"Cantik tak inai dekat tangan mama ni?." Kerusi di sebelah Nadim diambil. Tangan kanan ditunjukkan kepada anak lelakinya itu. Zuriatnya semua berjantina lelaki. Tidak punya rezeki untuk menimang anak perempuan. Pula itu, dibolehkan untuk hamil tiga kali sahaja kerana semuanya dilahirkan secara pembedahan. Sebelum Nadim dan Nafiy lahir, dia pernah lahirkan seorang anak tetapi hidupnya di dunia ini hanya untuk beberapa hari sahaja.
"Cantik. Kemas. Bila mama pergi buat ni? Rasanya tadi tak ada lagikan?." Nadim membelek corak inai di tangan mamanya dengan mata sahaja. Itu pun cuma beberapa saat sebelum kornea mata diarahkan ke monitor di hadapan.
"Adik si Ros tulah yang buat. Pandai budaknya. Menjahit pun boleh." Puan Azlin mula mengajak Nadim berbual tentang calon pekerja di butik ini.
"Apa lagi, ma. Terima jelah Timah tu. Tak payah nak pening-pening kepala." Nadim membalas mudah.
"Itulah. Mama pun berkenan dengan budaknya. Harap kalau mama terima dia bekerja di butik ni, dia tak adalah nak buat perangai macam budak-budak lepasan SPM lain. Ikutkan hati macam dah serik nak terima budak-budak lepas SPM ni bekerja sebab banyak kali dah terkena. Acuh tak acuh je buat kerja. Datang pun payah betul nak on time. Kemudian suka-suka hati je nak cuti. Gaji nak awal, nak cepat. Paling sakit hati, boleh pula dia dating dalam kedai kita," luah Puan Azlin dengan nada kecewa. Dia memberi peluang tetapi tidak ramai yang hargai.
"Biasalah, ma. Nama pun budak-budak. Tapi kalau mama tak bagi peluang, manalah diaorang nak dapat pengalaman bekerja. Macamana diaorang nak asah kemahiran sosial, interaksi dengan orang luar, dengan pelanggan. Lagi pun, Timah tu macam lurus sikit budaknya."
"Dah nama pun kerja, kenalah buat betul-betul. Bukannya buat kerja tak dibayar. Orang kasi peluang untuk timba pengalaman, buat begitu pula pada majikan. Bila majikan ambil pekerja asing, marah. Dah tu, attitude teruk sangat."
Nadim ketawa perlahan mendengar luahan rasa yang terbuku di sukma Puan Azlin. "Janganlah marah dan janganlah pukul rata semua orang. Timah tu okay, Angah rasa."
"Angah rasa macam tu, ya?."
Nadim mengangguk dengan senyuman lebar sekaligus mahu menyakinkan perempuan di hadapannya ini.
Puan Azlin mengeluh kecil. "Nantilah mama bincang dulu dengan Along. Ni, apa cerita dengan Ros? Bila nak bawa dia makan-makan dengan kita?."
Nadim tayang gigi. "Nantilah, ma. Pelan-pelan kayuh orang sekarang cakap."
"Buatlah perangai begitu, disambar orang nanti baru padan muka Angah."
"Adik dia ada." Gurauan pantas daripada Nadim dengan senyuman yang semakin melebar.
"Angahhh...!!!." Bahu Nadim ditampar perlahan.
Nadim ketawa kuat. Tak selera dia dengan si Fatimah itu.
***
"Dapat ke kerja di butik tu?.” Puan Maimun menyoal Fatimah ketika mereka berehat di ruang tamu selepas makan malam.
"Tak tahu lagi, mak. Makcik tu cakap kalau dia nak Timah kerja di butik tu, nanti dia call."
"Peluang nak kerja di butik tu mungkin ada tapi tipis sebab Timah ni belajar setakat SPM je, Aunty Azlin tu nak yang ada kemahiran, ada diploma dalam bidang rekaan fesyen. Mestilah budak-budak lepasan diploma dalam bidang rekaan fesyen diberi keutamaan. Zaman sekarang ni, kalau tak belajar tinggi-tinggi payah nak dapat kerja."
"Nak buat macamana dah otak tu lembab."
"Patutnya kerja di kedai ayah je. Tolong ayah dekat kedai tu bukannya beria pergi minta kerja dekat tempat lain. Tak payah nak kerja dengan orang luar kalau kita sendiri ada bisnes keluarga." Encik Halim sendiri berat hati mahu lepaskan Fatimah keluar bekerja. Anak perempuannya ini lurus, naif… risau jadi mangsa tipu daya manusia kejam di luar sana.
"Eh, abang ni. Nak kedai kita tu bankrap ke apa? Nanti rugi kita sebab Timah ni bukannya pandai nak kira duit. Pelanggan pun boleh naik darah dengan kita kalau Timah tersilap kasi duit baki." Masam mencuka wajah Puan Maimun dengan cadangan suaminya itu. Riak tak berapa setuju dengan suaminya itu.
"Lama-lama mengadap ilmu hisab nanti pandailah dia." Macam kerak nasi, lama-lama direndam dalam air, lembutlah nasi tu. Sama macam sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Alah bisa, tegal biasa.
"Saya tak sokong cadangan abang tu. Saya tak nak kedai kita rugi sebab si Timah ni."
"Kakak pun setuju dengan cakap emak tu. Kalau kedai rugi, macamana ayah nak tanggung kakak dengan Safuan? Kitaorang masih belajar lagi sekarang ni."
Encik Halim hanya diam. Memandang ke arah Fatimah kemudian kepada isteri dan anak perempuan sulungnya. Ramai membantah cadangannya.
"Nanti kalau dapat kerja di sana, duit gaji kasi dekat aku." Mendatar sahaja nada Puan Maimun. Riak bersahaja ditayang.
"Eh, awak ni. Kenapa pula Timah nak kena kasi duit gaji dia dekat awak? Penat dia kerja, awak nak ambil hasil pula." Tak puas hati suara yang kedengaran daripada Encik Halim. Wajahnya jelaskan apa rasa di dalam hatinya. Tak setuju langsung dengan permintaan isterinya. Apa punya perangai makan duit anak.
"Sebab Timah ni tak pandai nak kira-kira duit dia. Nanti dibelinya benda yang bukan-bukan. Tak pun dibelanjanya peminta sedekah, gelandangan, kucing-kucing terbiar tu." Puan Maimun cuba menguatkan hujah kenapa dia perlu pegang duit gaji Fatimah.
"Duit dia, biarlah. Awak tak ada hak nak usik duit dia," bantah Encik Halim, riak wajahnya serius.
Fatimah pula hanya jadi pendengar dan pemerhati. Tidak tahu harus menyampuk apa.
"Saya nak tolong jaga duit dia je."
"Iyalah tu. Nanti skuter awak tu bagi dekat Timah je. Senang dia nak pergi dan balik daripada kerja."
Ekspresi tidak puas hati terpancar jelas di raut wajah wanita itu. "Tak ada, tak ada, tak boleh! Dia ada basikalkan, naiklah basikal tu. Lagipun, dia bukannya ada lesen motor pun. Kang, dilanggarnya anak orang sampai masuk hospital, kita juga yang susah." Dia tak setuju dan takkan pernah setuju nak kasi harta bendanya kepada Fatimah! Nanti habis lingkup skuter dia.
"Timah ingat nak ambil lesen motor guna duit gaji yang Timah dapat tu nanti. Itu pun kalau Timah dapat kerja dekat situlah." Suara Fatimah menyampuk.
"Tak payah! Kau nak ambil lesen buat apa? Tak ada kepentingan pun. Satu lagi, nanti rugi je. Entah berapa banyak kali kau nak ambil ujian komputer tu nanti. Kau tu lembab!." Cerca Puan Maimun kepada anak perempuannya itu. Jelingan maut dikasi kepada Fatimah. Dasar budak tak ada adab, menyampuk cakap orang tua.
"Yang awak beria nak marahkan si Timah ni kenapa? Duit dia biarlah dia nak buat apa pun." Sengaja Encik Halim berkata begitu padahal dia tahu ke mana duit gaji Fatimah akan pergi bila berada di tangan isterinya itu.
"Yang abang nak sebelahkan dia sangat kenapa? Saya ni isteri abang."
"Timah tu anak kita. Anak awak."
Puan Maimun mendengus kasar. Wajah Encik Halim dijeling geram. Wajah Fatimah direnung tajam. Takut Fatimah nak angkat muka.
"Mak marah sebab tak ada orang nak tolong buat kerja rumah nanti.” Ros bersuara tiba-tiba tanpa alihkan sikit pun matanya daripada skrin telefon bimbit di tangannya.
Encik Halim menggeleng kepala perlahan. Maimun... Maimun... Puan Maimun hanya tayang wajah tanpa riak. Dia tak bersalah pun!
YOU ARE READING
BUNGA ABANG (TERBIT )
RomanceTentang Timah yang pembaris. Tahap lurusnya sampai dia... "Nah, makcik," ujar Timah sambil hulurkan satu balang kosong, bersih kepada penjual kerepek di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya. "Apa ni?." "Itu harikan, makcik cakap... dah makan ken...