Piap! Piap!
Batang tebal dilibas kuat. Sebatan demi sebatan mencium tapak tangan. Aku diam tanpa reaksi atau bantahan. Kosong. Kejung. Itulah riak yang aku pamer seperti selalu.
"Sini tangan kiri kau!"
Aku menurut bagai lembu dicucuk hidung. Sebatan bertukar gilir. Hayunan rotan berulang namun riak wajah masih kekal tidak beremosi. Aku tak tahu sama ada rasa sakit itu hilang sebab fikiran yang jauh berkelana atau kerana tangan sudah kebal. Mata merenung tapak tangan yang berbirat. Merah.
"Aku dah ingatkan kau jangan cabar kesabaran aku." Rotan diacu ke arah Tania yang sedang menitiskan air mata. Aku mengalihkan semula pandangan ke arah meja.
Zulhairi Abdul Jaafar.
Aku bencikan pemilik nama yang tertera di meja itu tanpa aku sendiri tahu alasan yang kukuh. Sebab sifat kasar dia? Sebab mulut pedasnya? Sebab dendaan dia? Sebab dia juga bencikan aku?
Mungkin ya.
"Bodoh!" Aku nampak Tania mengetap rahang seolah-olah menahan geram sebelum dia pula yang menjadi mangsa rotan lelaki itu.
Setelah kami berdua disuruh keluar dari DC – Discipline Cube, Tania terus beredar meninggalkanku. Langkahnya merentasi ribuan pelajar yang sedang memandang kami. Aku tak pasti jika dia marah pada aku atau rasa malu dengan kata-kata dan padangan orang.
Aku?
Aku rasa kosong.
Tak tahu perasaan apa yang wajar aku rasa sekarang. Serba salah sebab Tania mengikut aku keluar pada dua malam lepas? Atau tak perlu rasa apa-apa sebab dia mengikutku atas kehendak sendiri?
Tiga hari berlalu begitu pantas.
Aku perasan Tania mula menjauh. Dia selalu cuba mengelak daripada bertembung jasad denganku. Tak nak berselisih langsung.
"Qayla Zamzuri!" Roh dan jasadku terus bersatu kerana terkejut. Aku meraup wajah dengan sebelah tangan. Seorang wanita 40-an sedang pandang aku dengan renungan tajam.
"Kau memang melampau! Perangai kau tak berubah kan? Title anak Tuan Zamzuri dah cukup selesa ke bagi kau? Hei perangai kau langsung tak melambangkan anak Tuan Zamzuri la!"
Herdikan nyaringnya bergema di kelas 5C1. Suasana tiba-tiba sepi. Aku mengalihkan pandangan ke tempat lain, tak dirancang mata aku dan Tania bertembung namun hanya untuk beberapa saat sebelum dia melarikan pandangan ke tempat lain.
Sejak minggu lepas dia tidak lagi duduk di sebelahku. Seminggu. Tempoh yang cukup lama untuk aku faham bahawa Tania memang tak mahu dekat lagi dengan aku. Tapi sikit pun aku tak kisah sebab dia sendiri yang datang rapat dengan aku tahun lepas secara tiba-tiba. Mungkin nak berkawan.
Tapi hari ini dia sendiri yang pergi. Datang aku tak jemput, pergi aku tak halau. Terbukti – aku memang ditakdirkan untuk bergerak solo.
Pang!
Lamunan aku mati apabila pipi ditampar kuat oleh cikgu Jasmine. Aku mendengus sinis dengan riak kosong seperti biasa. Buku lima bergetar. Aku terus bangun dan keluar dari kelas tanpa sepatah kata. Kalau bukan kerana secebis hormat yang masih bersisa mungkin penumbuk aku sudah hinggap di muka cikgu Jasmine.
"Dah tiga tahun weh, perangai dia tak berubah!"
"Huh cikgu mana je tahan dengan sikap biadap dia? Memang kena halau la. Aku ingat dah jadi senior tu beradab la sikit. Tak buat perangai. Tapi sama je." Bisikan mereka berjaya menghentikan langkahku.
Aku toleh ke belakang. Dua orang pelajar perempuan yang mencuri pandang ke arah aku terus menoleh ke depan semula. Hakikatnya, aku tak pernah pun dihalau dari kelas. Aku keluar atas kemahuan sendiri.
Aku tak faham. Kenapa orang terlalu sibuk jadikan aku sebagai topik bualan sedangkan aku tak pernah peduli tentang hal dia orang?
•
PANG!
Wajah aku terteleng ke sisi kerana tamparan cikgu Hairi. Aku dengar cungap nafasnya yang tidak teratur. Mata aku bertembung dengan mata seorang lelaki.
Nasrul – tanda namanya.
Dia senyum puas.
"Kalau lelaki pukul perempuan, orang label dayus. Jadi apa patut aku panggil kau yang belasah lelaki? Pengecut? Atau penyangak?" aku tetap diam walaupun diherdik bertubi-tubi. Nasrul senyum kemenangan. Penumbuk yang bergetar aku biar di sisi.
"Kau minta maaf sekarang." Aku mengetap rahang ketika mata mengimbas jasad mereka berdua sekali kilas lalu aku beredar dari ruang DC meninggalkan cikgu Hairi dan Nasrul terpinga-pinga.
"Hei Qayla! Qayla Zamzuri!" Panggilan cikgu Hairi bergema namun aku biarkan tanpa sahutan.
Terserah kalau aku dilabel pengecut atau penakut. Aku tak peduli kerana pengecut dan penakut yang sebenar ialah Nasrul. Dia memang layak dibelasah. Perlu ke aku minta maaf pada lelaki yang baru tadi cuba untuk cium aku?
Maaf aku tidak semurah itu. Kalau dia anak menteri sekalipun, peduli apa aku? Tiba-tiba tanganku direntap dari belakang. Badanku turut tertoleh sama.
"Ini ke adab yang Tuan Zamzuri ajar?" Pang! Pipi ditampar lagi. Aku merentap kasar tanganku kembali supaya pegangan terlerai.
Wajah berkumis nipis itu memenuhi ruang penglihatan. Wajah yang cukup benci pada aku sehinggakan perbuatan aku sikit pun tak pernah betul di matanya.
"Jangan pernah babitkan Tuan Zamzuri dalam hal aku dan kau." Cikgu Hairi nampak terkejut kerana inilah kali pertama sepanjang tiga tahun aku jejakkan kaki di Cliste High School, aku bersuara.
Dia telah langgar satu-satunya pantang larang yang cukup aku jaga. Tuan Zamzuri. Satu nama yang begitu aku pelihara. Jika satu orang pun mengaitkan nama ini dengan perbuatanku, aku takkan berdiam diri.
Aku sempat merenung anak mata cikgu Hairi dan melirik figura Nasrul sebelum beredar melintasi beberapa orang pelajar yang berkumpul di sepanjang laluan. Seorang demi seorang menapak ke belakang bagi membuka ruang untukku berjalan. Tiada seorang pun yang berani menegur kerana aku ialah anak Tuan Zamzuri bin Mohd Khir.
•
AKU lebih banyak berkeliaran kebanyakan masa. Menyendiri sudah jadi kebiasaan aku sejak tiga tahun lepas sebab takda sesiapa yang nak dekati atau rapat denganku. Mungkin kerana aku ialah anak Tuan Zamzuri. Mungkin juga kerana riak muka aku yang sentiasa kejung tidak beremosi.
Entah.
Yang pasti aku tak pernah peduli kerana bersendirian lebih bagus. Aku tak perlu ambil tahu tentang orang lain. Cuma diri aku sendiri.
"Jom pergi bilik guru. Eh, kita ambil barang cikgu kat kereta dulu nak?" Lelaki berkameja putih itu gelak halus sambil mengangguk.
Lily merangkap penolong ketua pelajar sekolah, sambung berbual dengan lelaki di sebelahnya sambil berjalan menentang laluanku. Terus saja aku tolak bahunya tanpa sebarang amaran.
Buk! Lily jatuh di bahu jalan. Lelaki tadi sempat berpaut pada tiang.
"Hei kau ni dah kenapa! Aku tak caripasal dengan kau pun!" Marahnya ketika sebuah Myvi hitam melewati koordinaat kami.
Aku meninggalkan mereka berdua tanpa sepatah kata walaupun telingakumasih menangkap bebelan Lily.
YOU ARE READING
QAYLA
Teen Fiction[High School Series] #1 Aku tak bergaul dengan orang, selalu menyendiri, tidak banyak bercakap dan tak ada kawan. Tapi itu tak menghalang aku daripada menjadi tumpuan di Cliste High School. Oleh kerana aku selalu berperangai seperti sekolah itu bapa...