Sedar tidak sedar, sudah sebulan Azri bertugas membelah langit, melayani pelbagai ragam penumpang di atas awan biru. Ada penumpang yang okay, ada juga penumpang yang banyak kerenah, seolah-olah mahu dilayan seperti VIP, padahal duduk di zon ekonomi sahaja. Penumpang di kelas pertama dan juga kelas bisnes lagi bagus ragamnya, lebih menghormati kru kabin.
Sepanjang sebulan ini, selain dari Sydney, Azri juga berpeluang membuat penerbangan jarak panjang ke Astana. Di manakah itu? Astana merupakan ibu negara Kazakhstan. Tidak terjangkau fikiran Azri dia dapat menjejak kaki ke Kazakhstan, malahan diberi peluang bermalam selama dua malam sebelum pulang ke Kuala Lumpur, memang dia dan rakan-rakan kru yang lain pergunakan masa sehabis baik menikmati ibu kota Astana yang ketika itu sedang musim luruh.
Selebihnya, Azri berkhidmat untuk penerbangan jarak pendek iaitu yang kurang dari 8 jam untuk pergi dan balik, maknanya destinasi seperti domestik iaitu dalam Malaysia, dan antarabangsa iaitu sekitar Asia Tenggara dan negara Asia yang berhampiran. Untuk penerbangan jarak pendek pula, tidak langsung dia berpeluang untuk menjejak tanah, malahan menjengah lapangan terbang pun tidak sempat kerana sibuk mengemas kapal dengan pantas sebelum menerima kemasukan penumpang yang seterusnya untuk bersama-sama pulang ke Kuala Lumpur.
Soal penat usahlah cerita, penerbangan jarak pendek atau penerbangan jarak panjang sama sahaja letihnya. Lagi-lagi Azri yang berulang dari Kota Damansara ke KLIA, balik sahaja dari duty seusai sampai ke biliknya, terus Azri merebahkan diri ke katil dan tidur. Bangun keesokkan harinya, hendak bersiap semula ke KLIA untuk duty seterusnya. Kini, dia banyak menggunakan pengangkutan awam iaitu grab dari rumah sewanya ke One Utama dan menaiki bas dari One Utama terus ke KLIA. Itu yang menambahkan kepenatan diri Azri. Hanya Kadang-kala Iqbal menghantarnya ke KLIA jika Iqbal berkelapangan seperti baru tamat kerjanya di Channel 5 atau sememangnya tidak bekerja.
Lagipun, Azri sudah keberatan untuk menerima pertolongan Iqbal. Tidak mahu dia seakan menyusahkan atau termakan budi. Penat bekerja sebagai kru juga membuatkan Azri seolah-olah mahu masanya sendiri. Azri dengan Iqbal hanya lepak kadang-kala untuk makan sahaja, lagi-lagi Azri sudah meningggalkan alam gym kerana kesibukan kerjaya terkininya. Ada juga Azri terfikir untuk berpindah lagi berhampiran dengan kawasan KLIA, namun tidak berpeluang dia menjengah iklan rumah sewa di internet.
Bersoal pula mengenai Ekhwan, agak jarang Azri terserempak dengan Ekhwan di KLIA, kerana jadual masing-masing bukan pada waktu yang sama. Ada sesekali terserempak namun masih agak kejauhan dan masing-masing lagi sibukkan fikirkan diri sendiri yang mengejar masa dari hendak bertegur sapa. Hanya senyum diukir sesama sendiri dari kejauhan. Itulah kali pertama Azri bertugas ke Sydney, mereka berdua ditugaskan sekali.
Namun, setiap kali Azri terserempak dengan Ekhwan, dadanya berdebar, hatinya bergetar dan wujudnya satu perasaan dalam dirinya yang tidak tahu bagaimana hendak diterangkan. Bukan cinta, bukan rindu, bukan juga benci, tapi satu perasaan yang entahlah.
Hari ini, Azri diberi peluang cuti tiga hari. Oh inilah kali pertama dia dapat cuti yang agak panjang, kalau tidak selalunya offdaynya hanya sehari atau dua hari sahaja. Jadi dia awal-awal lagi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung, menjengah keluarganya. Mula-mula Iqbal juga hendak turut serta mengikut Azri pulang ke kampung, namun saat-saat akhir Iqbal ditugaskan untuk mengendali wawancara untuk persidangan menteri-menteri wanita dunia yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Nasib baiklah Kifli, rakan serumah merangkap sahabatnya dari sekolah lagi sudi mengambil cuti dan mereka berdua bersama-sama pulang ke kampung. Hadi pula seperti biasa, lebih suka bekerja dan mengambil OT, jadi dibagi sahaja keretanya pada Kifli dan Azri untuk dipandu pulang ke kampung.
Lagipun, walaupun mereka serumah, jarang sekali mereka dapat meluangkan masa bersama-sama, almaklumlah kedua-duanya kerja shift. Azri pulang dari kerja, Kifli masih bekerja, Kifli pulang dari kerja, Azri pula dalam perjalanan ke KLIA. Jadi, masa inilah mereka hendak meluangkan masa berdua, lagi-lagi banyak kisah yang hendak dikongsikan bersama, lagi-lagi Azri memandangkan Kifli masih tidak tahu yang dia sudah bertemu semula dengan Ekhwan.
YOU ARE READING
AkanKu TungguMu (Complete)
RomanceAzri seorang lelaki skema yang baru sahaja hendak memulakan hidup di kota metropolitan. Selain untuk mencari pengalaman kerja, niatnya juga adalah hendak mengubah dirinya agar dapat mengejar cita-cita sebenarnya, menggapai kerjaya di awan biru. Iqba...