"Apa plan kau lepas ni, Timah? Dengan keputusan teruk macam tu bukannya boleh sambung studi mana-manakan?.” Ros menyoal dengan senyuman sinis sebelum epal yang sudah dipotong kecil dicapai.
"Timah nak kerja." Fatimah menjawab dengan wajah yang tiada riak. Senyum tidak, tegang pun tidak.
"Kerja apa? Tak ada orang nak ambil kau kerja. Duduk rumah sudah, tolong buat kerja rumah apa yang patut." Emak bersuara sebelum epal disumbat ke dalam mulut. Dua beranak itu sedang melayan drama Korea. Kakak paling tua pulang ke rumah minggu ini.
"Kerja biasa-biasa pun tak apa."
"Kerja apa? Basuh pinggan di kedai makan? Boleh pecah berbiji-biji pinggan, mangkuk kedai tu. Ambil order? Kang lain yang orang pesan, lain yang kau tulis. Nak kerja di restoran makanan segera? Eh, company besar macam tu nak tengok result SPM juga tau." Masih lagi emak yang berkata-kata. Hari itu Puan Maimun memang mahu Fatimah pergi bekerja tapi bila banyak kerja rumah yang Fatimah bereskan, Puan Maimun rasa berat hati pula nak lepaskan Fatimah pergi kerja.
"Jadi cleaner pun tak apa. Timah nak kerja sebab nak duit. Buat beli apa yang Timah nak." Fatimah harap sangat untuk ada duit sendiri sebab dengan duit itulah dia boleh beli makanan yang selalu dia tengok di dalam iklan televisyen. Beli baju baru, tudung baru, beberapa keperluan diri. Teringin juga dia nak merasa kulit wajah licin daripada jerawat, parut jerawat, bintik hitam dan putih.
Puan Maimun dan Ros tersenyum sesama sendiri. Ketawa sinis dua beranak itu.
"Cleaner? Kau ingat kerja tu senang? Penat tahu cuci tandas, mop lantai. Kau mop rumah yang sekangkang kera ini pun berejam. Tambah nak mop lantai tempat lain. Boleh jadi tiga jam baru siap. Kau nak duit minta jalah dekat ayah." Ros memberi cadangan.
"Kalau betul kau nak kerja, boleh. Kerja di butik. Nanti aku tanya aunty tu nak pakai orang ke tak." Ros menyambung bicara.
Bersinar terus mata Fatimah bila mendengar kata-kata kakak.
"Betul ke, kak?," soal Fatimah penuh semangat. Suara bernada teruja. Mata bercahaya.
"Tak payah nak happy sangatlah. Nanti aku tanya, kalau dia nak pakai orang, bolehlah kau kerja dekat situ."
"Terima kasih, kak."
"Kau kenal ke pemilik butik tu?."
"Mak kepada salah seorang kawan kakak dekat kolej tu. Butik yang baru buka dekat kawasan rumah kita ni, emak dialah yang punya."
"Ish, kau ni kak. Kang Timah tu buat perangai, nanti kau juga yang malu."
Fatimah hanya diam. Sedih sungguh dia rasa saat ini. Air mata ditahan saja daripada tidak tumpah walau tubir mata dah bergenang dengan air mata. Empangan air mata ini tidak akan bertahan lama.
"Tak apalah. Daripada duduk saja dalam rumah ni... kang jodoh lambat sampai. Timah kena keluar, jumpa orang, bergaul dengan orang. Mana tau jodoh dia ada dekat luar sana. Dah belajar tak pandai, elok kahwin awal. Tak gitu, Timah?."
"Timah tak nak kahwin." Perlahan kata-kata itu ditutur keluar.
"Whatever. Yang penting kau kena tengok dunia luar sana. Bila bergaul dengan ramai orang, dapatlah pengalaman hidup sikit-sikit, tahulah kot orang ni jahat ke baik ke. Aku nak kau rasa dunia sebenar, dunia lepas habis sekolah. Dunia ni kejam, Timah." Sudah sekolah tak pandai, takkan hal dunia pun nak zero pula. Paling kurang, Ros tak nak Fatimah jadi mangsa orang-orang yang jahat. Manalah tahu sebabkan Fatimah yang lurus sejak azali ini, adik dia jadi keldai hitam, edar dadah pula. Sudah-sudahlah buatkan wajah emak dan ayah terpalit malu.
Wajah Puan Maimun beriak risau. Ros tersenyum. "Mak tak payahlah risau sangat. Timah tu dah 18 tahun, lagi lama mak suruh dia duduk dalam rumah je, lagi lambatlah dia kahwin. Jadi anak dara tua, mak dengan ayah nak bela dia sampai bila? Biar dia keluar, mana tau ada lelaki luar sana yang berkenan dengan Timah ni."
"Ish, kau ni kak. Kalau dia conteng arang dekat muka mak dengan ayah macamana? Nak letak muka ni dekat mana? Muka kami ni dah tebal tau bila orang-orang yang datang ke kedai asyik tanya result SPM Timah ni. Aku risau Timah ni tak pandai bawa diri. Bukannya boleh harap budak ni. Hidup dia asyiklah nak memalukan mak dengan ayah.” Kutuk Puan Maimun dengan wajah menjengkelkan. Ke depan bibirnya tanda meluat, menyampah terhadap anak bongsu sendiri itu.
"Tak payahlah mak nak risau sangat. Dahlah, nak tengok cerita ni. Timah, kau pergilah masak sana. Petang-petang macam ni dapat makan cucur manis pun okay juga. Dengan kopi panas."
"Okay," ringkas balasan Fatimah sebelum berlalu ke dapur.
"Butik apa yang mak kawan kau buka? Baju? Tudung?." Puan Maimun lontarkan soalan untuk Ros.
"Kalau tak salah butik pengantin rasanya."
"Eish… kau ni kak… Kang dibuatnya Timah tu rosakkan baju, barang pengantin... kau tak malu ke dengan kawan kau nanti?." Kemain risau si emak dengan perangai si anak. Walhal, belum tentu lagi si anak dapat kerja di situ.
"Buat apa nak malu? Bukannya Ros yang buat silap, rosakkan barang. Alah, orang kalau tengok Ros dengan Timah pun tahu kami ni berbeza. Alaaa... biarlah dia kerja. Mak juga cakap menyampah tengok muka dia hari-hari. Rasanya, mak pun berharap sangat dia kerjakan sebab risau dia duduk saja di rumah ni, habiskan beras." Balas Ros dengan nada mendatar. Sedikit sebanyak tumpuannya untuk menonton cerita kegemaran agak terganggu.
"Memanglah tapi kalau dia tak ada semua kerja dalam rumah ni aku yang kena buat. At least, bila dia ada... mak dapatlah luruskan kaki, layan drama dengan senang hati."
Ros hanya tersenyum. "Mak malas masak, mak beli jelah. Baju tu kalau malas nak basuh, pergi jelah dobi layan diri tu. Bukannya banyak pun baju mak dengan ayahkan? Nak makan pun berdua je. Buat yang mana mak larat sudahlah."
Puan Maimun hanya diam. Fatimah yang dari tadi memasang telinga tersenyum kelat. Orang yang kurang pandai sepertinya memang begini kot nasib.
YOU ARE READING
BUNGA ABANG (TERBIT )
RomanceTentang Timah yang pembaris. Tahap lurusnya sampai dia... "Nah, makcik," ujar Timah sambil hulurkan satu balang kosong, bersih kepada penjual kerepek di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya. "Apa ni?." "Itu harikan, makcik cakap... dah makan ken...