"Menyusahkan hidup betullah mesin basuh ni," marah Puan Maimun dengan wajah yang berang. Suasana pagi sudah negatif, sudah dimulakan dengan aura yang kurang baik, mood yang kelaut.
Fatimah mencuri pandang sebelum menyambung kerjanya kembali. Puan Maimun mahu Fatimah mop lantai guna tuala Good Morning, guna tenaga tangan bukan dengan batang mop.
Puan Maimun terpengaruh dengan drama Korea. Sekarang sibuk melayan drama bertajuk Crash Landing On You pula. Semuanya ajaran daripada kakak sulung. Emak dan kakak yang paling tua itu rapat sangat, macam kawan-kawan sebaya, jarang sekali berbeza pendapat, selalu habiskan masa bersama. Seperti isi dan kuku. Wajah mereka berdua juga hampir sama. Kalau keluar pergi mana-mana mesti orang akan cakap emak dan kakak itu seperti kakak dengan adik, bukan emak dengan anak.
Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang sangat kuat, bunyi daripada mesin basuh. Rumah pun terus terputus bekalan elektrik.
Fatimah pandang ke atas siling. Kipas angin yang ligat berpusing sudah perlahan rentaknya. Kornea mata diarahkan ke ruang dapur pula. Panjang lehernya untuk melihat apa yang emak bakal lakukan.
"Ya Allah! Apa masalah mesin basuh ni sampai boleh buat rumah aku blackout. Eeeish!," bebel Puan Maimun dengan nada marah-marah. Turun naik nafas sebab terlalu marah. Kaki menendang berkali-kali mesin basuh yang tidak bernyawa itu. Melepaskan gelora marah di dalam dada. Kepala dah berasap dengan karenah mesin basuh.
"Timah, kau pergi tolak semula suiz di kotak utama tu." Separuh menjerit suara emak memberi arahan.
Cepat-cepat Fatimah tinggalkan kerja mengemop dan menghampiri kotak utama.
"Cepatlah sikit, budak! Kau ni... buat kerja tak pernahnya nak cepat. Lembab!," Puan Maimun mula merungut. Suaranya boleh dengar oleh jiran-jiran selorong dan jiran di belakang rumah. Patutnya Puan Maimun harus kerja sebagai seorang guru. Anak-anak murid tidak berani nak lelapkan mata sebab cikgu bersuara kuat. Baru nak lelapkan mata terus jadi segar sebab suara yang kuatnya lebih kurang guruh itu memasuki gegendang telinga.
"Dah, mak," laung Fatimah dari ruang depan.
Puan Maimun hidupkan semula suiz mesin basuh dan bekalan elektrik terputus lagi untuk kali kedua. Mesin basuh punca satu rumah blackout. Ditendang lagi mesin basuh tersebut.
"Eeeiii... menyusahkan! Timah, kau hidupkan balik elektrik lepas tu cuci semua baju yang ada dalam mesin basuh ni."
Fatimah mengelap peluh yang mengalir di dahi. Leher pun berpeluh sakan. Baju di bahagian belakang pun dah basah dengan peluh. Walaupun masih pagi tapi tak sejuk mana pun, panas seperti di tengah hari.
"Hei, Timah. Kau dengar ke tak apa yang aku suruh? Telinga tu letak di mana yang sampai tak dengar apa aku cakap." Membuntang mata Puan Maimun dengan kedua-dua tangan dicekakkan ke pinggang.
"Dengar mak. Habis mengemop ni Timah cuci kain."
"Haaa... bagus. Jangan lewat sangat cuci kain-kain tu. Kang petang nanti tak kering lagi kain-kain yang dibasuh."
Fatimah mengangguk faham. Tidak membantah satu pun arahan yang baru Puan Maimun keluarkan. Menurut dengan patuh.
"Kau buat kerja cepat sikit. Jangan nak lembab sangat. Kau tu muda lagi, bukannya dah tua macam aku. Orang muda macam kau tak ada sakit-sakit lutut ni. Cuba cergas sikit."
"Ya, mak."
"Hurmm... buat semua kerja yang aku suruh. Dah tak pandai, tak bolehlah nak apply belajar mana-manakan? Haaa... buat kerja rumah ni, jangan pernah terfikir nak goyang kaki, habiskan beras. Aku nak pergi kedai ayah kau. Mesin basuh tu pun, baru je beli dua tahun lepas dah rosak. Warranty tak boleh nak guna dah sebab setahun je. Barang elektrik zaman sekarang ni cepat betul rosaknya," bebel Puan Maimun sambil menyarung sehelai tudung.
Fatimah hanya diam. Hanya memandang emak yang sedang mengatur langkah kaki.
"Kau jangan nak tidur pula. Jangan nak curi tulang. Aku balik daripada kedai ayah kau kejap lagi, aku tengok baju tak dibasuh lagi... kau siap eh," kata-kata berbaur amaran.
"Baik, mak. Hati-hati pergi kedai ayah tu." Fatimah titipkan pesan.
Puan Maimun mendengus. "Ish, tahulah aku. Tak payah nak ingat-ingatkan aku. Aku bukannya bodoh macam kau. Buatlah kerja tu." Seusai berbicara, Puan Maimun hilang di sebalik pintu. Enjin motor skuter kedengaran sebelum makin lama makin hilang.
Fatimah mengeluh. Peluh yang semakin sakan keluar melalui liang pori-pori dilap untuk sekian kalinya.
Perut yang tidak diisi lagi mula kedengaran, mula minta diisi. Langkah kaki diatur ke dapur. Meja makan dituju, tudung saji diangkat. Keluhan hampa kedengaran. Emak dan ayah tidak tinggalkan satu bungkus pun nasi lemak. Rasa Fatimah dia beli lima bungkus nasi lemak selepas Subuh tadi. Tiada rezeki perutnya nak diisi dengan nasi lemak.
Mesin basuh pula dituju. Mesin basuh yang boleh memuatkan berat lebih kurang 10 kg itu penuh. Seperti mahu menangis Fatimah bila terbayangkan betapa banyak baju emak dan ayah yang perlu dia basuh kejap lagi. Mata meliar memandang ke seluruh dapur dengan air mata yang mula bergenang. Sinki penuh dengan pinggan, mangkuk, periuk kotor. Tong sampah juga sudah penuh. Kerja mengemop pun belum habis dia buat. Dengan perut yang lapar, dengan peluh, dengan cuaca yang panas.
Kabinet yang menempatkan barang-barang kering dituju. Tiada mee segera seperti kebiasaan. Peti ais pula dibuka. Sebiji telur pun tiada. Banyak barang dapur yang sudah habis.
Kain tuala Good Morning diambil lemah dan kerja mengemop di teruskan. Dipaksa diri siapkan satu demi satu kerja rumah walau diri sudah bergetar kerana terlalu lapar. Fikiran mengulang tayangbl apa yang emak lalukan. Telinga masih tergiang-giang suara emak.
"Kerja sikit pun tak boleh nak siapkan. Tak boleh diharap."
"Kau nikan... bukannya susah pun kerja yang aku suruh buat, itu pun tak boleh nak buat."
"Buat kerja macam ni punya senang pun sampai berejam. Lembab!."
Air mata dilap. Kerja dibuat tanpa banyak soal lagi.
YOU ARE READING
BUNGA ABANG (TERBIT )
RomanceTentang Timah yang pembaris. Tahap lurusnya sampai dia... "Nah, makcik," ujar Timah sambil hulurkan satu balang kosong, bersih kepada penjual kerepek di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya. "Apa ni?." "Itu harikan, makcik cakap... dah makan ken...