●●●
"Pierre! Awak nak ke mana lagi tu!?" Ibunya (Suzzane) memarahi Pierre keluar dari rumah selepas selesai sahaja bersarapan. Dia langsung tidak memandang ke arah ibunya dan berlalu pergi begitu saja tanpa berkata apa-apa.
Pierre Darwin, seorang kaki lepak, samseng dan tidak bekerja. Tamat saja persekolahannya beberapa tahun lalu, dia tidak ingin lagi menyambung pelajarannya ke tingkat yang lebih tinggi. Kerana dia lebih suka hidup bebas dan buat cara sendiri. Walaupun usianya sudah mencapai 24 tahun, dia masih belum terfikir untuk menolong ibunya. Sifatnya yang panas baran dan kuat mengamuk selalu saja membuatkan dia dan ibunya berperang mulut. Sudah beratus kali juga dia dinasihatkan untuk mencari kerja, namun kata-kata itu bagaikan masuk telinga kiri, dan keluar pula di telinga kanan Pierre.
"Huh!" Suzzane berdengus apabila dia tidak diendahkan oleh anaknya sendiri.
Mereka hidup sederhana sahaja dan tinggal di sebuah kawasan kejiranan yang diberi nama, Taman Olga. Dia hanya bekerja sebagai tukang pembersih dari rumah ke rumah. Itu sajalah yang mampu dia lakukan untuk menyara hidup dia dan Pierre. Suaminya telah meninggal 2 tahun lalu akibat strok dan kegagalan buah pinggang. Penyakit yang datang itu adalah berpunca daripada tabiatnya yang suka minum arak sejak zaman remaja lagi. Suzzane dan Pierre menerima pemergiannya dengan tenang.
Namun begitu, Suzzane tidak pernah berhenti berharap agar Pierre berubah menjadi seorang anak yang bertanggungjawab dan tidak menjadi seperti bapanya.
•••••
Seperti biasa, Pierre akan keluar dari tempat tinggalnya untuk melepak bersama dengan dua orang kawan baiknya, Chuck dan David. Mereka bertiga selalu mengganggu serta memeras ugut pelajar sekolah yang lalu di tepi bangunan tempat mereka membuang masa. Bukan setakat itu saja, mereka bertiga juga suka mengganggu gadis-gadis cantik.
"Hei Pierre, tengok tu. Cantiknya bentuk badan dia! Hahaha!" Kata Chuck ketika melihat sosok tubuh badan seorang gadis yang ingin lalu di kawasan tempat mereka berlepak.
Pierre memalingkan muka ke arah gadis itu sambil tersengih-sengih.
"Hai.." Pierre menyapa gadis tadi yang lalu di hadapannya.
Gadis itu tidak memandangnya langsung dengan raut wajah masam. Dia tidak ingin diganggu oleh samseng-samseng itu.
David mengekori gadis itu dari belakang, kemudian mengacau rambutnya.
"Hei! Jangan ganggu sayalah!" Jerit gadis itu kerana tersentak dengan perbuatan David tadi.
"Eh, sombongnya! Hahah!" Sentap David dan balik ke tempat lepak mereka semula.
Mereka ketawa berdekah-dekah sambil melihat gadis tadi berlalu pergi.
Pierre, Chuck dan David sudah lama berkawan sejak kecil lagi. Mereka cukup terkenal di taman perumahan itu kerana menganggur dan suka membuli orang lain. Disebut saja salah satu nama mereka, pasti semua orang akan mengenali mereka.
Pierre pernah sekali dibelasah oleh sekumpulan samseng dari kawasan luar kerana dia telah menganggu teman wanita salah seorang dari budak samseng itu. Tetapi Pierre tetap tidak mahu berubah juga. Dia masih dengan perangai buruknya yang suka mengganggu orang lain.•••••
Keesokan harinya..
"Mama nak pergi bersihkan rumah di blok bangunan sebelah hari ni, sebab ada orang baru nak pindah disana," Suzzane berbicara ketika dia dan Pierre sedang bersarapan pagi.
Pierre langsung tidak mempedulikan apa yang dikatakan ibunya. Dia hanya buat-buat tidak tahu dan tidak dengar. Suzzane memandangnya tajam sambil mengeluh.
"Hmm.. apa masalah awak ni, Pierre? Awak tak kasihan ke tengok mama bekerja, tapi awak berdiam diri saja. Lepas tu melepak sana sini tak tentu arah. Apa nak jadi dengan awak ni? Sampai bila awak nak harap saya bagi makan pada awak!?" Ulas Suzzane dengan nada geram.
Tak!
Sudu yang dipegang Pierre dihentaknya di atas meja. Lalu dia memandang wajah ibunya yang sudah separuh usia itu dengan pandangan sinis.
"Kalau mama tak suka, saya boleh keluar dari rumah ni!" Bentak Pierre dengan nafas yang laju.
Suzzane bertambah geram dengan jawapan Pierre itu.
"Mama bukan nak awak lari. Tapi fikirlah untuk masa depan, Pierre! Mama dah tua, faham tak!?" Suzzane memarahi Pierre lagi. Sakit hatinya bila Pierre melawan semasa dia memberi nasihat.
"Ah! Mama tak pernah nak bercakap baik dengan saya! Hari-hari cakap benda yang sama. Saya bencilah! Ini kehidupan saya, mama jangan nak masuk campur!" Pierre makin melawan ibunya.
"Awak ni memang keras kepala betul! Entah bila awak akan sedar!" Jerkah Suzzane lagi. Air mata ibunya hampir gugur saat berhadapan dengan Pierre.
Pierre lantas bangun dari bangku dan terus keluar dari rumah tanpa memandang wajah ibunya lagi. Dia benci bila ditegur sedemikian rupa. Dia tidak suka bila ibunya sering meninggikan suara ketika bercakap. Sebab itulah dia juga berkasar dan melawan Suzzane.
Pierre berkelakuan sebegini kerana ibubapanya selalu saja menengkingnya ketika dia masih kecil. Dia telah dipukul oleh bapanya yang pemabuk. Dari situlah secara tidak langsung, dia menjadi seorang yang kuat melawan dan kasar kerana kekurangan kasih sayang dari kedua-dua ibubapanya.
Suzzane hanya mampu menahan sebak di hati tatkala melihat anaknya pergi. Dia menyesal kerana tidak memberikan kasih sayang yang cukup kepada anaknya itu.
Ketika dia masih muda dan kuat, dia dan mendiang suaminya sering minum arak hinggalah dia mengandung dan melahirkan Pierre ke dunia. Selang beberapa tahun kemudian, pergaduhan antara mereka suami isteri sering terjadi dan kerap diperhatikan oleh Pierre yang pada waktu itu masih kecil. Kasih sayang terhadap Pierre semakin berkurangan, sehingga Suzzane mengabaikan Pierre. Kini, penyesalan itu tiada guna bila Pierre sendiri tidak melayannya dengan baik. Semua ini berpunca dari kesilapannya yang lampau..
•••••
Ssuuss...Angin sepoi-sepoi bahasa berhembus lalu menyapa tubuh badan Pierre yang sedang bersandar di tepi dinding bangunan, sambil memikirkan kata-kata ibunya tadi.
'Maafkan saya ma.. saya gagal menjadi anak yang baik buat awak. Saya tak sengaja melawan..'
Jauh di sudut hati pemuda itu, terselit rasa penyesalan. Dia sebenarnya menyayangi ibunya. Tetapi ia sukar untuk ditonjolkan bila dia berdepan dengan ibunya..
YOU ARE READING
1 4 3 TERU ✔
RomanceI'jien Gracevon@copyright protected ©2019 WARNING!! DO NOT COPY THIS STORY WITHOUT THE AUTHOR'S PERMISSION!! 👊 Nama tempat di dalam cerita ini hanya rekaan semata-mata. This is a sentimental romantic love story. No humor, just serious. ●Sinopsis●...