BAB 14

281 11 0
                                        

"Innama amruhu iza arada syai'an ay yaqula lahu kun fa yakun... Fa sub-hanallazi biyadihi malakutu kulli syai'iw wa ilaihi turja'un..."

Bacaan Surah Yasin itu dihabiskan dengan tertib. Sebaik sahaja sampai ke ayat terakhir, Fahim menutup mushaf kecil yang berada di hadapannya lalu mengangkat kedua-dua belah tangan. Dalam keheningan malam Jumaat yang tenang, dia menadah tangan, memohon kepada Allah agar segala dosa dirinya dan keluarganya diampunkan, dikurniakan rezeki yang halal dan diberkati, serta sentiasa berada di bawah rahmat-Nya.

Dia turut memohon agar dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan supaya masih mempunyai kesempatan untuk berbakti kepada insan-insan yang disayanginya. Selesai berdoa, Fahim mengusap wajah sebelum mengucup perlahan mushaf yang baru dibacanya. Mushaf itu kemudian disimpan semula ke dalam almari kecil di sisi tempat solatnya.

Alhamdulillah.

Untuk kali ketiga pada malam Jumaat itu, dia masih diberi kesempatan menghabiskan bacaan Yasin selepas menunaikan solat Isyak. Amalan itu sudah menjadi kebiasaannya sejak beberapa tahun lalu. Selagi diberikan kesempatan, selagi itulah dia mahu meneruskannya hingga ke penghujung usia.

Fahim bangkit lalu melangkah keluar dari bilik menuju ke ruang dapur. Cahaya lampu yang sederhana menerangi ruang tersebut. Dari jauh, kelihatan ibunya masih sibuk membasuh pinggan mangkuk di singki sehingga tidak menyedari kehadirannya.

Fahim berdehem kecil. Puan Fatimah segera menoleh.
"Haa... Dah habis baca Yasin?"
"Dah." Fahim mengangguk kecil sambil menarik kerusi lalu duduk di meja makan. Dia menggosok perlahan tengkuknya ysng sedikit sengal.

"Mak ada simpan lauk untuk kamu. Nak makan sekarang? Mak ambilkan nasi."
"Tak payahlah, mak." Fahim mengangkat sebelah tangan kecil, menolak tawaran itu. "Kenyang lagi. Makan petang tadi."
"Kalau kenyang pun, minum air Milo yang mak dah bancuh tu. Tengah malam nanti lapar pula."

Puan Fatimah kembali membasuh pinggan sambil sesekali mengerling ke arah anaknya. "Jangan tidur lambat sangat. Esok kamu kerja."
"Yelah, mak." Fahim mencapai mug di atas meja lalu menghirup sedikit air Milo yang masih suam. Pandangannya kemudian menyapu ruang dapur yang agak sunyi.

"Senyap je rumah. Ayah dengan adik mana?"
"Ayah lepas balik masjid tadi terus makan. Lepas tu masuk bilik. Katanya mengantuk." Puan Fatimah membilas pinggan sebelum menyusunnya di tepi singki. "Adik kamu ada dalam bilik. Tengah belajar. Makan malam pun dia tak nak. Katanya tengah diet."

"Diet?" Fahim hampir tersedak kecil. "Diet apa benda dia tu? Badan dah macam cicak kubing, nak kurus lagi buat apa?" Dia ketawa kecil sambil menggeleng. "Lagipun orang lelaki ni bukan suka sangat perempuan kurus. Chubby-chubby sikit baru sedap dakap." Puan Fatimah terus menoleh dengan pandangan tajam.

"Amboi, mulut kamu. Berdakap-dakap pula." Puan Fatimah menjeling sekilas sambil menggelengkan kepala. Fahim hanya tersengih, lalu menundukkan wajah sedikit. "Gatal sangat nak kahwin dah ke?"
"Tak ada lah, mak. Yim gurau je." Fahim ketawa kecil sambil mengangkat kedua-dua tangan, mahu mempertahankan diri.

"Yelah tu." Puan Fatimah kembali menyambung kerja sambil menggeleng. "Kamu makan apa tadi dekat rumah Cik Hajar sampai kenyang sangat?"
"Bubur pulut hitam." Fahim menyandarkan tubuh pada kerusi sambil mengusap perlahan perutnya. Fahim tersenyum sendiri apabila teringat petang tadi.

"Macam tahu-tahu je Yim nak datang. Seperiuk besar dia masak. Sedap betul." Fahim tersenyum sendiri, teringat bubur pulut hitam yang dimakannya petang tadi. "Yim makan banyak sampai tinggal separuh je. Air tangan Mak Cik memang sedap."

Tangan Puan Fatimah yang sedang membasuh pinggan tiba-tiba terhenti. Dia meletakkan pinggan yang dipegang ke dalam singki sebelum menyambung kerja dengan gerakan yang sedikit perlahan. "Yelah. Dia memang pandai masak." Nada suaranya berubah, kedengaran sedikit tawar.

AMPUNKAN AKUCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang