Pagi ini terasa berat kepala Iqbal. Tekak raya loya dan perut memulas. Dilihat jam di dinding biliknya menunjukkan pukul 6.20 pagi. Sudah terlewat sebenarnya dia kerana pagi ini Iqbal ada tugasan yang agak penting iaitu menemubual secara langsung Datuk Bandar Kuala Lumpur mengenai perasmian projek Laman Taman Poket di Tasik Titiwangsa. Selesai membersihkan diri dan bersiap, Iqbal merasakan dirinya lega sedikit, Cuma rasa loya masih lagi berkumandang di tekaknya.
Tidak mahu perkara ini melemahkan dirinya dalam menyempurnakan tugasan, dia terus memandu kereta menuju ke Tasik Titiwangsa, tempat akan berlangsungnya perasmian Laman Taman Poket pada pagi ini. Iqbal merasakan bertuah kerana ini kali pertama dia ditugaskan untuk menemubual seseorang yang penting dan akan disiarkan secara langsung di Channel 5. Jadi dia harus lakukan sehabis baik.
Sampai sahaja di Tasik Titiwangsa, Iqbal meneliti kembali soalan-soalan yang akan diajukan pada Datuk Bandar Kuala Lumpur. Channel 5 hanya diberikan masa tiga minit sahaja untuk sesi temubual eksklusif ini. Dalam menghilangkan loya tekaknya, dia telah menelan ubat sakit tekak. Kali ini dia ditemani oleh Iqmal sebagai jurukamera, Tasha sebagai pengurus lokasi dan Nick sebagai juruteknik IT yang telah bersedia dalam van siar raya Channel 5 untuk memastikan kelancaran temubual siaran langsung itu nanti.
Tasha sering kali bertanyakan keadaan kesihatan Iqbal dek kerana mukanya yang kelihatan agak pucat. Namun Iqbal hanya menyatakan dirinya baik dan dapat meneruskan apa yang telah dirancang. Sememangnya Iqbal tidak mahu keadaannya sekarang menjadi alasan untuknya melepaskan peluang yang ada.
Sambil menunggu kedatangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Iqbal melakukan sound check terhadap mikrofon sambil Iqmal merakam bagi memastikan sudut yang diambilnya nanti tiada silauan yang mengganggu. Datuk Bandar Kuala Lumpur telah pun tiba, dan tidak semena-mena, Iqbal merasa gementar. Dengan keadaannya yang tidak berapa sihat, panasnya menjadi panas secara tiba-tiba. Tasha telah pun menyambut Datuk Bandar Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum Datuk Bandar Kuala Lumpur terbabit berdiri mengambil tempat di sebelah Iqbal.
Iqbal cuba menghilangkan pelbagai rasa yang bermain dengan dirinya, dia harus lakukan yang terbaik. Kamera telah pon bersedia, Tasha telah memulakan pengiraan 3, 2, 1, ON LIVE.
“Terima Kasih Halim dari Studio Perdana Channel 5, pada pagi ini saya Iqbal Irfan berada di Tasik Titiwangsa bersemperna perasmian Laman Taman Poket yang merupakan satu inisiatif pihak kementerian dalam menghijaukan lagi persekitaran bandar raya Kuala Lumpur. Dan saya amat berbesar hati kerana bersama saya sekarang adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang akan berkongsi mengenai projek Laman Taman Poket ini. Okay datuk, berbanding dengan taman-taman lain yang sedia ada di Kuala Lumpur ini, apakah kelebihan dan keunikan Laman Taman Poket ini dalam menjadikan Kuala Lumpur ke arah Bandar Raya dalam Taman 2020” tutur Iqbal dengan penuh keyakinan. Alhamdulillah dia sudah kembali mendapat rentak dan suhu badannya dirasakan kembali normal.
Sambil mendengar penerangan Datuk Bandar, Iqbal memberikan respon yang bertenaga sambil memandang ke arah kamera. Dia merasakan masa ini jugalah dia dapat menjual rupanya yang telah pon diusahakan agar dia berjaya menembusi menjadi wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran terkemuka tanah air.
Soalan demi soalan diajukan namun entah mengapa Iqbal terasa pitam. Namun dia cuba untuk bertahan dan melakukan yang terbaik.
“Jadi apakah harapan pihak datuk terhadap projek ini dan seterusnya pesanan datuk kepada semua penduduk Kuala Lumpur yang menonton secara langsung ini” ujar Iqbal mengemukakan soalan terakhir.
Ketika datuk bandar hendak mengemukakan huraian harapannya, dengan tiba-tiba Iqbal merasakan sesuatu yang pelik pada tekak dan seterusnya….
.........................................................................
YOU ARE READING
AkanKu TungguMu (Complete)
RomanceAzri seorang lelaki skema yang baru sahaja hendak memulakan hidup di kota metropolitan. Selain untuk mencari pengalaman kerja, niatnya juga adalah hendak mengubah dirinya agar dapat mengejar cita-cita sebenarnya, menggapai kerjaya di awan biru. Iqba...