1 4 3 TERU. part 8

142 13 10
                                    

●●●●●

   Suzzane pulang ke rumah dengan muka yang mencuka. Dia segera mencari Pierre di dalam biliknya. Pierre tersentak apabila ibunya meluru masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu.

"Kenapa masuk sesuka hati ni!?" Soalnya dengan kasar.

"Apa kau dah buat hari ni? Hah!? Awak buli orang lagi ke!?" Kata Suzzane sambil menolak pinggang.

"Siapa cakap!? Saya tak ganggu orang lah!" Pierre cuba menipu. Di dalam hatinya, pasti ada orang yang mengadu dengan ibunya.

"Hebat sangatkah jadi samseng!? Apa awak dapat?" Suzzane memarahinya lagi.

Pierre yang sedang duduk di kerusi tanpa baju, mengerutkan kening. Perasaan marahnya mulai muncul.

"Pak cik Colin kata kamu usik gadis berkerusi roda tu! Mama malu dengan perangai awak, Pierre! Setiap kali awak buat masalah, mereka selalu mengadu dengan mama! Gadis tu sakit! Awak faham tak!?" Bentak ibunya lagi.

Dia berasa sangat sakit hati bila jiran tetangga melaporkan tindak tanduk Pierre yang buruk terhadapnya. Dia menjadi malu dengan keadaan itu.

"Saya bukan pukul dia pun!" Jawab Pierre sambil jari jemarinya bergenggaman di atas meja.

"Sekali lagi awak ganggu orang-orang yang lalu di kawasan bangunan ni, awas ye!" Suzzane memberi amaran keras kepadanya.

"Ahh! Bising!" Jerit Pierre lalu melompat ke katil dan menarik selimut lalu menutup telinganya dengan bantal.

Suzzane menggelengkan kepala. Dengusan marahnya jelas kedengaran di telinga Pierre. Sakit hatinya bila Pierre masih tidak mahu berubah. Dia pun segera meninggalkan ruang bilik Pierre dan lantas menutup pintu dengan kuat, tanda marah.

Bam!

"Huhh!" Pierre mengeluh keras. Dia benci bila ibunya menegur sedemikian rupa.

'Gadis tu sakit!'

Ayat dari Suzzane itu terngiang-ngiang di kepala otaknya.

"Sakit apa?" Bisiknya di bawah bantal. Dia tidak mahu berfikir tentang gadis itu lalu dia cuba untuk tidur. Disebabkan pergaduhan kecil itu tadi, dia merajuk dan tidak mahu keluar untuk makan malam.

Saat dia tertidur dengan lena, dia termimpi akan seorang gadis yang cantik memakai gaun putih duduk di sampingnya di atas katil. Gadis itu tersenyum kepadanya dengan senyuman manis. Pierre cuba untuk mengusap pipi gadis itu, tetapi tiba-tiba ia hilang dari pandangan matanya.

"Huh!"

Dia bingkas bangun dari tidur. Keringat membasahi muka dan kulit tubuhnya

"Siapa tu?"

Katanya setelah tersedar dari mimpi. Gadis itu seperti pernah dilihatnya, tetapi dia tidak pasti gadis yang mana satu. Tanpa memikirkannya lagi, dia pun baring semula dan sambung tidur.

•••••

  Keesokan harinya, seperti biasa Rita sudahpun menyiapkan barang jualannya dan dia letakkan di atas meja dapur. Kakinya yang bengkak masih terasa sakit. Kalau boleh dia tidak mahu Teru menghantar jualan itu hari ini, tetapi dia tidak tahan dengan sakit kakinya itu.

Ninki berasa risau pada isterinya kerana sanggup berkorban masa dan kesihatan untuk membantu dari segi kewangan. Dia pun mengambil keputusan untuk bekerja lebih masa supaya dapat memperoleh pendapatan lebih.

Sebelum dia bertolak pergi kerja, setiap hari dia akan menjenguk Teru terlebih dahulu. Dia takut jikalau Teru tiba-tiba 'pergi' meninggalkan mereka.. Sebak hatinya melihat Teru semakin hari semakin lemah. Ubat-ubatannya pun sudah hampir habis. Minggu depan kena hantar dia ke hospital untuk rawatan lanjut. Sebab itulah dia terpaksa bekerja melebihi had masa. Dia tidak kisah, asalkan ubat-ubatan dan pemeriksaan terhadap Teru terbayar.

"Saya dah nak keluar ni. Kalau ada apa-apa, terus hubungi saya tau?" Kata Ninki kepada Rita yang sedang duduk di atas kerusi malas seawal jam 6 pagi.

Rita tersenyum kepada suaminya yang semakin beruban.

"Ya sayang.. hati-hati semasa bekerja," balas Rita dengan penuh rasa cinta kepada suaminya yang telah bersama dengannya selama 23 tahun.

"Ya, saya jalan dulu." Balas Ninki lalu mengucup pipi isterinya sebelum keluar rumah.

Rita hanya melihat suami tercintanya itu keluar sambil tersenyum. Dia sangat bertuah memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dan menyayangi mereka anak beranak.

Tidak lama kemudian, terdengar suara batuk dari dalam bilik Teru.

"Uhukk! Uhukk!"

Rita terkejut mendengar bunyi batuk yang agak keras itu. Lalu dia dengan perlahan bangun dari kerusi malas itu dan segera menuju ke bilik Teru. Dia berasa sangat risau ketika itu. Sakit kakinya bagaikan tidak lagi terasa.

"Teru!? Kenapa ni sayang?" Soalnya ketika masuk ke dalam bilik anak gadisnya.

Dilihatnya Teru sedang menutup mulut dengan selimut sambil mengeluarkan batuk. Dia lantas duduk di tepi tilam dan mengusap dahi anaknya. Teru tidak menjawab pertanyaan ibunya tadi dan masih terbatuk-batuk.

"Kenapa ni!? Teru..!" Air mata si ibu berlinangan di pipi. Dia tidak sanggup melihat anaknya seperti itu.

"Ma.. ma.." Teru memanggilnya dengan suara serak dan lemah.

Ketika Rita melihatnya, selimut yang Teru gunakan untuk menutup mulut tadi diselaputi darah yang keluar dari mulut si gadis.

Rita menjadi panik! Dia tidak tahu kepada siapa untuk dia hubungi saat ini! Suaminya sudah pasti berada jauh dari tempat tinggalnya. Lalu dia teringat kembali tentang nombor telefon Suzzane. Dengan kaki yang masih sakit, dia segera masuk ke biliknya dan mencari kertas kecil yang diberi padanya tempoh hari.

Dia terus menghubungi Suzzane pada waktu itu. Dia takut.. Dia sangat takut melihat Teru seperti tidak dapat melawan lagi penyakitnya!

Rita; 📞 Hello!? Ini Suzzane?

Rita yang sedang berasa risau menghubungi Suzzane ketika itu. Suzzane yang baru siap menyediakan sarapan, menyahut semasa berada di talian.

Suzzane; 📞 Ya, ini saya. Siapa ni?

Rita; 📞 Kak! Saya Rita! Tolong saya.. saya kena hantar Teru ke hospital!

Suzzane terkejut mendengar kata-kata itu. Perasaannya turut risau walaupun Teru bukan anak kandungnya. Tetapi, gadis itu sungguh istimewa buat dirinya.

Suzzane ; 📞Hah!? Ba.. baik! Saya ke sana sekarang!

Jawab Suzzane lalu bergegas ke bilik mencapai begnya dan segera keluar dari rumah. Pierre ketika itu baru sahaja bangun dari tidur. Dia berasa pelik bila melihat ibunya tergesa-gesa keluar. Ingin dia bertanya, tetapi ibunya sudah hilang dari pandangan mata.

Suzzane mengajak Colin bersama kerana lelaki tua itu ada kenderaan yang boleh membawa Teru ke hospital. Setelah sampai di rumah Rita, mereka segera meletakkan Teru di atas kerusi roda dan bawa dia ke hospital terdekat.

Semasa dalam perjalanan, Rita tidak henti-henti menangis sambil memeluk tubuh anaknya yang lemah. Suzzane yang berada di sisi mereka juga hampir menangis melihat keadaan dua beranak itu. Sayu hatinya melihat gadis kurang upaya itu tidak mampu bergerak. Kelopak mata Teru semakin kuyu. Dalam pelukan ibunya.. dia menangis..

 

 1 4 3 TERU ✔Where stories live. Discover now