Enam tahun yang lalu...
Loceng berbunyi menandakan bahawa sesi pembelajaran telah pun tamat. Namun kelas 3a1 masih tidak dapat pulang kerana ada kelas tambahan sebentar lagi. Kebanyakan pelajar keluar dahulu untuk ke kantin membeli makanan melapik perut. Namun Azri masih duduk di tempatnya, menyiapkan latihan sains yang diberikan cikgunya pagi tadi.
Sedang ralit dia menyiapkan latihannya itu, dia disapa seseorang. Ekhwan Farhan mengetuk mejanya lalu duduk di hadapannya. Ekhwan Farhan bin Firdaus. Murid kelas 3a2, namun berkongsi kelas tambahan dengan Azri. Mereka mula berkenalan daripada tingkatan 1 ketika memulakan persekolahan menengah. Ekhwan yang tinggal di Kampung Anak Sungai, bersebelahan dengan Kampung Simpang Tiga, kampung tempat tinggal Ekwan. Ketika sekolah rendah mereka bersekolah rendah di kampung masing-masing dan satu sekolah apabila masuk sekolah menengah. Sejak itu, mereka menjadi rapat dan akrab.
Rakan-rakan yang lain memandang mereka sebagai kawan rapat. Namun bagi Azri, Ekhwan bukan hanya kawan rapatnya. Jauh di sudut hati Azri, mendetik satu perasaan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan pada Ekhwan. Perasaan yang tidak sepatutnya wujud. Tatkala remaja lelaki lain mulai mempunyai perasaan sayang dan naluri hendak berpasangan dengan wanita. Namun tidak bagi Azri. Hormon keremajaannya yang mulai wujud telah mencambahkan satu perasaan yang tertarik pada kaumnya sendiri, kaum lelaki. Dan insan yang menjadi dambaan pertamanya adalah sahabat karibnya sendiri, Ekhwan.
Entah bila perasaan ini mulai wujud, Azri pun tidak sedar. Rapat dengan Ekhwan, dan melihat Ekhwan membesar di depan matanya, menyebabkan hati Azri tidak keruan. Dari seorang budak hingusan yang selekeh, keremajaan menyebabkan Ekhwan menjadi seorang yang mempunyai paras rupa yang menarik.
Masih selekeh, seperti dahulu, baju tidak bergosok, kadang kala comot kerana dia sendiri tidak menghiraukan kekemasan diri, tapi perubahan dari kanak-kanak ke seorang remaja menyebabkan Ekhwan antara pelajar lelaki yang sering menjadi perhatian pelajar perempuan yang lain. Hidung kecil tajam, mata bundar dengan alis kening tebal serta rambut serabai, kulit cerah dan pipi sering kemerah-merahan dek kerana jerawat yang sering menyinggah, itulah Ekhwan.
Dan Azri beruntung kerana menjadi rakan karib Ekhwan, seolah-olah dia menumpang populariti Ekhwan. Seorang remaja lelaki kacak yang selekeh dan seorang budak skema berkaca mata rambut tersisir tepi. Sememangnya kawan sekeliling memandang mereka sebagai sahabat baik, mungkin juga begitu tanggapan Ekhwan terhadap Azri, namun tidak dalam hati Azri.
"Azri, nanti lepas habis kelas tambahan teman aku pergi beli mata kail jap" ujar Ekhwan seusai melabuhkan punggungnya atas kerusi berhadapan Azri.
Azri memandang Ekhwan. Kelihatan bekas sambal di bahu baju sekolah Ekhwan. Mesti lepas makan rehat tadi Ekhwan mengesat mulutnya hanya menggunakan bahunya.
"kenapa comot betul baju ko ni" tegur Azri. "harap je handsome, tapi selekeh" bebel Azri. Azri sememangnya pendiam dari sekolah lagi, tetapi dengan Ekhwan sahaja dia sering bersuara dan betah menyatakan apa sahaja.
"ala, kat sekolah je kot, nak kemas-kemas buat apa, selekeh aku ni pon, tetap ramai peminat" balas Ekhwan.
Ya, ramai yang meminati Ekhwan, keselekehannya tidak mengaburkan padangan pelajar perempuan terhadap kekacakan Ekhwan. Sering sahaja Azri menjadi orang tengah menyampaikan salam, surat, malahan hadiah. Namun, tidak pernah seorang pun berjaya meraih hati Ekhwan untuk menikmati cinta monyet zaman remaja.
"Apa-apa jela" jawap Azri ringkas malas hendak melayan Ekhwan. Diteruskannya menjawap latihan matematik. Cikgu Rosidah guru geografi masih belum masuk ke kelas tambahan mereka.
"Azri, boleh tak teman aku pergi beli mata kail kat pekan petang ni" pujuk Ekhwan. Suaranya yang kedengaran garau sebagai bukti Ekhwan sudah mencapai tahap keremajaan. Azri terasa lemah dengan pujukkan itu. Lalu dia hanya mengangguk menandakan setuju untuk menemani Ekhwan ke pekan petang nanti. Ekhwan pun, hendak membeli mata kail pun tetap mengajak Azri menemaninya. Perkara sebeginilah yang menyebabkan Azri merasakan Ekhwan sentiasa memerlukannya dan lantaran itu terlahirlah satu perasaan yang Azri sendiri tidak dapat menolak.
Seusai habis kelas tambahan dan membeli mata kail di pekan kecil Kampung Simpang Tiga, Ekhwan mengajak Azri untuk menemaninya memancing di sungai. Azri dengan mudah hati menurutkan sahaja asalkan Ekhwan mengambilnya di rumah nanti kerana dia hendak pulang ke rumah dahulu untuk bersihkan diri dan makan. Samping itu dapatlah Azri luangkan masa dengan insan yang sekarang berada di hatinya.
Cuaca petang itu redup sahaja, jadi tidaklah berpanas mereka berdua di tebing sungai itu. Ekhwan telah pon melontarkan pancingnya ke dalam sungai manakala Azri pula membawa buku rujukan sejarah yang dibawanya tadi, sekadar untuk mengisi waktu tatkala menemani Ekhwan memancing. Permulaan tiada perbualan antara mereka kerana Azri mengetahui aktiviti suara perbualan akan menyebabkan ikan lari lantaran itu umpan Ekhwan tidak mengena.
Setelah beberapa ketika, umpan Ekhwan masih tidak mengena dan mungkin sudah kerana bosan, mata Ekhwan mulai berat. Dari tebing sungai itu Ekhwan bangun dan menuju ke Azri yang sedang menyandar di sebatang perdu pokok sambil membaca buku rujukan sejarah itu.
Lantas dengan itu Ekhwan baring dengan berbantalkan peha Azri. Perlakuan itu sudah biasa di lakukan Ekhwan. Azri buat-buat terus membaca. "nanti pukul 6.30 kejutkan aku, kita pulang" pinta Ekhwan lalu memejamkan mata.
Azri hanya memandang Ekhwan yang matanya telah tertutup. Sungguh indah pandangan mata Azri pada masa ini, melihat Ekhwan. Kening yang tebal dan bulu mata yang panjang, kulit cerah dan kemerahan akibat jerawat yang agak subur, sememangnya Ekhwan adalah ciptaan yang lengkap bagi Azri. Azri sedar perasaannya pada Ekhwan sudah mencapai tahap lebih dari seorang sahabat, mahu sahaja dia memiliki hati Ekhwan dan membuatkan dirinya insan yang bertakhta dalam hati Ekhwan, tapi Azri sedar perlakuan itu melanggar norma kehidupan masyarakat. Lagi-lagi kehidupan mereka di kawasan perkampungan yang sememangnya tidak terbuka dalam isu seperti itu.
Makin lama perasaan Azri pada Ekhwan semakin kuat, seolah-olah tidak dapat lagi ditahan. Ingin sahaja Azri meluahkan isi hatinya yang telah lama terbuku, namun tidak tahu bila. Azri perlu mengumpul kekuatan sebelum tibanya masa untuk dia meluahkan isi hatinya. Walaupun Azri tidak tahu adakah pandangan Ekhwan pada Azri lebih dari seorang kawan, adakah Azri seorang sahaja berperasaan sedemikian, adakah Ekhwan bukan seperti dirinya, tapi Azri nekad. Suatu hari nanti pasti Azri akan meluahkan isi hatinya.
Azri cuba untuk menyentuh kening Ekhwan, namun tangannya tertahan. Mungkin kerana tidak mahu menganggu tidur Ekhwan di pahanya. Oleh itu, Azri berterusan memandang wajah Ekhwan. Buku rujukan sejarahnya sudah entah ke mana, kerana di hadapannya insan yang berada dalam hatinya. Azri terasa bahagia. Harap masa lambat berlalu dan perlakuan ini akan terus kerap berlaku sentiasa.
YOU ARE READING
AkanKu TungguMu (Complete)
RomanceAzri seorang lelaki skema yang baru sahaja hendak memulakan hidup di kota metropolitan. Selain untuk mencari pengalaman kerja, niatnya juga adalah hendak mengubah dirinya agar dapat mengejar cita-cita sebenarnya, menggapai kerjaya di awan biru. Iqba...