Bab 6

2.3K 73 2
                                    

KALA HATI TERUSIK - MIA AZWARI

Bab 6

ZAINON dan suaminya singgah ke rumah Senah setelah lebih 10 tahun tidak berjumpa. Tidak sangka kedatangannya ke sini atas jemputan anak murid suaminya, menemukan mereka kembali.

“Aku tak tahu yang Salwa dah tak ada…” Sayu perasaan Zainon saat teringatkan Salwa.
“Dah lama dia pergi. Masa tu, Sarah baru 15 tahun. Kesian anak saudara aku tu… ada ayah, tapi tak tahu hilang ke mana.”

Masih segar dalam ingatan Senah saat kakaknya datang ke rumahnya membawa Sarah. Hampir sahaja dia mengamuk mendengar bekas abang iparnya telah menceraikan Salwa kerana ingin berkahwin lain.

Tidak mahu membuatkan Salwa tertekan, Senah dan arwah suaminya membawa mereka berdua berpindah ke Terengganu. Di sinilah, Sarah dibesarkan setelah dia kehilangan kasih sayang seorang ayah sejak berumur empat tahun.

“Cantik Sarah tu. Wajah dia saling tak tumpah macam arwah,” puji Zainon.

“Alhamdulillah, Allah tu Maha adil. Walaupun anak saudara aku tu cacat, tapi dia cantik luar dan dalam. Aku bukan nak puji dia tapi sejak dari kecil lagi dia tak suka susahkan orang.”

Terselit rasa bangga di hati Zainon dengan perwatakan Sarah. Tiba-tiba dia teringat dengan perbualan yang didengarnya tadi. Timbul rasa ingin tahu tentang perkara yang berlaku terhadap Sarah.

“Kalau aku tanya, kau jangan kecil hati pula?” Berhati-hati Zainon ingin mengajukan soalan. Mujurlah ketika ini suaminya ke surau untuk menunaikan solat Asar. Sarah pula masih sibuk di dapur.

“Nak tanya apa pula ni?” Pelik pula Senah dibuatnya.

Zainon lekas bertanyakan tentang perkara yang didengarnya tadi di belakang rumah. Merah padan wajah Senah menahan marah. Dia yakin orang yang mengata tentang anak saudaranya itu ialah Zakiah.

Senah akhirnya menceritakan perkara yang menimpa Sarah. Hati Zainon turut menjadi sebak kerana dia teringatkan anak perempuannya yang pernah dipermainkan oleh lelaki. Perasaan simpatinya semakin menebal buat Sarah.

“Sarah tu kuat orangnya. Dia tak pernah tunjuk diri dia sedih. Cuma hari tu saja dia menangis teruk lepas dapat tahu lelaki tu nak bertunang. Esoknya dia bekerja macam biasa…” Luah Senah dengan perasaan yang sebak.

“Insha-Allah, aku yakin Sarah akan dapat jodoh yang lebih baik. Mungkin ada yang lebih baik untuk dia…” Tangan Senah diraih dan digenggam lembut.

“Itulah yang aku harapkan. Setiap hari aku berdoa, sebelum mata aku ni tertutup, biarlah Sarah tu berkahwin dulu…”

Senah merenung jauh ke luar tingkap. Selepas pemergian Salwa, dia menjaga Sarah dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah dia memilih kasih di antara anak kandungnya dengan Sarah.

Terdiam Zainon seketika. Mendengar luahan Senah itu, timbul satu idea yang terlintas difikirannya. Mungkin sudah tiba masanya dia mencari jodoh buat Hakim memandangkan anaknya masih belum berpunya.

“Senah, kalau aku nak melamar Sarah untuk anak aku… kau setuju?”

Tergamam Senah. Terkebil-kebil matanya memandang Zainon.

“Kau bergurau ke?”

Zainon tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Aku tak pernah main-main kalau soal jodoh anak aku. Kalau kau setuju, aku akan beritahu perkara ni pada anak aku. Aku jamin, anak aku mampu jaga Sarah seperti yang kau harapkan…”

Kelu lidah Senah. Permintaan Zainon terlalu mendadak. Bukan dia tidak setuju tetapi perkara ini melibatkan masa depan anak saudaranya juga.

“Macam nilah, kau tanya anak kau tu dulu. Kalau dia setuju, baru berbincang. Aku tak nak anak saudara aku tu terluka lagi…”

Kala Hati Terusik (Sold Out)Where stories live. Discover now