Kertas yang menunjukkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia milik Fatimah dilempar kasar ke wajah yang kemerahan-merahan dek terik mentari dan jerawat yang tumbuh melata di pipi kanan, kiri, dahi.
"Bengap, bodoh. Daripada tadika sampai tingkatan lima kau sekolah. Dari umur 5 tahun sampai 17 tahun kau hadap ilmu kira-kira, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam ni, 12 tahun belajar subjek ni tapi tetap kau gagal. Bahasa Melayu tu payah sangat ke? Kau bangsa apa yang subjek Bahasa Melayu pun gagal?," tengking Encik Halim kepada anak paling bongsu, Fatimah Itfitah. Ikutkan rasa marah yang semakin menggila ini, nak saja dia tangankan Fatimah, melepaskan rasa hati.
Panas hati Encik Halim, berasap kepalanya bila melihat keputusan SPM yang paling teruk dalam sejarah keluarganya dan isteri. Tiada lagilah di dalam ahli keluarganya dan isteri yang gagal ke semua subjek. Tiada satu pun yang lulus. Fatimah hanya kutip G, E sahaja.
"Kau Islam ke tak yang subjek Pendidikan Islam pun gagal? Tu, yang kau solat tungging terbalik, lima kali sehari tu, kau baca apa? Tulisan jawi semua tu, takkan kau tak tau nak baca? Nak tulis? Eeeish, kenapalah kau ni bodoh sangat?." Makin tinggi suara si ayah. Merah wajahnya, tegang urat di leher.
Fatimah hanya diam. Wajah tunduk memandang lantai. Air mata yang mengalir dibiarkan sahaja. Suara esakan disimpan rapi. Tak berani nak luahkan rasa sedih, kecewa. Mulut ditutup rapat, nak kunci esakan daripada terhambur keluar.
"Sia-sia jelah kau pergi sekolah selama ni bila keputusan SPM kau macam ni je. Sia-sia juga duit aku perhabis bayar yuran sekolah kau, beli baju sekolah kau, peralatan sekolah kau tu. Semuanya sia-sia sepanjang 12 tahun kau sekolah ni. Kaulah anak yang paling buat aku rasa rugi, rasa loser. Kakak, abang kau walau tak dapat straight A, at least, diaorang lulus. Paling kurang pun dapat C. Bolehlah nak apply universiti kerajaan. Bolehlah nak sambung belajar sampai diploma ke ijazah ke. Lepas tu bolehlah nak kerja elok sikit. Ni, kau." Encik Halim mengeluh dengan gelengan di kepala.
"Cuba kau cakap dekat aku, dengan keputusan SPM macam ni, kau nak kerja apa? Kau nak duduk rumah, habiskan beras ke? Kau nak aku tanggung kau sampai bila?." Nada suara naik seoktaf. Fatimah semakin gerun. Dalam takut- takut itu dia mencuri pandang ke arah emak sebelum pandangan mata terarah ke kaki semula. Jelingan maut Puan Maimun membunuh rasa di dalam hati Fatimah.
Fatimah diam lagi. Dia tiada apa nak dibicarakan bila terang-terang dia yang salah.
"Aku tanya kau! Jawablah!." Persis bunyi guruh berdentum di dada langit suara Encik Halim tika itu.
Takut-takut Fatimah nak pandang wajah ayah sendiri. Ayah kandung yang sedang marah teramat, malu kerana ada anak yang bodoh sepertinya.
"Tak payah nak menangis beria sangat. Air mata tu bukannya boleh ubah keputusan SPM kau ni. Tak payah nak sedih dapat keputusan teruk. Sebab apa tau? Sebab salah diri sendiri. Kalau kau berusaha lebih, tak adanya kau nak bagi keputusan macam ini punya teruk dekat aku."
Kepala Fatimah ditunjal beberapa kali. Ditolak- tolak dengan jari telunjuk. Tergerak sikit tubuh Fatimah bila tolakan si ayah terlalu kuat.
"Eeeiii... budak ni! Dahlah, pergilah. Bertambah sakit hati aku ni bila tengok muka kau." Tubuh Fatimah ditolak kasar. Menyampah dia nak tengok wajah darah dagingnya. Lagi pula dia risau kalau tangannya yang terasa ringan ini singgah di mana-mana bahagian tubuh Fatimah. Rasa marah yang sedang bermaharajalela di dalam hati ini tidak boleh diikutkan sangat. Ikut hati, mati!
"Timah minta maaf, ayah," pinta Fatimah dengan linangan air mata. Air mata yang tidak tahu di mana penghujungnya kerana tidak henti-henti mengalir.
"Maaf, maaf, maaf! Kau bersuara sekali lagi, penampar naik ke pipi kau."
Fatimah terus diam. Beku terus lidahnya. Terus tidak berani nak membuka mulut lagi. Langkah kaki di atur ke bilik. Bilik yang berdekatan dengan ruangan dapur. Bilik yang hanya ada tilam bujang dan kipas angin. Tiada perabut kerana manusia bodoh sepertinya tidak layak untuk merasai semua itu. Almari baju yang ayah belikan untuknya, kakak paling tua di antara mereka tiga beradik mahukan.
Terpaksa Fatimah mengalah kerana tidak mahu kecoh-kecoh. Tak apalah kalau susun baju-baju kepunyaannya di atas lantai sahaja. Berlapikkan surat khabar lama. Kipas angin yang ada di dalam bilik itu pun kipas angin lama. Sudah dibuka yang paling kuat pun tetap tak dapat berikan kepuasan. Ada ayah belikan kipas angin baru untuknya tapi abang di atasnya mahukan. Pun, Fatimah sanggup untuk mengalah. Dia harus tahu bersyukur, sekurang-kurangnya dia masih punya kipas angin walau dia perlu duduk betul-betul berdekatan dengan kipas tersebut untuk merasa angin.
"Nanti ada sesiapa yang nakkan dia, kasi kahwin jelah, bang."
Fatimah dengar suara emak, Puan Maimun memberi cadangan kepada ayah. Mati terus langkah untuk ke bilik. Berhenti sebentar tidak jauh daripada ruang tamu untuk pasang telinga.
"Muda sangat nak kasi kahwin pun. Baru 18 tahun. Budak bodoh macam dia tu kalau kahwin awal-awal menyusahkan mentua, menyusahkan suami. Timah tu memasak pun tak pandai. Nak kasi suami dia makan apa nanti?."
Puan Maimun mendengus. "Belajar bodoh, hal-hal rumah tangga pun bodoh. Umur dah 18 tahun, macam sia-sia je dia hidup dekat dunia ni kalau semua benda tak pandai."
"Itulah. Belajar pun daripada darjah dua sampai ke tingkatan lima, tak pernahnya duduk di kelas pertengahan, kelas paling hadapan... lagilah tak pernah. Asyiklah kelas paling akhir. Tak ada langsung usaha nak berjaya macam kakak dan abang dia. Tak ada usaha nak majukan diri sendiri. Keluar daripada kepompong bodoh tu. Timah tu bodoh sebab malas." Tidak habis-habis lagi komen Encik Halim terhadap Fatimah. Komen yang penuh dengan cacian.
"Nanti kalau ada sesiapa yang nakkan dia, terima je bang. Nak kerja pun... apa je dia boleh buat dengan keputusan teruk macam tu. Saya tak kuasa nak tengok dia duduk di rumah ni, goyang kaki hari-hari."
"Nak kahwinkan dia pun kenalah cari lelaki yang elok juga, takkan nak terima je sesiapa pun. Kang kita kahwinkan dia dengan penagih dadah ke, pencuri ke, perompak ke... buatnya suami dia tu kena tangkap, masuk penjara... kita juga yang susah nanti. Nak kena tanggung dia, tanggung anak dia pula. Awak kena fikir jauh macam tu."
"Bang ooiii... lelaki elok mana yang nak kahwin dengan Timah tu? Sudahlah bodoh, cantik pun tidak."
Encik Halim hanya diam. Pening kepala dengan anak paling bongsu ini. Tidak buat perangai bukan-bukan tapi itulah, bodoh sangat. Orang lain kalau bodoh bab belajar ini, bab cari duit mereka pandai. Fatimah ini... kira duit pun tak berapa pandai kalau jumlahnya terlalu besar. Kalau suruh jaga kedai, boleh sesak orang dalam kedai sebab lambat sangat bab mengira, bab nak pulangkan baki.
Dia memang sengaja tak nak Fatimah guna mesin kaunter dan kalkulator. Nak latih otak Fatimah jadi cepat tapi... sebaliknya pula yang berlaku. Orang kasi RM 100, beli barang RM 56. 30 pun Fatimah tak pandai nak pulangkan baki. Kena buat kira-kira atas kertas padahal benda sebegitu pakai otak sajalah. Budak tadika pun pandai nak jawab.
Dosa apalah mereka suami isteri sampai dikurniakan anak bongsu bodoh begitu. Habis waktu sekolah, hujung minggu dihantar ke pusat tuisyen. Beratus ringgit habis untuk pusat tuisyen, untuk ubat minda. Tapi, tak pernah nak kasi keputusan yang cemerlang. Nak cakap pusat tuisyen biasa-biasa? Tak juga sebab kebanyakkan cikgu tusiyen itu ada pengalaman tanda kertas peperiksaan besar.
Fatimah mengeluh. Lemah langlah kakinya di atur ke bilik. Ayah benar-benar kecewa. Emak benar-benar berang. Fatimah harap sangat dia tidak dikahwinkan ketika usia baru 18 tahun ini.
YOU ARE READING
BUNGA ABANG (TERBIT )
RomanceTentang Timah yang pembaris. Tahap lurusnya sampai dia... "Nah, makcik," ujar Timah sambil hulurkan satu balang kosong, bersih kepada penjual kerepek di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya. "Apa ni?." "Itu harikan, makcik cakap... dah makan ken...