Bab 7

2K 63 3
                                    

Pre order dan novel ni hanya jualan online sahaja tau.😘😘

RALIT Hakim menonton televisyen bersama ahli keluarga yang lain. Sudah beberapa kali Zainon mencuit lengan suaminya untuk bertanyakan kepada Hakim. Husna yang perasan dengan telatah kedua ibu bapanya sudah memandang curiga.

Serba salah pula Hisyam untuk menyoal. Masuk hari ini, sudah hampir seminggu mereka masih belum bertanyakan kepada Hakim.

“Err… along. Kalau abah tanya, boleh?”

Hakim berpaling melihat wajah kedua ibu bapanya.

“Tanyalah abah…”

Hisyam menarik nafas dalam-dalam.

“Along dah ada kekasih… maksud abah, calon bakal isteri?”

Tersentak Hakim dengan soalan itu. Tiba-tiba diajukan soalan yang terlalu peribadi. Jika dulu, pasti dia akan berterus-terang yang dia sudah mempunyai Maya. Namun, perkara itu hanya tinggal kenangan sahaja.

“Tak ada, abah. Along ni sibuk dengan kerja. Mana ada masa nak cari kekasih.” Terpaksa Hakim berbohong demi menutup kisah lama.

Zainon sudah tersenyum lebar. Nampak gayanya, dapatlah dia meneruskan rancangan mereka yang asal.

“Kalau macam tu, along kahwin dengan pilihan ibu. Gadis tu, anak saudara kawan baik ibu.”
Tergamam Hakim dengan permintaan Zainon. Rasanya dia tidak salah mendengar.

“Ibu cakap apa tadi?” soal Hakim inginkan kepastian. Tubuhnya sudah menjadi tegak.

“Ibu cakap, memandangkan along tak ada calon, minggu depan ibu nak merisik anak kawan baik ibu tu untuk along,” jelas Zainon sekali lagi.

Wajah kedua orang tuanya dipandang lama. Husna yang berada bersama mereka turut terkejut. Namun dia hanya memasang telinga. Tidak mahu masuk campur dalam urusan itu.

“Kenapa tiba-tiba ni ibu? Along tak kenal pun siapa kawan ibu tu...”

“Memang along tak kenal. Sebab tu ibu nak Hakim kenal dengan anak saudara kawan ibu tu. Boleh ye?”

Hakim mengusap belakang lehernya. Dia serba salah untuk menolak. Hatinya masih lagi belum dirawat setelah hampir setahun dia berpisah dengan Maya. Tentang hubungannya dengan Maya, tidak pernah diceritakan kepada orang tuanya. Tidak sangka, hubungan yang terjalin hampir empat tahun berakhir begitu sahaja.

Maya menyalahkan Hakim kerana tidak pandai mengambil hatinya seperti lelaki lain. Malah, sering membandingkan dirinya dengan lelaki lain. Dia takut jika pilihan ibunya akan menyesal menerima lelaki seperti dia sebagai suami.

“Along tak sedia lagi…”

“Tak sedia apa pula ni? Along pun dah hampir 32 tahun. Dah boleh sangat jaga anak orang. Manis aje budak tu ibu tengok. Ibu yakin, along mesti suka…” Ceria wajah Zainon ketika bercerita.

Hisyam hanya tersenyum sahaja melihat reaksi isterinya. Sejak mereka pulang dari kampung beberapa hari yang lepas, isterinya kerap memuji gadis itu. Namun sebagai orang tua, dia tidak mahu memaksa.

“Janganlah dipaksa budak tu. Kalau along tak nak, abah faham. Kahwin ni bukan perkara main-main,” celah Hisyam.

Masam mencuka wajah Zainon. Geram kerana Hisyam tidak berusaha memujuk anak mereka.

“Hish… abang ni. Zai dah berkenan sangat budak tu. Along pun bukan ada sesiapa lagi…” Zainon masih lagi cuba memujuk.

Hakim semakin serba salah. Hendak menolak terus, dia tidak sampai hati mengecewakan Zainon. Berkahwin, bukan keputusan yang mudah.

“Ibu bagi along masa. Biar along buat Istikharah dulu. Soal ni, melibatkan masa depan along,” pinta Hakim.

Wajah Zainon kembali ceria. Gembira kerana permintaannya tidak ditolak mentah-mentah.

“Baguslah. Kalau boleh, along bagi jawapan sebelum hujung minggu ni ye…”

Hakim hanya tersenyum nipis. Dia kemudian meminta izin untuk masuk ke bilik. Di dalam bilik, Hakim bersandar lemah di kepala katil. Fikirannya masih teringatkan Maya.

Telefon bimbitnya dicapai. Wajah Maya yang masih setia menghiasi di skrin telefonnya ditatap lama. Ada rasa rindu yang menyelit di dalam hatinya saat ini. Jujur Hakim masih belum dapat melupakan cinta pertamanya.

Mengeluh Hakim saat teringatkan permintaan Zainon. Sehingga sekarang, dia masih lagi berharap agar Maya kembali ke sisinya.

“Ya Allah, Kau berikan aku petunjukMu…”

Hakim meraut wajahnya dengan perlahan. Dia segera ke bilik air untuk mengambil wuduk. Hanya dengan cara bersujud kepada Dia saja, Hakim dapat menemui jawapan.

 Hanya dengan cara bersujud kepada Dia saja, Hakim dapat menemui jawapan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Berminat blh wasap akak 0129284568

Kala Hati Terusik (Sold Out)Where stories live. Discover now