Serba salah Fatimah nak masuk bila yang kelihatan dalam butik itu cuma anak lelaki Puan Azlin. Kalau tak salah, namanya Nadim.
"Masuklah. Tercegat buat apa dekat situ," pelawa Nadim sambil bukakan pintu butik dengan lebih luas lagi.
"Makcik Azlin ada ke?."
Nadim tersengih. "Kalau tak ada pun kenapanya? Masuk jelah."
Berubah wajah Fatimah. Anak mata seperti ular itu buatkan Fatimah tidak keruan. Dia tiba-tiba berdebar. Tak betah nak pandang lama-lama. Risau dia tenggalam dalam renungan lelaki itu.
"Tak apalah, saya tunggu dekat sini je."
"Masuk jelah, bukannya nak kena tangkap basah pun," ujar Nadim sambil dekatkan wajahnya ke telinga Fatimah. Suka dia nak mengusik budak perempuan pemalu macam ini.
Berdiri bulu roma di leher Fatimah. Dia mula jarakkan diri sedikit daripada Nadim. Beg dibawa rapat ke dada.
"Muka kau pakai bedak apa eh?." Soalan diringi dengan senyuman nakal.
Fatimah raba wajahnya dengan jari.
"Happy skin lotion. Saya beli di pasar malam je."
Nadim terangguk. Tak pernah dia dengar jenama bedak sebegitu. "Patutlah kelabu. Lain kali beli di pasar siang biar muka tu bersinar sikit macam matahari. Beli di pasar malam, itu sebab muka jadi kelabu asap."
Berkerut dahi Fatimah. Apakah?
"Maksud awak?."
"Tak ada apa-apa. Cepatlah masuk, rugi air cond je buka pintu lama-lama." Terhapus mood mengusik Nadim bila Fatimah tayang wajah blur. Baru dia nak hulurkan senyuman smirk kepada Fatimah.
"Saya tunggu makcik."
"Mama ada dekat dalam." Suara Nadim membalas malas.
"Iya ke?."Fatimah menyoal dengan riak wajah tidak percaya.
"Iya. Masuklah."
Teragak-agak Fatimah rasa tapi kaki tetap melangkah masuk.
"Ma, Timah dah sampai ni," laung Nadim sebelum ke meja yang menempatkan beberapa monitor.
"Fatimah, sini. Masuk dalam bilik saya. Saya nak kenalkan partner awak," Digamit Fatimah yang masih berdiri tidak jauh daripada pintu masuk butik.
Fatimah angguk dengan senyuman sebelum mengikuti langkah kaki Puan Azlin.
Ada seorang perempuan di dalam bilik tersebut.
"Timah, kenalkan ini Wawa."
"Wawa, ini Fatimah."
Perempuan yang bernama Wawa itu hulurkan sebelah tangan kepada Fatimah.
"Panggil je Kak Wawa."
"Fatimah tapi panggil Timah je."
Wawa mengangguk dengan sengihan. Penampilan Fatimah dipandang sekali lalu. Baju kurung dan tudung bawal. Biasa-biasa, sedikit lusuh dan pudar. Wajah pun biasa-biasa tapi ada serinya.
"Hari ni kerja kita banyaklah juga. Nak kena gantung baju-baju di rak kemudian nak kena pakaikan baju-baju di patung. Petang nanti Timah ikut makcik ke satu tempat ni, ya. Kena pasang pelamin tunang dan customer request nak buat Henna juga. Wawa duduk di butik je. Boleh?."
Wawa mengangguk. "Okay, Mak Su. Nak tutup pukul berapa?."
"Sebelum Maghrib kau tutuplah." Balas Puan Azlin kepada anak saudaranya. Anak kepada abangnya. Satu-satunya sepupu yang Nadim, Nafiy dan Nabil miliki. Wawa tidak punya ibu lagi kerana kakak iparnya meninggal selepas beberapa hari lahirkan Wawa. Tidak tahu di mana silapnya sampai kakak iparnya mengalami kegagalan buah pinggang kemudian koma dan tak lama selepas itu pulang ke dunia abadi.
"Baik."
"Timah okay tak?."
"Okay. Boleh."
"Baguslah kalau macam tu. Tapi, Timah pergi berdua dengan Nadim tau sebab makcik kena ke bank dulu. Kita jumpa di rumah customer jelah."
"Dengan Nadim?." Nada suara Fatimah berubah daripada kebiasaan. Hati mula berasa tidak enak. Tiba- tiba dada terasa ketat. Pundak terasa berat.
Puan Azlin mengangguk.
"Angah, jangan lupa ke rumah customer petang karang. Masukkan barang-barang untuk pasang pelamin tu dalam kereta kejap lagi." Satu demi satu arahan diberikan kepada anak tengahnya itu. Bercakap dengan anak lelaki perlu teliti. Perlu diberitahu satu demi satu.
"Beres, ma." Nadim bersetuju dengan suara tenang.
"Jangan buli Timah pula kejap lagi." Satu lagi pesanan yang tidak kurang pentingnya diberikan kepada Nadim. Puan Azlin sangat kenal perangai anak keduanya ini. Suka mengusik!
"Tak janji, ma." Meleret suara Nadim dengan senyuman nakal.
"Jangan nak buat hal ya, Angah. Timah, kalau Nadim ni buli Timah, Timah cakap je dekat makcik tak pun dekat Kak Wawa."
Fatimah tersenyum tawar dengan anggukan. Wajah Nadim dikerling sekilas.
Naik kereta berdua dengan Nadim? Apalah yang kakak akan fikir kalau dia tahu hal ini.
Tapi, kenapa lelaki ini di sini? Tidak di kolej seperti kakak?
Malas nak melayan fikiran, Fatimah mula ke timbunan baju untuk diletakkan di rak baju. Dia tidak boleh hanyut dalam perasaan, dia tak nak makan gaji buta.
YOU ARE READING
BUNGA ABANG (TERBIT )
RomanceTentang Timah yang pembaris. Tahap lurusnya sampai dia... "Nah, makcik," ujar Timah sambil hulurkan satu balang kosong, bersih kepada penjual kerepek di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya. "Apa ni?." "Itu harikan, makcik cakap... dah makan ken...