JAM di tangan dikerling sekilas. Sudah hampir jam enam petang tetapi Hakim masih belum pulang ke rumah. Tubuhnya bersandar lemah di kerusi. Kepala yang sedikit pening dipicit perlahan.Saat matanya melihat di skrin komputer riba, wajah Maya menghiasi di skrin itu. Selepas mereka berpisah, Hakim masih lagi berusaha untuk menyelamatkan hubungan mereka.
Hakim sanggup ke rumah keluarga Maya untuk menjernihkan hubungan mereka. Namun, hatinya terluka dengan sikap Maya yang enggan memberi dia peluang. Ada rasa malu terhadap kedua ibu bapa Maya kerana telah menghampakan harapan mereka. Sudah hampir setahun dia tidak mengetahui khabar berita Maya sejak gadis itu terbang ke London.
Bunyi ketukan di pintu bilik menyedarkan Hakim. Lekas Hakim mematikan komputer riba sebaik sahaja Dani masuk ke bilik kerjanya.
“Bro... tak balik lagi ke?” soal Dani sambil duduk di kerusi berhadapan dengan Dani.
Hakim masih sibuk mengemas barang-barang ke dalam beg kerja tanpa memandang Dani.
“Aku nak baliklah ni...”
Dani tersenyum senget. Sudah masak sangat Dani dengan sikap Hakim.
“Muka tu, senyumlah sikit. Dah gaya orang putus cinta pula,” sindir Dani.
Terhenti gerakan tangan Hakim. Wajah Dani direnung tajam.“Kau datang sini, nak sakitkan hati aku ke?” Wajah tegang Hakim jelas kelihatan.
Dani lekas mengangkat kedua tangannya sambil tergelak kecil. Lucu melihat wajah Hakim yang jelas sedang menahan marah. Pantang tercuit sikit, pasti melenting.
Terlalu banyak sangat perubahan yang berlaku sejak Hakim ditinggalkan. Sikap barannya semakin menjadi-jadi. Tidak hairanlah Hakim dikenali sebagai pensyarah singa.
“Sorry kalau aku bergurau kasar. Aku cakap perkara yang betul. Tu... muka kau...” Jari telunjuk Dani membuat bentuk bulatan di wajah Hakim.
“Susah sangat nak senyum. Ni semua sebab perempuan tu ke lagi?” Tembak Dani tanpa rasa bersalah.
Hakim mengeluh perlahan.
Rambutnya yang pendek diusap perlahan.“Dia masih kawan kita, Dani. Tak perlulah kau cakap macam tu,”
Hakim kurang senang dengan gaya percakapan Dani. Seolah-olah Dani tidak pernah mengenali Maya.
Mereka bertiga pernah belajar di tempat yang sama ketika di universiti. Semasa dia bercinta dengan Maya, Dani turut menyokong hubungan itu. Namun, sejak Maya meninggalkan dia dan melanjutkan pelajaran ke luar negara, Dani tidak dapat menerima tindakan Maya.
Dani tayang wajah meluat.
“Kawan? Kalau dia anggap aku ni kawan, kenapa dia blah macam tu aje?”
Pemergian Maya ke luar negara turut memberi kesan terhadap Dani. Dani sangat berjauh hati apabila mengetahui perkara ini daripada Hakim. Hakim terpaksa menjelaskan kepada Dani tentang hubungannya dengan Maya yang sudah berakhir.
“Mungkin dia ada alasan sendiri. Dahlah... kita doakan aje dia berjaya di sana...”
Dani tersenyum sinis.
“Sebelum nak doakan orang lain, doakan untuk diri sendiri. Dah setahun, Hakim. Kau masih tak boleh move on lagi dari dia. Lupakan dia... ada lagi perempuan yang lebih baik dari Maya.” Tekan Dani.
Hakim tersenyum kelat. Bukan dia tidak pernah mencuba tetapi kenangannya bersama Maya masih kuat tersemat di dalam fikirannya. Lebih-lebih lagi Maya adalah cinta pertamanya.
“Aku masih sedang mencuba…”
Hanya itu sahaja yang mampu Hakim katakana buat masa ini.Tergeleng kepala Dani dengan jawapan Hakim. Dia tidak suka kawan baiknya menjadi penunggu setia kepada orang yang tidak setia. Bagi Dani, Maya tidak layak bersama Hakim.
YOU ARE READING
Kala Hati Terusik (Sold Out)
Non-FictionHakim dan Sarah dua insan yang berbeza dari segi latar belakang hidupnya kedua-dua hanya satu sahaja persamaan pernah ditinggalkan oleh insan yg dicintai saat Hakim ditinggalkan oleh kekasih hatinya, dia pasrah... pilihan keluarga diterima tanpa ra...