SARAH menarik nafas lega setelah dia mengeluarkan wang dari ATM. Teringatkan kejadian tadi, hampir sahaja dia menangis. Malu juga dia kerana dituduh cuba menipu makan di sebuah restoran. Jam ditangan dikerling sekilas. Sudah hampir dua jam dia tiba di sini.
Baru sahaja dia menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur, dia sudah ditimpa malang. Tujuan dia ke sini adalah untuk membuat kejutan buat Amsyar. Pasti lelaki itu akan terkejut dengan kehadirannya di sini.
Ternyata keadaan di sini sudah banyak berubah. Dulu, dia pernah tinggal di Kuala Lumpur tetapi tidak banyak kenangan yang dicipta. Selepas emaknya diceraikan, mereka berpindah ke Terengganu.
Telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangannya yang sudah lusuh itu. Nombor telefon Amira dicari. Lama dia menunggu sehingga panggilannya dijawab.
“Hello…”
“Hello, Mira. Aku ni…” Lega hati Sarah sebaik sahaja mendengar suara Amira. Risau juga dia jika kawan baiknya itu tidak ada di sini. Sudahlah dia tidak mengenali sesiapa di sini.
“Sarah?”
“Ye, akulah ni…”
“Heii… apa mimpi kau call aku ni?” Terdengar gelak ketawa Amira di hujung talian.
“Aku ada hal nak minta tolong. Kau ada dekat KL kan…” Sarah menggigit bibirnya menahan rasa debar.
“Tolong apa? Mak Nah sakit ke?” Cemas suara Amira saat ini.
“Hish… bukanlah. Mak su aku sihat walafiat… err… aku ada dekat KL. Boleh kau ambil aku.”
“Hah!”
Berdesing telinga Sarah mendengar jeritan Amira. Sudah diagak, pasti kawan baiknya itu akan terkejut dengan berita itu.
“Kau… kau ada dekat KL?” Sampai tergagap Amira dibuatnya.
“Ye, aku dah ada dekat KL. Boleh tak aku nak tumpang rumah kau sehari dua ni?”
“Allah… kenapalah kau tak beritahu aku awal-awal. Kau send location, aku datang sekarang. Sini KL cik kak… bahaya kalau kau sorang-sorang dekat sini…” bebel Amira.
Seram sejuk pula Sarah mendengar bebelan Amira. Sebaik sahaja dia memberitahu lokasi dia berada, Sarah duduk di kerusi yang ada di luar bangunan besar itu. Kakinya sudah mula berasa sakit.
Jika dia terlalu lama berjalan, inilah kesannya. Disebabkan kakinya tidak sempurna seperti orang lain, boleh dikatakan setiap malam dia perlu mengurut kakinya sendiri.
Hampir setengah jam dia menunggu, barulah Amira muncul di situ. Mereka saling berpelukan melepaskan rasa rindu masing-masing. Kali terakhir mereka berjumpa kira-kira enam bulan yang lepas iaitu ketika menyambut hari raya.
Amira membawa Sarah balik ke rumah sewanya. Di Kuala Lumpur, Amira tinggal dengan sepupunya. Kebetulan pula ketika itu, sepupu Amira ada urusan kerja di luar Kuala Lumpur untuk beberapa hari.
“Maaf, kalau aku menyusahkan kau. Tak apa ke aku tumpang rumah kau ni?” soal Sarah serba salah.
“Tak menyusah pun. Aku lagi suka. Kau ni macam tahu-tahu aje dua tiga hari ni, aku tinggal sorang. Lama ke kau dekat sini?” Bukan main teruja lagi Amira. Dia sanggup memohon cuti pada hari ini untuk menemani Sarah.
“Cadangnya tiga hari. Aku datang ke sini sebab… sebab Am.” Sarah menunduk malu.
Mati senyuman Amira. Wajahnya jelas berubah saat Sarah menyebut nama lelaki itu. Amsyar merupakan kawan mereka sejak mereka bersekolah menengah lagi. Antara mereka bertiga, Amsyar lebih berjaya kerana menjawat jawatan yang lebih tinggi.
YOU ARE READING
Kala Hati Terusik (Sold Out)
Non-FictionHakim dan Sarah dua insan yang berbeza dari segi latar belakang hidupnya kedua-dua hanya satu sahaja persamaan pernah ditinggalkan oleh insan yg dicintai saat Hakim ditinggalkan oleh kekasih hatinya, dia pasrah... pilihan keluarga diterima tanpa ra...