SEJAK beberapa hari yang lepas, fikiran Hakim asyik teringatkan tentang permintaan Zainon. Dia sendiri masih terkejut kerana selama ini kedua ibu bapanya tidak pernah bertanyakan tentang hal peribadi. Tiba-tiba sahaja soal calon isteri menjadi isu.
Sudah beberapa kali dia mengeluh lemah. Jujur dia masih belum lagi membuat keputusan tentang permintaan Zainon. Berkahwin dengan perempuan yang tidak pernah dikenali, langsung tidak pernah terfikir dek akal. Mampukah dia bahagia dengan gadis itu?
“Kau ni dari tadi lagi mengeluh. Ada masalah apa lagi ni?”
Hakim lekas memandang Dani. Hampir sahaja Hakim terlupa yang dia sekarang sedang melepak dengan Dani di gerai mamak selepas pulang dari bekerja.
“Ada masalah keluarga sikit. Err… aku ada perkara penting nak tanya ni. Kau pernah contact dengan Maya?”
Berkerut dahi Dani mendengarnya.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya ni?”
Soalan Hakim dijawab dengan soalan.“Aku cuma nak tahu, macam mana keadaan dia sekarang. Lepas kami berpisah, memang aku tak ada maklumat pasal dia. Nombor telefon pun dia dah tukar.”
Kecewa juga Hakim kerana Maya sanggup memutuskan hubungan mereka sehingga ke tahap itu. walaupun mereka berdua tidak berjodoh, apa salahnya jika mereka berkawan seperti biasa.
“Sudahlah… tak perlu nak cari dia lagi. Dia dah bahagia dengan lelaki lain…”
Wajah Hakim jelas berubah.
“A… apa kau cakap?”
Dani tergelak sinis. Nampak gayanya tidak perlulah Dani menyembunyikan hal ini lagi. Mungkin ini adalah peluang terbaik untuk dia berterus-terang walaupun sudah terlambat.
“Sebenarnya, masa kau cakap yang kau dengan Maya dah putus, jujur aku gembira…”
Terkebil-kebil mata Hakim memandang Dani. Dani masih lagi dalam keadaan tenang.
“Sebelum kau dengan Maya berpisah, dah banyak kali aku terserempak dia keluar dengan lelaki lain…” Akhirnya terbongkar juga rahsia yang disimpan oleh Dani selama ini.
“Kau… kau cakap apa ni?” Sukar bagi Hakim untuk menerima berita itu. Dia tidak percaya jika Maya sanggup bersikap curang dengannya.
“Aku tahu, kau memang tak akan percaya. Pertama kali aku terserempak dengan mereka, aku pun rasa mungkin mereka sekadar berkawan. Tapi kalau dah sampai pegang tangan dan bagi bunga tu, kau rasa hubungan jenis apa?” Dani sudah tersenyum senget.
Jelas rahang Hakim bergerak-gerak menahan marah.
“Aku minta maaf kalau baru sekarang aku beritahu semua ni. Bukan sekali aku nampak mereka, tapi adalah juga beberapa kali. Sebab tu aku tak pelik bila kau kata dia nak berpisah dengan kau. Tentang dia nak belajar di luar negara tu, sebab dia ikut lelaki tu belajar di sana. Maklumat ni aku dapat dari rakan sekerja dia…”
Terpejam mata Hakim. Satu lagi perkara yang betul-betul membuatkan hati Hakim bertambah hancur. Selama mereka bercinta, Hakim tidak pernah menyentuh Maya. Namun, perasaannya bertambah kecewa jika benar Maya sanggup membenarkan lelaki lain menyentuh dirinya.
“Mungkin ini petunjuk yang Allah nak bagi pada aku,” kata Hakim dengan penuh makna.
“Kau dengan Maya, dua-dua kawan aku. Kalau boleh, memang aku tak nak masuk campur urusan korang berdua. Tapi bila dah berlaku perkara macam ni, jujur aku jadi benci dengan Maya.”
Merah padan wajah Dani ketika ini. Dia sungguh bencikan perempuan yang bersikap curang. Perkara itu hanya akan mengingatkan Dani tentang kecurangan ibunya dulu.
Hakim tersenyum kelat. Pengalaman banyak mematangkan dia dalam segi hubungan bersama pasangan.Mungkin ada salah dari pihaknya sehingga menyebabkan Maya memilih lelaki lain.
“Jangan benci Maya… dalam hal ni, aku yang salah. Aku dah terlalu banyak habiskan masa dia dengan menunggu aku. Paling teruk, aku abaikan dia. Tak salah kalau dia dah jumpa lelaki yang lebih baik dari aku…”
Hanya itu sahaja yang terlintas di fikiran Hakim. Maya yang dikenalinya dulu, bukanlah seorang yang kejam. Mungkin ada juga salahnya kerana tidak pernah mengambil tindakan serius dalam hubungan mereka.
“Suka hati kaulah. Sebab tu lah aku malas nak fikir pasal berkahwin. Silap-silap, aku suruh aje ayah aku carikan calon…”
Hampir tersedak Hakim dibuatnya.
“Kau tak kisah ke kahwin dengan orang yang tak kenal?” Sengaja Hakim bertanyakan soalan itu. Kebetulan pula, dia sedang berhadapan dengan isu ini.
Dani tergelak kecil sambil menghabiskan air minuman.
“Aku percaya pada jodoh. Kalau itu yang terbaik, aku terima. Berkahwin dengan pilihan sendiri pun boleh cerai berai. Contoh macam kaulah… bercinta bertahun-tahun tapi akhirnya berpisah juga…”
Hakim berdeham menghilangkan rasa kurang senang dengan kenyataan Dani. Malu juga dia disindir begitu.
“Dah lewat ni. Jomlah balik. Nanti tak sempat pula nak solat Maghrib,” gesa Hakim untuk menutup rasa malu.
Dani tergelak lucu. Mereka berdua keluar dari kedai mamak itu dan menuju ke kereta masing-masing.
Belum sempat Dani hendak memandu, dia menerima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. Setelah dua kali nombor yang sama muncul, terpaksalah Dani menjawab juga panggilan itu.“Hello…”
Senyap. Dani masih menunggu si pemanggil bersuara.
“Hello… siapa ni?” Tekan Dani sedikit kasar.
Talian masih lagi sepi. Dani sudah mengeluh kasar.
“Kalau tak nak bercakap, jangan call orang…” Belum sempat Dani hendak menamatkan panggilan, dia terkejut saat mendengar suara itu.
“Dani… ini Maya…”
Air liur yang ditelan terasa pahit. Hampir setahun dia tidak mendengar khabar gadis ini. Tangannya dikepal dengan kuat menahan rasa geram.
💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓
Tempahan masih dibuka selagi stok masih ada tetapi dengan harga tanpa diskaun ye. Harga rm30 tak termsk postage. Buku dijangka dapat pada bulan feb😘
Berminat wasap 0129284568 @ fb Penerbitan Brothers 😊
YOU ARE READING
Kala Hati Terusik (Sold Out)
NonfiksiHakim dan Sarah dua insan yang berbeza dari segi latar belakang hidupnya kedua-dua hanya satu sahaja persamaan pernah ditinggalkan oleh insan yg dicintai saat Hakim ditinggalkan oleh kekasih hatinya, dia pasrah... pilihan keluarga diterima tanpa ra...