Aku tak rasa apa-apa. Rasa macam seluruh tubuhku direndam dalam alkohol yang buat otot rasa kebas. Mata kupaksa untuk buka tetapi terlalu payah. Sinaran cahaya bagai panah-panah yang mencucuk biji mata.
Nafas kutarik payah. Udara sejuk daripada topeng oksigen menerobosi ruang rongga hidung. Terasa pahit pula di tekak. Tangan berkedut yang berada di atas tanganku aku perhatikan sekejap kemudian mata kututup kembali. Sakit sebenarnya hendak membuka mata.
Takkan aku koma sampai Alam dah jadi tua kot? Ingat cerita novel ke apa?
Aku terdengar sayup-sayup suara memanggil aku tetapi aku pejamkan mata semula. Tenaga aku habis ketika merenung tangan tua yang aku tak tahu milik siapa.
"Abang, Embun... Tadi Embun buka mata." Bonda menekup mulutnya sambil mengejutkan Ayah.
Butang merah terus ditekan untuk perhatian doktor.
Tidak membuang masa, Bonda terus menelefon Alam untuk memaklumkan tentang perkara itu. Sayangnya, Alam tidak berada di hospital. Dia perlu meneruskan tugasnya mengumpul darah. Amanah tetap amanah walaupun isteri sendiri di pintu ajal. Lagipun, Ayah dan Bonda sentiasa bersama Embun.
Dr. Chen yang sudah menjadi doktor utama Embun datang untuk membuat pemeriksaan. Cukup melegakan bila Embun sudah sedar. Tiga hari Embun tidak sedarkan diri.
"Dia dah sedar. Biar dia rehat kejap, soon dia akan bangun lagi. I'll tell nurse la untuk update dengan kitchen. Dia perlu cuba makan real food. Dah tiga hari depend on fluids je." Dr. Chen tersenyum.
Topeng bantuan pernafasan masih dipasang lagi. Ia akan ditanggalkan bila Embun sudah betul-betul kuat untuk bernafas sendiri.
"Alhamdulillah bang, Embun dah sedar." Bonda memeluk Ayah yang sedang mengesat air mata kesyukuran.
"Embun, ayah ni. Ayah dekat sini. Bangun ya Embun, cakaplah sesuatu dengan Ayah. Embun pandanglah Ayah." Bisiknya ke telinga Embun.
Sebutir mutiara suam jernih mengalir daripada celah mata si anak yang merasa dirinya derhaka. Buruk macam manapun, jahat macam manapun, ibu bapa tetap ibu bapa. Wajib untuk dihormati dan dikasihi.
Aku membuka mata setelah mengumpul tenaga. Tangan tua Ayah di kanan dan Bonda di kiri aku kuusap lembut sekadar mahu memberitahu aku sudah terjaga.
"Ayah... Bonda..." Aku memanggilnya dengan suara serak perlahan yang tertahan-tahan kerana topeng oksigen ini.
Dulu, aku ingat kalau benda macam ni berlaku dekat aku, aku akan cari Alam dahulu. Siapa sangka sama seperti ketika aku berusia 15 tahun, Ayah dan Bonda tetap yang pertama aku cari.
Topeng oksigen aku ditanggalkan Ayah lalu dia mendekatkan telinganya ke bibir aku.
"Maaf." Sepatah kata ini sahaja yang mampu aku lafazkan. Tak kira berapa banyak aku pendam, segala dendam bertukar benci yang bersarang dahulu, semuanya lebur tatkala melihat dua orang tua ini menangis keranaku.
"Ayah yang salah Embun... Ayah minta maaf. Ayah banyak berdosa dengan Embun. Ayah yang sepatutnya jaga Embun tapi Ayah lari." Ayah terus melutut ni hadapan aku dengan wajahnya yang tertunduk kesal.
"Bonda... Ayah..." Aku menggeleng kepala. Makin deras air mata aku mengalir sehingga pening kepala ini.
"Abang dah la, kesian Embun tu. Nanti dia sakit lagi macam mana?" Bonda menarik Ayah untuk bangun semula dan duduk di atas kerusi berhampiran aku.
Katil aku dinaikkan supaya aku tinggi sedikit tetapi aku masih tidak boleh duduk mengikut perkiraan Bonda.
Dr. Chen sudah memberi kebenaran untuk mencabut topeng oksigen aku memandangkan keadaan aku yang sudah semakin kuat untuk bernafas tanpa bantuan daripada mesin.
YOU ARE READING
Embun Anggerik
RomanceApa erti hidup kalau hanya sekadar bernafas? Kehidupan sempurna yang diimpikan oleh ramai manusia. Bijak, cantik dan kaya. Pakej lengkap itu dimiliki oleh seorang Embun Anggerik namun satu sahaja yang dia tidak punya. Keinginan untuk hidup pada hari...