SAMPAH yang sudah dikumpul di buang di tong sampah besar yang ada di luar gerai. Peluh di dahi dikesat dengan hujung lengan bajunya. Setelah siap mengemas di dapur, Sarah lekas mengambil beg galas dan payung.
Bekerja di kedai makan Mak Yam, tidaklah terlalu penat. Dia hanya perlu bekerja dari jam tujuh pagi sehingga dua petang sahaja. Gaji juga tidaklah terlalu mahal tetapi cukup buat Sarah untuk menanggung perbelanjaan sendiri.
“Mak Yam, Sarah balik dulu ye…”
“Ha, baliklah. Esok, Sarah datang awal sikit boleh? Nak minta tolong goreng ayam. Ada tempahan nasi lemak ayam kampung dalam 50 bungkus. Takut tak sempat pula kalau Mak Yam buat sorang-sorang…”
Sarah tersenyum lebar. Gembira kerana gerai Mak Yan sentiasa menerima tempahan penduduk di sini.
“Boleh sangat Mak Yam. Esok Sarah datang awal ye...”
Mak Yam menarik nafas lega. Sudah hampir lapan tahun Sarah bekerja dengannya. Jujur dia sangat senang dengan kehadiran gadis ini sejak bekerja di kedai makan ini. Walaupun Sarah kurang upaya, dia seorang yang rajin bekerja.
“Terima kasih Sarah. Hati-hati balik ke rumah tu…”
Sarah sekadar mengangguk kepala. Dengan keadaan kakinya yang tidak sempurna itu, dia berjalan dengan berhati-hati. Jarak rumahnya dengan tempat dia bekerja hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Namun, disebabkan langkahnya yang tidak sempurna, terpaksalah memakan masa yang agak lama.
Setibanya di rumah, Sarah duduk di beranda rumah untuk melepaskan lelah. Basah lencun belakang baju kurungnya kerana cuaca yang panas terik. Sambil mengambil angin, fikirannya jauh terkenangkan kisah silam.
Selama ini, dia menyangka Amsyar adalah lelaki yang sanggup menerima dia dengan seadanya. Namun, sangkaannya meleset. Dalam sekelip mata, perasaan lelaki itu boleh berubah. Tubir matanya mula bergenang kerana terkilan dengan sikap Amsyar.
“Sarah, kenapa tak masuk berehat dalam rumah?” Senah duduk di sebelah Sarah.
Sarah segera memaniskan wajahnya. Tidak mahu dikesan oleh Senah tentang perasaan kecewanya tadi.“Sarah nak ambil angin dulu. Kejap lagi Sarah masuk...”
Senah mula mengambil peluang ini untuk memberitahu tentang lamaran dari Zainon. Mungkin ini masa yang terbaik untuk dia memberitahu perkara itu. Dia yang sudah kehilangan suaminya lima tahun yang lepas, sangat berharap agar Sarah menemui kebahagiaan sebelum dia menutup mata.
“Mak su ada perkara penting nak beritahu Sarah. Perkara ni melibatkan masa depan Sarah.”
Berkerut dahi Sarah mendengarnya. Pasti ada perkara yang penting hendak dibincangkan oleh Senah.
“Kenapa mak su?”
Senah menarik nafasnya dalam-dalam.
“Ada orang berkenan dengan Sarah. Dia nak Sarah jadi menantu dia. Kenal dengan Mak Cik Zai?” Tangan halus Sarah digenggam kemas.
Terkedu Sarah seketika. Wajahnya jelas terkejut dengan permintaan Zainon. Mustahil orang tua itu ingin mengambil dia sebagai menantu.
“Tapi, Mak Cik Zai tahukan Sarah ni tempang…” Sarah menunduk menekur lantai. Malu saat kelemahan dirinya disebut.
Senah mengeluh lemah. Sudah diagak, Sarah pasti ragu-ragu dengan lamaran daripada Zainon. Pada mulanya dia juga agak risau dengan lamaran ini. Tetapi pagi tadi, Zainon memberitahu anak lelakinya mahu memikirkan tentang rancangan mereka. Disebabkan itu, Senah sekadar ingin memberitahu hal ini kepada Sarah.
“Sarah, dia ikhlas nak ambil Sarah sebagai menantu. Dia kata anak sulung dia, akan bagi keputusan dalam minggu ni. Kalau tak ada masalah, Insha-Allah minggu depan mereka nak merisik. Mak su tak berharap tapi andai kata mereka masih nak ambil Sarah sebagai menantu, Sarah terima ye.” Panjang lebar Senah menjelaskan hal itu.
Perasaan Sarah ketika ini bercampur baur. Dia sebenarnya masih takut jika perkara lama terjadi lagi di dalam hidupnya. Mampukah lelaki itu menerima dirinya yang kurang upaya ini?
“Sarah takut mak su. Takut kalau hati ni terluka lagi...” Luah Sarah dalam keadaan sebak.
Terdiam Senah. Senah faham yang Sarah masih dibayangi dengan kisah silam.“Lupakan dia Sarah. Selagi Sarah tak lupakan Am, selagi tu hati Sarah akan sakit. Dia pun dah bertunang. Sarah patut fikir tentang masa depan diri sendiri…” Nasihat Senah.
Sarah menarik nafasnya dengan agak berat. Bukan dia tidak redha jika jodohnya sudah tiada dengan lelaki itu. Dia cuma tidak mahu menerima tamparan buat kali kedua.
“Sarah akan terima kalau anak Mak Cik Zai sanggup terima Sarah seadanya. Yang penting, dia perlu tahu keadaan Sarah…” Akhirnya Sarah memberikan kata putus.
Jauh di sudut hati Sarah, dia tidak mahu lagi menyusahkan ibu saudaranya. Disebabkan itu, dia sanggup tidak menyambung pelajarannya walaupun keputusan STPM Sarah sangat cemerlang.
Wajah Senah sudah kembali ceria. Lega kerana Sarah akhirnya bersetuju.
“Alhamdulillah. Mak su doakan Sarah dapat jodoh yang baik...”
Sarah tersenyum kelat.
“Sarah masuk ke dalam dulu…” Sarah lekas masuk ke dalam bilik. Dia mahu bersendirian sebentar.
Di dalam bilik, Sarah duduk di atas katil sambil memeluk lutut. Fikirannya masih teringatkan tentang lamaran wanita yang ditemuinya minggu lepas.
‘Kalau benar dia jodoh aku, Kau dekatkan dia denganku. Kalau dia bukan jodohku, jauhkan dia dariku...’
Terpejam mata Sarah usai berdoa di dalam hati.
💓
Tinggal lagi 9 hr lg preorder utk buku ni. Rm35 termsk pos ke sm/ rm40 ke ss. Buku dijangka akan dapat pada bulan Feb.😍 berminat wasap 0129284568
YOU ARE READING
Kala Hati Terusik (Sold Out)
Non-FictionHakim dan Sarah dua insan yang berbeza dari segi latar belakang hidupnya kedua-dua hanya satu sahaja persamaan pernah ditinggalkan oleh insan yg dicintai saat Hakim ditinggalkan oleh kekasih hatinya, dia pasrah... pilihan keluarga diterima tanpa ra...