleh jumpa papa selalu, mak lang. Rish geram sebab papa tahu mama macam tu, tapi papa tak lepaskan dia."
Adrish sakit hati. Papa tak patut tanggung dosa mama. Hatinya penuh dengan kemarahan.
"Papa berharap mama akan berubah." Perlahan Mak Lang Yah bersuara.
Adrish mendengus perlahan.
"Rish nak minum sebelum tidur?" tanya Mak Lang Yah.
Dia pandang Adrish. Tiada bau busuk daripada Adrish malam ini. Hidungnya kembang kempis mencari bau.
"Mak lang, dah lama Rish tak sentuh air kencing kuda tu."
Adrish ketawa melihat gelagat ibu saudaranya itu. Lantas dia bangun. Tubuh kekar itu sejuk disapa kedinginan pendingin hawa.
"Hmm, dah tahu air kencing kuda, tinggal-tinggalkanlah. Haram semua tu." Mak Lang Yah bangun. Dia senyum kepada Adrish.
Adrish gelak kecil.
"Mak lang tolong doakan Rish ya." Adrish memandang Mak Lang Yah.
Bukannya dia tak cuba, tapi setiap kali tension dengan mama dan papanya, dia akan meneguk juga sedikit.
"Rish kena berdoa sendiri. Lebih afdal. Susah hati tak semestinya kena ikut cara orang kafir. Kita ada Allah, Rish. Minta dengan Allah apa-apa pun. Insya-Allah..."
Mak Lang Yah bangun dan berjalan ke pintu.Pintu bilik Adrishditarik dan ditutupnya.
Adrish terdiam. Dia tahu apa yang salah dan betul, tapi dia pekakkantelinga dan butakan hatinya.
YOU ARE READING
CINTA YANG TERTANGGUH
RomanceAdrish dan Hanania.. Pertemuan mereka bukan kerana cinta.