Bahagian 9

113 9 1
                                        

18 Ogos 2013

"Berikan anak itu!!!"

Aku terjaga dari tidurku. Malam ini, aku bermimpikan perempuan itu lagi. Jika sebelum ini, perempuan tersebut hanya diam membisu dan mengejarku di dalam mimpiku, namun kali ini, perempuan tersebut sudah mampu menuturkan kata-kata itu kepadaku sambil mengejarku.

Aku meraup wajahku yang telah basah dengan peluh. Penat dan gelisah menyelubungi diriku.

Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa perempuan itu mengejar dan menginginkan anakku?

Oh Tuhan, berikan aku petunjukMu.

Pranggg!!!!

Bunyi pinggan mangkuk jatuh itu sekali lagi menerjah telingaku. Persis seperti apa yang aku dengari ketika di rumahku dulu.

Tapi,kenapa bunyi itu masih ada?walaupun di rumah mama?

Pada malam ini, aku mendapat kekuatan dan keberanian untuk memeriksa punca bunyi tersebut. Aku sudah tidak tahan lagi dengan bunyi yang asyik mengganggu aku itu.

Aku memulas tombol pintu bilikku dan perlahan-lahan menapak ke tangga untuk menuju ke ruangan dapur.

Bunyi dentingan seperti pinggan mangkuk yang berlaga antara satu sama lain menyapa telinga dan ianya semakin kuat kedengaran apabila aku semakin dekat dengan dapur.

Perlahan-lahan, aku menekan suis lampu di ruang tamu untuk menerangi dapur.

Alangkah terkejutnya aku apabila melihat susuk tubuh yang berambut panjang dan sedang menjilat sisa-sisa makanan yang jatuh daripada mangkuk dan tong sampah tatkala aku menjengukkan kepalaku di dapur.

Menyedari bahawa dirinya diintai, lembaga itu memandang diriku dan tersengih ke arahku. Terserlah gigi taringnya yang tajam dan dipenuhi dengan darah dan sampah sarap.

Perempuan itu! Ya, wajah lembaga itu sama seperti perempuan yang ada dalam mimpiku!

Aku menjerit sekuat hati apabila lembaga tersebut datang ke arahku dengan laju walaupun ketika itu dia sedang merangkak.

Mama dan semua orang yang ada di rumah datang kepadaku di saat mereka mendengar jeritanku.

"Kenapa ni Ira? Kenapa kamu jerit-jerit ni? Kamu okay tak,Ira?" Mama bertanyakan soalan itu dengan wajah yang cemas.

"Ada hantu, mama! Ada hantu!" Aku menudingkan jari ke arah dapur sambil menundukkan wajahku kedalam pelukkan mama. Tidak sanggup aku melihat lembaga itu lagi.

"Mana ada hantu Ira? Kamu ni mengigau ke?" Papa berkata kehairanan. Kak Fatin juga menunjukkan wajah kehairanannya.

"Adalah papa! Ada hantu kat situ!"aku masih lagi menudingkan jari tanpa melihat ke arah dapur tersebut.

"Tak ada apa-apalah Ira. Tengok, tak ada apapun." Kak Fatin menjelaskan sekali lagi.

Aku kehairanan tatkala melihat ruangan dapur yang kosong. Tiada lagi kelibat perempuan itu. Dan tiada juga kesan sisa-sisa sampah dan pinggan mangkuk seperti yang aku lihat tadi.

"Tapi tadi memang ada. Ira nampak dengan mata kepala Ira sendiri. Ada hantu kat situ. Betul, Ira tak tipu." Aku menjelaskan situasi tersebut. Aku bingung untuk seketika.

"Kamu mengigau kot Ira. Mungkin kamu penat sangat ni." Mama cuba memujuk diriku.

"Macam nilah Ira. Kalau kau takut,kau tidur dengan akak. Abang Ikram pun tak balik rumah malam ni. Jadi, kau tidur je kat bilik akak. Okay?" Kak Fatin memberikan cadangan.

Eleh..takutlah tu. Macamlah aku tak tahu Kak Fatin ni memang penakut dari kecil lagi. Sebab tu, suruh aku tidur dengan dia.

Untuk tidak mengeruhkan keadaan, aku mengikut sahaja kehendak Kak Fatin.

Tapi, betul ke itu cuma mimpi?






CATATAN MISTERI [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang